Ashraf kelihatan resah berbaring di 'pilot bunk' dalam pesawat Boeing 747 tersebut. Sekejap dia mengiring ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejapan pula dia meletakkan lengannya di dahi dan sesekali jarinya memicit-micit kepala. Terasa sakit berdenyut-denyut.
Lantas Ashraf menyelak tirai dan bingkas duduk di birai tempat tidur tersebut. Dia memerhatikan 'bunk bed' di hadapannya yang kelihatan sepi dengan tirai tertutup rapat. Kapten Kamarul pasti sedang nyenyak tidur sekarang ini. Tujuh jam mengendalikan pesawat untuk penerbangan ke Argentina, kini tiba giliran mereka untuk berehat dan digantikan oleh dua juruterbang yang lain.
Ashraf berdecip. Kepalanya makin sakit. Dia segera menuju ke satu sudut di mana baju kemeja seragam milik dia dan Kapten Kamarul tersangkut kemas di dalam sebuah 'built-in compartment' yang seakan-akan almari kecil. Ashraf yang hanya berbaju T putih itu terus menyarung kemeja ke tubuh dan mengenakan tali leher. Selepas lengkap berpakaian, dia keluar daripada 'pilot bunk' tersebut lalu menuju ke galley...
"Fara... Bagi aku paracetamol. Kepala aku sakitlah." Ujar Ashraf ketika dia tiba di galley.
"Oh, okay. Kejap aku ambik." Fara lantas menuju ke sebuah laci yang terletak di sudut yang paling tepi dan mengeluarkan First Aid Kit. Dia mengambil dua biji ubat paracetamol dan air mineral lalu disuakan ke Ashraf.
"Kau okay tak ni?"
Ashraf hanya mengangguk sambil menelan ubat dan air.
"First-class kosongkan hari ni? Aku nak lie down dekat situlah. Tengah sakit kepala ni aku tak boleh baring dekat dalam bunk pulak. Rasa macam claustrophobic." Kata Ashraf dengan wajah yang lesu.
Fara mengangguk tanda faham. Bilik 'pilot bunk' itu memang agak kecil dan terasa kedap apatah lagi tanpa tingkap.
"Yup, first-class kosong, takde pax. Pergilah rehat dekat sana." Ujar Fara.
Ashraf mengangguk dan terus berlalu...
Ketika Fara dan seorang lagi kru sedang membuat 'plating' sebelum menghidangkan makan malam buat penumpang-penumpang kelas perniagaan, tiba-tiba sahaja buzzer di galley itu berbunyi menandakan ada penumpang di kelas yang eksklusif itu memanggil.
"It's okay, I'll get it." Kata Fara sambil melihat nombor tempat duduk penumpang lantas segera berlalu. Ketika dia keluar daripada galley, matanya terpandang sesuatu di lantai pesawat. Dia tunduk dan mengambil benda tersebut.
Ashraf Zildan Z.
Flight Crew
FC0221278
Dia membaca perkataan yang tertera pada kad pekerja di tangannya. Kelihatan juga gambar Ashraf terpampang di situ. Fara menyengetkan bibir. Kelihatan plastic holder kad tersebut seperti terkoyak menyebabkan kad itu terpisah daripada tali lanyard Ashraf.
Fara segera menuju ke tempat penumpang yang membunyikan buzzer sebentar tadi.
"Yes ma'am, anything I can help you?" Tanya Fara dengan senyuman yang manis di bibir.
"Oh, yes. I need tissues, please." Jari wanita itu kelihatan sedikit comot dengan kesan coklat yang mencair. Kelihatan dia sedang makan coklat sambil menonton filem.
"Sure ma'am, I'll be right back."
Selepas memberi beberapa helai tisu kepada wanita tadi, Fara bergegas pula ke kabin kelas pertama yang terletak di tingkat atas. Dia ingin memulangkan kad pekerja si Ashraf.
