Jam meja berbunyi halus. Bunyi kecil penanda waktu. 5:00 PM.
Aku angkat kepala. Bahu aku rasa lenguh. Mata sudah mula berat. Aku pandang ke arah depan, Maira masih di situ. Masih duduk, masih senyum dan masih belum berambus.
Sudah 3 jam dia dalam bilik aku dan tak nampak tanda nak bangun pun. Aku perlahan bangkit dari kerusi. Tarik nafas dalam. Angkat lengan kanan, regangkan otot bahu yang sudah tegang. Klik tulang leher. Helaan aku berat tapi dalam kepala masih tajam.
"Okay, Maira. Masa sudah tamat." Nada aku mendatar. Tapi jelas. "Saya nak balik. Awak pun... patut balik."
Maira tak bergerak. Dia masih duduk. Kaki disilangkan. iPad di riba tapi tak buka pun sejak sejam lalu. Pandangan dia tepat ke arah aku. Bibirnya masih dilakar senyum kecil.
"Sir..." Nada dia masih manja. "Saya tak nak balik."
Aku diam. Perempuan ini... lain macam. Degil tapi bukan jenis degil bodoh. Degil dia berlapik.
Ada strategi.
Aku bergerak ke arah meja. Berdiri betul-betul di depan dia. Tak bersuara. Tak marah. Aku tunduk sedikit cukup dekat. Sampai muka aku hampir separas dengan muka dia.
"Hm?" Aku senyum. Sinis. "Awak nak apa sebenarnya, Maira?"
Maira tak terus jawab. Dia jeling aku perlahan, seolah-olah timbang sama ada nak jawab jujur... atau terus main permainan.
"Saya nak Sir."
Aku gelak perlahan. "Nak saya apa?"
Dia angkat tangan. Sentuh butang atas kemeja aku. Satu sentuhan kecil yang disengajakan. Jari dia licin. Kukunya berwarna nude. Tudung dia masih kemas tapi mata dia psiko.
"Saya nak... tengok sejauh mana Sir Reza boleh tahan."
"Siapa kata saya tahan?"
Dia senyum lagi. "Sebab kalau Sir betul-betul tergoda, saya tahu Sir sudah buat sesuatu dari tadi tapi Sir biar saya main. Itu yang buat saya... makin nak."
Aku renung mata dia. Diam. Lepas itu aku tunduk sedikit lagi. Kini mulut aku dekat dengan telinga dia. Nafas aku sengaja hangat.
"Kalau awak tahu saya tergoda, kenapa awak masih main tarik tali?"
Maira geleng perlahan. "Sebab saya suka lelaki yang susah digoda. Bila saya dapat... rasa dia lebih nikmat."
Kepala aku senget. Aku gelak sikit. "Awak pelajar bahaya."
"Sebab tu Sir suka saya, kan?"
Aku angkat tangan, letak di atas meja hanya beberapa inci dari paha dia. Tak sentuh tapi cukup hampir.
"Mungkin saya suka. Mungkin saya cuma biar awak main sampai awak letak kepala sendiri dalam jerat."
Dia senyum lagi tapi kali ini senyum dia berbahaya dan aku tahu permainan ini belum tamat. Tapi sekarang... aku buat-buat masuk dalam perangkap. Biar dia rasa dia menang sebab bila masa sesuai nanti... aku yang akan robek semua topeng dia satu-satu.
Aku tenung dia lama. Sunyi. Lepas itu aku ubah riak muka dari sinis jadi lembut sikit. Bibir aku naik senyum kecil. Mata aku sempitkan, bagi sikit sinar nakal. Muka lelaki tergoda.
Tapi semua itu lakonan dan aku pelakon yang bagus bila perlu. Aku tarik nafas. Kemudian tunduk perlahan, tubuh condong ke depan sampai muka hampir dengan dia.
"Awak tahu tak... saya nak kahwin tak lama lagi?" Nada aku rendah. Serius, tapi penuh perasa.
