Bab 134

Mature Content Series 3593

Reza Harith

Dewan kuliah ini sejuk tapi bukan sejuk yang menyenangkan. Sejuk yang buatkan jari keras, dan otak beku. Ada yang tengok aku macam patung pameran. Ada yang senyum palsu, yang lain... duduk dengan muka seperti baru lepas maki kekasih sebab balas DM ex.

Aku berdiri di hadapan meja panjang pensyarah. Kemeja hitam aku gulung ke lengan. Layar projektor di belakang masih tertera tajuk besar:

"DEFENSE MECHANISMS: APA YANG OTAK SEMBUNYIKAN DARIPADA DIRI SENDIRI."

Aku genggam marker di tangan kanan. Jari-jari aku masih sejuk, tapi suara aku kekal tenang.

"Siapa boleh beri saya satu contoh mekanisme pertahanan diri?"

Beberapa kepala terus tunduk. Pura-pura cari pen. Ada yang berlakon semak nota. Yang main telefon bawah meja pun sempat swipe dua kali sebelum berhenti.

Seorang pelajar lelaki bersuara, "Denial, sir..."

Aku angkat kening. "Penafian. Bagus."

Aku melangkah perlahan ke kanan. Marker aku putar perlahan antara jari.

"Contohnya... awak tahu awak gagal dalam hubungan, tapi awak salahkan dunia. Awak tak salahkan diri sendiri. Awak kata, 'dia tak faham saya.' Sedangkan... awak sendiri tak kenal siapa awak."

Beberapa pelajar tersenyum. Selebihnya diam. Aku suka begini. Bila senyap itu lebih jujur daripada gelak kosong.

"Saya ulang. Defense mechanism bukan untuk dipuja. Ia untuk difahami. Sebab bila terlalu bergantung... awak akan hilang kawalan pada realiti."

Aku berhenti depan meja depan. Pelajar perempuan di situ tunduk sambil mencatat nota, tapi tangan dia terketar. Mata merah. Sama ada dia terlalu penat, atau terlalu pandai berpura-pura okay. Aku tahu jenis macam ini. Dalam dunia aku, dia mangsa yang belum jatuh sepenuhnya.

"Ujian semester akan diadakan minggu depan."

Suasana terus bertukar. Keluhan bergema macam azan yang tak diendahkan. Aku tahan senyum.

"Saya tahu ramai di sini yang baru akan mula buka nota dua hari sebelum ujian. Tapi ini psikologi. Bukan sains komputer. Tak boleh install terus masuk otak."

Aku capai marker, tulis satu ayat di whiteboard:

"REALITI TIDAK MENGENAL KESIAN."

"Apa yang saya ajar hari ini... bukan untuk markah. Tapi untuk masa depan awak. Kalau awak tak kenal apa itu repression, suppression, displacement... jangan pelik kalau satu hari nanti awak marah tanpa sebab, menangis tanpa punca, atau terjun bangunan tanpa nota tinggal."

Aku letak marker perlahan di meja. "Itu sahaja. Minggu depan kita sambung bab seterusnya. Pastikan awak faham, bukan hafal."

Aku ambil laptop, masukkan dalam beg. Langkah aku perlahan menuju pintu. Tak ada yang tegur. Cuma bunyi kerusi diseret. Bunyi biasa dalam kelas yang luarannya tenang, tapi dalamnya... berderai.

Aku buka pintu dan keluar dari dewan kuliah. Meninggalkan puluhan emosi yang belum sempat mereka hadam.

Lorong ke blok pensyarah sunyi seperti biasa. Lantai mozek berkilat, dinding bercat putih, dan poster motivasi pelajar tahun lepas yang entah kenapa masih belum diturunkan.

"Belajar Bukan Untuk Lulus. Tapi Untuk Jadi Manusia." Ironi. Sebab manusia yang pasang poster tu sendiri kantoi plagiat tesis.

Aku berjalan perlahan. Beg sandang tersangkut di bahu kanan, bunyi tapak kasut kulit bergema halus setiap langkah. Jalan ini selalu sepi, kecuali waktu pelajar berkerumun nak hantar tugasan lambat dan cari alasan.

"Sir Reza!"

Aku tak perlu toleh pun untuk tahu suara siapa. Lembut, tapi dibuat-buat. Nada suara macam iklan teh tarik, manis sangat sampai rasa palsu.

Aku hentikan langkah dan pusing sedikit. Dua orang pelajar perempuan berdiri di hujung koridor, senyum lebar.

Maira dan Yana.

Mereka berpakaian kemas. Maira pakai blouse krim dan seluar slack hitam, rambut disanggul separa, mata berbulu mata palsu yang terlalu panjang untuk hari Isnin. Yana pula lebih lowkey cardigan labuh, nota ditangan, tapi senyum dia jenis yang tak berani tengok mata aku lama-lama.

Mereka berdua selalu duduk barisan ketiga dari depan dalam kelas. Rajin angkat tangan. Rajin juga puji slide aku di email walaupun aku tak pernah balas.

"Ya?" Aku senyum sedikit. Profesional. Suara aku tenang. Tak mesra, tak kasar. Seimbang.