Sebaik sahaja kakinya melangkah di kabin yang tiada penumpang itu, Fara ternampak seorang pramugari sedang duduk di birai seat kelas pertama yang telah diubahsuai menjadi tempat tidur dan tubuh gadis itu menghadap seseorang yang sedang berbaring! Fara terpempan tetapi dia cepat-cepat berselindung di sebalik dinding partition. Dia pasti tempat tidur itu adalah tempat Ashraf berehat dan mereka sedang berdua-duaan di situ! Kening Fara mencerun dan dia menggigit bibir. Adakah mereka mempunyai hubungan sulit? Fikir Fara.
Memikirkan perkara itu, rasa hormat Fara terhadap Ashraf sebagai rakan sekerja terus hilang melayang, tetapi... Siapakah pramugari yang sedang bersama Ashraf itu?? Wajahnya tidak kelihatan kerana duduk membelakangkan Fara. Perlahan-lahan, Fara mula mengintai. Dia ingin tahu apakah yang sedang dilakukan oleh mereka berdua dan siapakah sebenarnya gadis tersebut...
'Eh?? Natasha?!' Mata Fara membulat dan keningnya makin berkerut. Dia kenal sungguh dengan gaya rambut dan sanggul Natasha. Dia terus memerhati...Â
Ashraf dilihat sedang tidur dengan nyenyak sekali manakala Natasha pula sedang leka merenung wajah si Ashraf. Kini, barulah Fara jelas dengan keadaan tersebut. Dia terus memerhatikan gelagat Natasha sehinggalah gadis itu membawa tangannya perlahan-lahan ke rambut Ashraf seolah-olah ingin mengusapnya.
"Natasha...!"Â
Fara muncul di balik dinding partition dengan suara yang tegas. Bahu gadis itu terjungkit apabila disergah tetapi Ashraf pula sedikit pun tidak bergerak...
*Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *
Lara membatukan diri apabila melihat beg-beg pakaian Dhafi dikeluarkan daripada bilik tidur. Wajah ibunya yang sedang memeriksa barang-barang keperluan adiknya itu Lara tatap. Kelihatan jelas raut duka yang disembunyikan oleh wanita itu di sebalik pandangan mata.Â
Lara melihat jam di telefon bimbitnya...Â
5.50PM
Mungkin sebentar lagi sampailah ayahnya di rumah kuarters ini, fikir Lara.
Dhafi telah memutuskan untuk tinggal bersama ayah dan ibu tirinya nun jauh di utara tanah air. Atau lebih tepat lagi, di Pulau Pinang. Lara sendiri tidak tahu apa yang harus dia katakan lagi dan dalam pada masa yang sama dia juga tidak boleh menghalang pilihan Dhafi. Pemergian Dhafi ini pasti akan melukakan hati ibunya. Ibu mana yang tidak sedih berpisah dengan anak yang masih memerlukan perhatiannya tetapi mereka semua tahu, Dhafi memilih untuk tinggal bersama Rizman kerana duit dan kemewahan.Â
Sejak di awal penceraian lagi, Rizman telah menjanjikan kehidupan yang serba mewah kepada anak-anaknya jika mereka memilih untuk tinggal bersamanya. Dan atas sebab itulah juga Rizman memusuhi Lara kerana anak sulungnya itu bukan sahaja menolak hak penjagaan di bawah Rizman ketika masih bersekolah dahulu tetapi Lara juga tidak menyukai isterinya, si Kesuma. Bagi Rizman, hati anak-anak boleh diumpan dengan duit. Siapa yang menolak, dia akan buat sehingga rasa kerugian dan siapa yang menentang pula akan menyesal. Itulah yang Rizman mahu Lara rasakan nanti!
Tidak lama kemudian, Lara terdengar suara lelaki yang sangat dikenali memberi salam.
"Waalaikum salam." Jawab Lara sambil membuka pintu gril rumah. Kelihatan ayah bersama ibu tirinya sudah tercegat di kaki lima. Lara terasa kekok tetapi oleh kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan, dia terus bersalaman dengan kedua-duanya.Â
"Masuklah... Ibu tengah check barang-barang Dhafi." Kata Lara lalu bergegas ke dapur untuk membuat air...