Maira angkat kening sikit tapi dia tak nampak terkejut. Tak gentar. Dia cuma senyum.
"Saya tahu," jawab dia perlahan. "Saya stalk Sir kat Instagram... saya tahu tunang kekasih Sir lawa tapi saya tak peduli."
Aku buat-buat gelak kecil. "Awak ni degil, ya?"
"Nakal sikit," balas dia sambil gigit hujung bibir bawah dia.
Perempuan ini memang lain macam. Ayu bertudung tapi dari segi cara dia gerak, cara dia balas penuh dengan undangan halus. Dia bukan pelajar tipikal. Dia tak main gaya malu-malu.
Dia main gaya yakin, tahu dia cantik, tahu dia ada kuasa dan dia tahu aku nampak dia sebagai sesuatu yang menarik.
Aku dongak sikit kepala. Masih senyum. "Nakal sangat nanti saya report kat dekan."
"Laporlah." Dia pandang aku balik. "Tapi Sir tahu, kan... dekan tu kawan baik ayah saya?"
Maklumat percuma tapi disampaikan macam peluru. Aku senyap seketika. Pandangan aku tukar balik ke mod 'pemerhati.'
Licik.
Bijak.
Berani.
Maira tak datang untuk goda saja. Dia datang sebab dia tahu kuasa siapa dia dan dia nak tengok... sejauh mana aku akan tunduk, atau... lawan.
"Nakal betul awak ni," aku ulang sambil sengih kecil. "Tapi saya suka budak nakal."
Maira senyum puas dan dalam kepala aku, aku sudah letakkan nama dia dalam senarai.
Bukan senarai pelajar tapi senarai yang perlu dikaji lebih dalam.
***
Wangi lavender bercampur kayu gaharu memenuhi ruang bilik. Lampu malap. Bunyi instrumental perlahan, konon menenangkan. Dinding kayu oak. Lantai marble, tuala putih lipat kemas atas meja dan satu tubuh... sedang diurut perlahan atas katil spa, hanya berbalut tuala tebal dari pinggang ke bawah.
Rissa.
Dia baring meniarap. Rambut pendeknya diikat ke atas. Bahu dia terdedah, kulit licin. Terapis perempuan urut bahu dia perlahan dengan minyak essential oil.
Dan aku... duduk di sofa hujung bilik, berhadapan tepat dengan Rissa.
Tangan aku di paha, bersilang. Mata aku pandang ke bawah tapi kepala aku... masih di bilik pensyarah. Masih dengan Maira.
"Tengok sini." Suara Rissa kedengaran.
Aku angkat mata. Dia senyum. Separuh gedik, separuh mencabar. "Kenapa kau termenung?"
"Tak ada apa," aku balas perlahan. Suara aku tenggelam dalam alunan muzik spa.
"Jangan tipu aku, Reza." Nada Rissa berubah. "Aku kenal muka kau. Muka kau tengah simpan sesuatu."
Aku diam. Rissa jeling atas, pastikan terapis itu tak fokus sangat. Kemudian dia sambung, nada perlahan.
"Mesti ada budak gatal kacau kau lagi, kan?"
Aku hela nafas perlahan. "Tak ada. Biasalah pelajar suka tanya soalan."
"Yalah tu." Dia sengih. "Tapi bukan semua pelajar tanya sambil juling manja macam perempuan miang."
Aku senyum sikit. Rissa baring semula. Terapis terus urut bahagian tulang belikat dia. Rissa relaks tapi dari cara dia jeling tadi aku tahu dia cemburu. Bukan sebab dia insecure tapi sebab dia posesif.
Dia tahu aku tak gatal tapi dia tahu juga bahawa aku lelaki dan bila lelaki macam aku termenung lebih dari sepuluh minit... mesti ada racun yang tumpah.
"Rissa," aku panggil perlahan. "Aku dengan kau. Mana ada masa layan pelajar."
"Bullshit."
Aku gelak kecil. "Cemburu?"
Rissa gelak balik. "Tak. Aku cuma nak pastikan... kalau ada perempuan lain sentuh kau, dia tahu tangan dia akan dipotong."
Nada dia manja tapi ancaman itu real dan aku tahu... kalau Maira terus main api, Rissa akan hidu. Dan bila Rissa hidu, akan ada darah.
Aku pandang Rissa lama. Dia sengih. Bahu dia diurut. Mata dia terpejam balik.
Tapi dalam kepala aku... wajah Rissa perlahan-lahan kabur, diganti dengan wajah lain. Wajah Maira dan aku masih tak pasti siapa sebenarnya yang akan jadi mangsa dalam hal ini.
Bunyi muzik instrumental bergema. Bilik spa masih sejuk. Lampu malap. Terapis perempuan teruskan gerakan perlahan ke arah belakang bahu Rissa, jari dia tekan otot belikat. Rissa masih baring meniarap tapi dari gerak otot tengkuk dia, aku tahu dia mula tak selesa.
KRAKK.
Bunyi halus sendi ditekan.
"ARRGHHH!" Rissa tiba-tiba jerit.
Terapis tu terkejut terus angkat tangan. "I'm so sorry, ma'am! Saya tak sengaja..."
"Bodoh ke kau?!" Suara Rissa meninggi. "Aku suruh urut, bukan suruh patahkan tulang aku!"
Terapis itu tergagap. "M...maafkan saya, saya tekan point biasa..."
"Point kepala otak kau!" Rissa tolak bantal spa dan bangun duduk, rambut berterabur, tuala senget sedikit, tapi dia tak peduli. Muka dia merah. Mata dia tajam. Nafas dia laju macam singa betina cedera.
"Aku bayar mahal tau untuk spa ni. Bukan datang sini nak kena dera!"
Terapis itu sudah tunduk. Tangan tergenggam. "Maafkan saya, saya betul-betul tak sengaja. Kalau puan nak, saya boleh..."
"Tak payah! Tangan kau tu keras macam mesin bancuh simen. Kalau aku lumpuh lepas ni, kau siap!"
Aku masih duduk di sofa. Diam.
Mata aku renung setiap pergerakan Rissa. Jeritan. Nada. Riak muka. Tangannya yang melambai-lambai kasar bila bercakap. Sisi dia yang paling jujur keluar waktu macam ini. Dan aku suka tengok dia begitu.
"Reza! Cakaplah sesuatu! Kau nampak tak bodoh sangat urut dia?!"
Aku pandang Rissa. Pandang terapis. Kemudian aku tarik nafas. Perlahan.
"Rissa... duduk balik. Urut sudah habis. Kita keluar lepas ni."
Dia pandang aku. Masih berapi. "Dia sakitkan aku, Reza."
Aku angguk perlahan. "Aku tahu tapi kau jerit pun tak boleh patahkan jari dia. Lagipun... kaukan gila. Kau suka simpan dendam."
Rissa ketawa kecil tapi ketawa orang gila.
"Betul. Aku simpan tapi aku simpan elok-elok... dalam peti besi. Nanti bila aku buka... tangan dia yang pertama aku cari."
Terapis tu makin tunduk. Hampir menangis. Dan aku? Masih duduk, tengok sebab bagi aku ini semua cuma babak kecil... dalam teater besar yang sedang aku arahkan.
Rissa sudah bangkit dari katil urut. Dia tarik tuala tutup badan, buka pintu dan masuk ke bilik air peribadi sebelah. Bunyi air pancuran kedengaran samar.
Aku masih duduk. Tenang tapi kepala aku bergerak satu tahap ke atas. Switch mode.
Aku toleh. Mata aku tangkap staf spa tadi. Masih berdiri dekat dinding, tangan dia menggigil sikit, tangan kanan pegang botol minyak urut. Nafas dia pendek-pendek.
Aku angkat tangan. Isyarat senyap. "Datang sini."
Dia pandang aku. Teragak-agak tapi perlahan-lahan melangkah. Kasut lembut spa berbunyi kecil atas lantai marble.
Bila dia sampai depan aku, aku bangun perlahan. Berdiri. Ketinggian aku melebihi dia. Mata aku renung tepat ke anak mata dia tanpa senyuman, tanpa sebarang ekspresi.
"Nama?"
"S...saya Mira, encik."
Aku angguk kecil. Nada suara aku perlahan, terlalu perlahan tapi tajam.
"Mira... awak tahu siapa perempuan yang awak urut tadi tu?"
Dia diam. Tubuh dia tegak, tapi lutut macam goyang.
"Tu bakal isteri saya."
Mata Mira terbeliak sedikit. "Saya betul-betul minta maaf, encik. Saya tak sengaja tekan kuat tadi. Dia... dia terlalu sensitif bahagian situ..."
"Aku tak tanya kau kenapa."
Suara aku tenggelam... tapi menggigit. Aku melangkah perlahan satu tapak ke depan. Berdiri lebih dekat. Dia mundur setapak automatik.
"Kalau Rissa cacat lepas ni..." Aku berhenti.
Mata aku turun ke tangannya. "...kalau dia tak boleh angkat tangan, atau tak boleh menulis, atau rasa sakit berbulan-bulan..."
Aku dongak balik. Mata kami bertembung. "...aku akan pastikan kau bukan saja kena buang kerja, tapi nama kau hilang dari sistem spa seluruh negeri ni."
Dia tutup mulut. Nafas dia laju. Hampir menangis. "Saya... saya akan minta maaf pada dia. Saya janji saya takkan..."
"Diam." Satu perkataan. Cukup untuk buat dia kaku. Aku tunduk sikit. Ucap perlahan, dekat telinga dia.
"Doa tangan Rissa masih boleh peluk aku malam ni."
Aku terus jalan. Tinggalkan dia berdiri macam patung. Jantung dia berdegup... aku dengar dan dalam kepala aku, satu ayat terngiang:
Kadang-kadang tak perlu darah... untuk bunuh manusia. Cukup dengan rasa takut.
Bunyi pintu bilik air terbuka perlahan. Aku toleh. Rissa keluar. Rambut basah separuh, leher jinjang terdedah. Dia pakai blouse putih satin, skirt hitam paras lutut. Wajah dia tanpa foundation tebal tetap cantik, tetap menjengkelkan.
Tapi mata dia masih berapi. Dia capai beg tangan, dan dengan gaya penuh gaya tarik tangan aku kasar sikit.
"Jom. Kita blah dari spa bodoh ni."
Aku bangun ikut. Tak lawan. Tangan dia masih pegang pergelangan aku, kuku pendek dia cat hitam. Cengkaman dia kuat macam tak puas hati dengan dunia.
Sambil melangkah keluar dari bilik eksklusif itu, suara dia naik lagi. Bukan menjerit. Tapi cukup kuat untuk didengar semua staf yang lalu-lalang.
"Spa mahal-mahal tapi hire staf kampung. Urut pun tak reti! Main tekan je macam uli tepung!"
Aku jeling dia. Senyum nipis. Dia sambung, makin menjadi.
"Ingat aku ni siapa? Bayar pakej couple suite hampir seribu ringgit tau tapi dapat layanan macam rumah kebajikan. Next time baik aku minta monyet urut, at least aku boleh gelak!"
Terapis lain dekat kaunter buat-buat tunduk. Ada yang bisik sesama sendiri. Aku biar.
Rissa memang begitu. Dia tak percaya pada 'teguran berhemah'. Dia percaya pada 'siapa bayar lebih, suara dia paling besar'.
"Reza, aku sumpah, kalau aku lumpuh sebab si bodoh tu, aku saman spa ni sampai tutup!" Dia tarik aku ke lif.
Dan aku... masih diam tapi dalam hati, aku tahu, bukan Rissa yang trauma petang ini. Yang trauma, seluruh spa itu.
Share this novel