"Err... kami cuma nak tanya sikit pasal topik tadi," kata Maira, langkahnya perlahan mendekati. Yana ikut dari belakang, tapi macam ragu-ragu nak bersuara.

"Kalau pasal topik, boleh rujuk pada nota kuliah saya atau... tanya di sesi konsultasi hari Rabu," aku jawab. Mata aku tepat ke arah mereka. Tak lari. Tak senyum lebih.

Mereka terdiam sekejap. Kemudian Maira ketawa kecil. "Bukan tu je, sir. Saya... sebenarnya kagum dengan cara sir mengajar. Slide sir lain daripada pensyarah lain. Saya rasa... inspired."

Aku tak jawab. Cuma angguk sedikit. Aku sudah biasa. Setiap semester, akan ada pelajar seperti ini. Terlalu banyak 'inspired'. Terlalu banyak yang 'nak tanya soalan'. Terlalu banyak yang tunggu di luar waktu akademik atas alasan 'nak faham topik lebih mendalam', tapi mata mereka lebih tertarik pada lengan baju aku yang digulung.

"Terima kasih. Saya anggap itu sebagai motivasi untuk terus mengajar." Suara aku kekal datar. Tak beri ruang untuk sambung puji.

Yana akhirnya bersuara. "Sir selalu baca buku psikologi luar silibus, ya? Sebab point sir... macam banyak dari pengalaman hidup."

Aku senyum nipis. "Pengalaman hidup kadang-kadang lebih tajam daripada teori. Tapi bukan semua orang sanggup faham."

Mereka senyum lagi. Maira sempat pandang aku dari atas ke bawah. Sekilas. Tapi cukup untuk aku perasan.

"Kalau tiada soalan penting, saya minta diri dulu. Saya ada tugasan pelajar tahun akhir yang perlu semak."

Aku tak tunggu mereka jawab. Aku terus berjalan.

Sampai depan bilik pensyarah, aku buka pintu pejabat aku sendiri. Bau kopi yang aku tinggal tadi pagi masih berlegar dalam ruang kecil itu.

Aku masuk, tutup pintu perlahan dan dunia luar... kembali senyap.

Bunyi pintu ditutup perlahan. Klik.

Aku letak beg atas kerusi dan terus duduk di kerusi kerja yang sudah mula berkeriut bila aku bersandar. Bau bilik ini tak berubah, campuran kopi pagi, habuk buku lama, dan sedikit bau lavender dari penyembur bilik yang aku beli tapi tak pernah guna sejak bulan lepas.

Monitor di depan aku menyala. Password taip dalam dua saat. Fail pelajar, tugasan, semua dalam folder. Tapi aku tak buka semua itu. Jari aku buka tab baru.

Google.

Aku taip perlahan. "Cincin kahwin untuk perempuan"

Enter. Sekelip mata, browser aku dipenuhi gambar cincin, ada yang berkilau macam mahu butakan mata, ada yang nampak macam gula-gula mahal. Satu cincin bentuk hati. Satu lagi bentuk infinity. Ada yang bertatah satu batu, ada yang penuh keliling macam cincin Thanos.

Aku senyap. Skrin komputer aku berkelip dengan ribuan image.

Perasaan aku? Pening.

Ini bukan dunia aku. Aku biasa pilih sarung tangan getah untuk bunuh orang, bukan cincin platinum dengan berlian 0.5 karat.

Aku skrol perlahan.

'White gold'.

'Rose gold'.

'Moissanite lebih jimat dari berlian'.

'Design simple tapi classy'.

'Bentuk love ini cun kalau dia jari runcing'.

Aku urut tengkuk. Aku rasa nak termuntah tengok nama-nama ini. Tapi dalam kepala aku cuma satu orang iaitu Rissa.

Perempuan itu pelik. Pakaian dia tak pernah cukup kain. Suara dia menjengkelkan. Mood swing dia macam anak patung rosak. Tapi dalam kekalutan dia, ada ruang kosong yang aku selalu nampak dalam diri aku sendiri.

Dan hari itu... bila dia baring atas dada aku sambil senyum bodoh, aku tahu, aku tak boleh terus hidup tanpa dia.

Tapi bab cincin ini... Ya Tuhan, kenapa manusia cipta begitu banyak bentuk?

Aku klik satu gambar. Cincin ringkas dengan satu batu kecil di tengah. Tak besar. Tak sarat. Tak fake. Macam dia.

Aku simpan gambar itu. Hanya satu. Sebab aku tahu kalau aku buka satu lagi tab, aku akan terbunuh oleh pilihan sendiri.

Tok tok!

Ketukan yang sopan. Suara kayu diketuk jari. Lembut. Tapi cukup untuk pecahkan tumpuan aku yang baru nak faham beza white gold dengan moissanite.

"Masuk," suara aku tenang.

Pintu pejabat aku terbuka perlahan. Wajah yang menjengah dari celah daun pintu itu bukan asing. Zana, kerani pentadbiran fakulti. Penjaga rekod jadual, senarai kehadiran staf, dan pembekal biskut raya tahunan yang selalu terselit kad comel bertulis "Untuk Sir Reza".