"Afi punya pakaian sekolah semua termasuk stokin dengan singlet dekat dalam beg biru ni tau."Â
Lara terdengar suara ibunya ketika dia membawa air minuman keluar daripada dapur. Dhafi hanya mengiyakan sahaja.Â
"Fi, beg yang ni ayah bawak masuk ke kereta ye?" Tanya Rizman lantas anaknya itu mengangguk dan mereka sama-sama mula mengangkut barang. Â
"Erm... Jemput minum." Kata Lara acuh tak acuh sambil menuang air.Â
"Hmm..." Itu saja jawab Kesuma. "Panas rumah ni. Memang tak pakai aircond ke?" Katanya lagi lantas membuatkan kening Lara berkerut.
"Haih, panas? Baru duduk tak sampai sepuluh minit dah panas??" Sindir Lara. Dia lihat ibu tirinya menjeling.Â
"Hmm, sebab tu lah agaknya si Dhafi tak nak tinggal sini... Sudahlah tak selesa, buruk pulak tu." Kata-kata Kesuma itu membuatkan Lara dan Zuraidah terpempan.Â
"Seburuk-buruk rumah ni, buruk lagi perangai-"
"Lara!" Zuraidah memintas sambil memandang tajam ke wajah Lara. Dia tidak mahu anaknya itu bergaduh lagi dengan perempuan tersebut.
"Awak tu menumpang tuah aje. Macam saya jugak dulu. Dulu saya pun pernah tinggal dalam rumah yang selesa, yang cantik. Tapi kita tak tahu sampai bila kita boleh rasa kesenangan tu." Kata Zuraidah dalam nada yang tenang.
Lara yang mendengar kata-kata ibunya itu tidak berpuas hati kerana ayat tersebut langsung tidak menyakitkan hati! Lantas Lara segera menyampuk, "Kata orangkan bu... Tuah ayam nampak dekat kaki. Tapi nasib malang manusia ni akak rasa boleh nampak dekat mulut. Mulut jahat, silap haribulan kena cerai. Masa tu barulah dia tahu langit tu tinggi ke rendah." Lara cepat-cepat menghabiskan katanya sebelum ayah dan adiknya masuk ke dalam rumah. Dia sedikit pun tidak memandang ke wajah ibu tirinya tetapi Lara yakin yang perempuan itu sedang panas hati.Â
"Afi punya kasut sekolah jangan lupa bawak." Kedengaran Rizman berkata kepada Dhafi dan Dhafi mengangguk. Waktu itu, Zuraidah hanya merenung ke wajah anaknya yang nombor dua itu dengan hati yang amat sayu. Dia sedar, dia tidak mampu memberikan kesenangan buat Dhafi dan selama Dhafi tinggal bersamanya, Rizman sering mencatu wang perbelanjaan anak-anak.Â
Tidak sampai lima belas minit kemudian, kedengaran Najmi yang baru pulang daripada sekolah memberi salam. Dia bersalaman dengan ayah dan ibu tirinya sebelum Rizman meminta diri untuk berangkat pulang.Â
"Eh?! Cepatnya ayah nak balik." Kata Najmi. Kelihatan Lara merenung tajam ke wajah adiknya itu. Entah kenapa dia berasa kasihan pula kerana Lara tahu, Najmi belum puas ketemu dengan ayah mereka.
"Ayah outstation esok, kena pulang cepat. Cuti sekolah nanti Mi datanglah Penang. Kita pergi jalan-jalan." Ujar Rizman dan kata-katanya itu disambut dengan anggukan daripada Najmi.Â
Lara hanya memandang sahaja gelagat ayah dan adiknya. Dia tahu, dia tidak akan pernah dapat merasa jemputan sebegitu daripada ayahnya tetapi hati batu Lara sedikit pun tidak kisah. Cuma dia rasa tersisih, seperti selalu. Sungguh hairan, bukankah sepatutnya anak tunggal perempuan selalunya menjadi anak manja ayah? Lara tertawa sinis dalam hati dan ketika itu juga, terdengar bunyi SMS masuk ke dalam telefon bimbitnya. Lalu dia membukanya...
'Princess, I just reached Buenos Aires. I miss you.' - Ashraf SIA
Lara mengetap bibir. Ya, itu sahajalah lelaki yang dia ada dalam hidupnya. Ashraf dan Huzaimi...
Ketika Dhafi bersalaman dengan Zuraidah, air mata yang bertakung di kolam mata wanita itu akhirnya luruh. Dia memeluk Dhafi dan mencium pipi anaknya itu berkali-kali. Hati Lara terobek melihatkan kedukaan ibunya itu tetapi Lara tidak mahu hatinya ikut beremosi.Â
"Jangan tinggal solat. SMS ibu bila sampai nanti." Ujar Zuraidah dalam sisa esakannya. Kelihatan Dhafi hanya mengangguk...Â
*Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *Â Â Â Â Â *
"Aku nak report dekat HR."Â
Mata Ashraf dan Fara bertembung. Ashraf tersenyum nipis mendengarkan kata-kata Fara. Ketika itu, mereka dan kru-kru yang lain sedang makan tengahari di hotel penginapan mereka. Kecuali Natasha. Gadis itu tidak kelihatan mungkin kerana malu dengan insiden yang terjadi sewaktu di atas awan semalam.Â
"Kau cakap apa dekat dia lepas kau sergah dia tu?" Tanya Ashraf. Dia masih lagi rasa terkejut dengan cerita Fara. Ashraf benar-benar tidak menyangka yang Natasha seberani itu.Â
"Aku cakap aku nak report dekat HR-lah."Â
Kelihatan Ashraf mengangguk.Â
"Kau Leading Flight Stewardess dan aku pun belum sempat kena cabul. So it's up to you-lah apa yang kau nak buat dengan anak buah kau tu." Ashraf buat lawak sambil tersengih manakala Fara pula sudah tertawa besar.Â
"Kau ni confident je belum kena cabul. Entah-entah dia dah raba kau masa kau tengah tidur sebelum aku datang tu! Itu yang makin sedap kau tidur tu kan...?!" Fara berkata dalam nada yang agak perlahan supaya tidak didengari oleh kru-kru yang lain tapi dalam masa yang sama dia dan Ashraf sudah ketawa terbahak-bahak.Â
"Kalau dia pegang aku mestilah aku dah terbangun, bongok!"Â
"Itu kalau dia pegang kau biasa-biasa, kalau dia usap-usap??"Â
"Bodohlah kau ni, Fara!"Â
Lantas mereka tertawa lagi. Wajah Fara nampak girang dapat menyakat si Ashraf, juruterbang yang dikatakan paling 'beku' di Singapore Airlines!Â
"Kau ni memang padanlah couple dengan abang aku tu. Dua-dua sengal!" Kata-kata Ashraf itu membuatkan wajah Fara berubah.
"Eh, bila masa pulak aku couple dengan si Azril?! Eii... Tak kuasa mak!" Fara buat wajah meluat.Â
"La?! Kau bukan couple dengan dia ke?!"Â
"Taklah! Korang ingat, muka korang handsome, aku hadap sangat dengan abang kau tu?? Eiii, taste aku bukan macam korang-korang ni lah... Taste aku macam Saif Ali Khan, gitu!"
"So kau nak cakap yang taste kau macam mat Bangla, lah?"Â
"Eh, babilah kau ni!"Â
Sekali lagi, mereka ketawa sambil diperhatikan oleh Natasha nun jauh di sudut hujung restoran tersebut...Â
"Awak tu menumpang tuah aje. Macam saya jugak dulu. Dulu saya pun pernah tinggal dalam rumah yang selesa, yang cantik. Tapi kita tak tahu sampai bila kita boleh rasa kesenangan tu."
Share this novel