Dia masuk perlahan. Tudung bawal warna tanah liat, blouse putih longgar, senyuman jenis manis sampai nampak gusi. Senyuman yang sudah biasa aku nampak... sejak tujuh tahun lepas.

Ya. Aku sudah tujuh tahun duduk dalam bilik ini. Bilik kecil berlangsir polos, dua rak buku dan satu mesin pencetak yang selalu paper jam. Tujuh tahun dengar pelajar keluar masuk dengan soalan skrip yang sama. Tujuh tahun senyum sopan depan staf yang hati mereka terbuka lebih luas daripada laci fail admin.

Tapi aku masih kekok bila datang bab macam ini.

"Assalamualaikum, sir," Zana buka langkah dengan suara lembut. "Maaf kacau. Sir tengah sibuk ke?"

Aku geleng perlahan. "Tak juga. Ada apa, Cik Zana?"

Dia berdiri depan meja aku, peluk fail hijau macam pelindung dada. "Saya... nak tanya sikit."

Aku angguk. "Silakan."

Dia pandang lantai. Kemudian pandang aku.
"Sir dah makan?"

Aku diam sekejap. Jari aku still pegang tetikus. Satu tab penuh dengan cincin kahwin masih terbuka atas skrin.

"Belum."

Zana senyum kecil. "Saya... teringin nak ajak sir keluar lunch hari ni. Kalau tak keberatan."

Aku tak terus jawab.

Sebab aku tahu ini bukan kali pertama dia cuba. Cuma sebelum ini bentuknya berbeza. Pernah ajak 'temankan beli barang kat kedai alat tulis', pernah 'tersalah info' konon kelas batal, tapi muncul depan pejabat aku dengan air kotak dua. Semua halus. Semua sopan.

Dan aku... masih kekal dalam mod pensyarah. Bukan lelaki bujang yang sedang pilih cincin untuk perempuan psiko bernama Rissa.

"Saya ada beberapa tugasan pelajar tahun akhir yang perlu saya semak..." suara aku tenang. "Mungkin lain kali."

Zana tunduk perlahan. Senyuman dia tak berubah, tapi mata dia tak sembunyikan rasa kecewa.

"Baiklah. Saya faham. Saya keluar dulu ya, sir."

Aku angguk. Dia jalan perlahan ke pintu, tutup semula dengan cermat. Tak ada bunyi hentak. Tak ada drama.

Bilik aku kembali senyap. Hanya tinggal aku, skrin komputer, dan ribuan cincin yang tak pernah aku beli... sebab ini kali pertama aku betul-betul serius tentang sesuatu. Tentang seseorang.

Dan orang itu... bukan Zana. Pintu bilik tertutup semula. Sunyi. Cuma bunyi pendingin hawa dan degupan hati yang tahu dia baru lepaskan seorang perempuan yang baik... tanpa rasa bersalah.

Aku sandar ke belakang. Kerusi ini masih berbunyi keriuk perlahan macam mengeluh sebab aku masih tak pandai hargai manusia.

Aku sengih. Sinis. Panas. Sebab aku tahu. Zana memang cuba dekat. Dari dulu. Dan aku? Masih statik. Masih keras. Masih tak bergerak walau setapak pun.

Bukan sebab aku sombong. Bukan sebab aku tak nampak usaha dia. Tapi sebab aku tahu satu hal yang Zana tak akan boleh lawan:

Dia bukan Rissa.

Dan Rissa... Dia bukan jenis perempuan yang datang ajak makan dengan suara lembut dan mata tunduk malu. Dia jenis masuk bilik aku tanpa ketuk, tolak fail atas meja, dan marah kalau aku lambat reply mesej.

Dia jenis peluk aku dari belakang lepas gaduh besar malam sebelumnya dengan t-shirt aku yang dia pakai. Jenis baring atas paha aku sambil hisap lollipop dan buat muka tak bersalah lepas habis jerit dekat cashier restoran. Jenis yang... bila dia senyum, aku lupa dunia.

Rissa itu gila. Tapi dia gila aku.

Bibir dia manja. Tapi kalau dia jerit, semua jantung lelaki boleh pecah. Tangan dia halus. Tapi kuku dia pernah tinggalkan calar panjang atas belakang aku, calar yang aku tengok dalam cermin... sambil senyum puas.

Tubuh dia? Penuh dosa dan godaan. Tapi bila dia tidur atas dada aku malam itu, dengan rambut pendek dia berselerak dan muka tak makeup langsung... Aku tahu tiada perempuan lain dalam dunia ini yang mampu buat aku tunduk macam dia.

Rissa bukan sempurna. Dia liar. Dia keras kepala. Dia psiko. Tapi bila dia pandang aku dengan mata manja, dan panggil nama aku perlahan...

Reza... suara dia macam racun yang aku sanggup telan setiap hari.

Dan sebab itu... Tak kira berapa banyak perempuan macam Zana yang cuba isi ruang ini mereka tetap tak cukup. Tak pernah cukup. Sebab hati aku sudah penuh. Penuh dengan Rissa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience