Hari Isnin. Langit pun nampak malas nak cerah betul. Sama macam mata aku. Berat. Perit. Aku sandar belakang kerusi pensyarah yang sudah lunyai span dia. Bau kopi semalam masih lekat kat hujung lidah.
Depan aku, budak-budak ini duduk senyap. Tengok aku macam aku ini hantu baru bangkit dari tanah. Aku balas pandang. Satu-satu. Aku kira dalam kepala siapa yang tidur, siapa yang buat-buat tekun.
Aku angkat tangan, tunjuk jari ke fail hitam kat meja. Suara aku parau, malas. "Assignment minggu lepas. Letak atas meja saya sebelum keluar."
Beberapa orang terkial-kial buka beg. Ada yang sudah siap print, muka lega. Ada yang terpisat-pisat cari pendrive dalam poket hoodie. Aku senyum sikit. Senyum nipis. Menyampah pun ada."Siapa lupa..." aku hentak pen atas meja, tak kuat pun, cukup buat yang baru nak terlelap terkejut. "...pandai-pandai cari saya kat bilik petang nanti. Jangan bagi saya cari awak."
Aku perhati sorang budak perempuan depan aku. Tangan dia gigil letak kertas. Bau minyak wangi dia tebal, tapi mata dia lagi tebal menipu. Aku tahu dia tak buat pun sendiri. Copy paste tapi aku diam. Biar dulu. Seronok tengok orang bodoh rasa dia selamat.
Aku toleh jam. Baru 8:10 pagi. Hari ini panjang lagi dan aku belum cukup tidur.
Aku hempas badan ke kerusi. Bunyi spring patah entah sudah berapa kali aku dengar. Peduli apa. Asalkan masih boleh sandar. Aku celikkan mata sikit tengok barisan budak-budak ini yang sudah terkedek-kedek buka laptop sendiri. Ada yang pakai tablet, ada yang masih menulis atas buku nota lusuh.
"Apa lagi tengok muka saya. Sambung assignment yang tak siap tu. Sekarang."
Aku buka laptop aku sendiri. Skrin gelap pantulkan muka aku yang mata merah, eyebag setia. Aku klik fail satu-satu. Minggu ini aku kena habiskan topik Cognitive Dissonance dengan Defense Mechanism. Lucu. Otak mereka pun sudah berkarat, mana nak hadam? Tapi aku peduli apa. Sumbat semua masuk kepala mereka. Lulus tak lulus, itu cerita lain.
Aku skrol senarai nama. Beberapa nama aku tanda merah. Copy paste assignment lama, tukar tajuk saja. Ingat aku tak perasan? Aku senyum nipis, telan nafas panjang.
Aku dengar bunyi kerusi berkeriut. Bau kertas baru print campur bau orang baru mandi. Satu kelas senyap. Bunyi kipas siling pun kedengaran macam pisau berputar. Aku suka suasana macam ini. Tenang. Terkawal. Semua duduk diam, tak ada yang pandai-pandai nak berani soal aku.
Jari aku laju tekan papan kekunci. Tab Excel terbuka, aku catat siapa mangsa aku seterusnya. Kalau malas, kena ajar. Kalau berani menipu, kena ajar lebih lagi.
Aku baru nak rehatkan mata lima saat, ada bayang berdiri sebelah meja. Muka baik. Tudung lilit kemas, baju blouse putih, skirt labuh. Dia pegang fail biru rapat ke dada macam pegang jantung sendiri.
"Err... Sir Reza," suara dia perlahan, tenggelam dalam bunyi kipas. Aku toleh, angkat kening. Dia telan air liur. Mata dia teragak-agak pandang skrin laptop aku, kemudian tunduk balik.
"Ada apa?" suara aku datar, tangan masih tekan touchpad.
Dia hulur kertas nota. Tulisan dia kemas. "Saya... saya kurang faham pasal Defense Mechanism ni, sir. Bahagian Repression dengan Sublimation... boleh terangkan sikit?"
Aku tarik nafas. Pejam mata sekejap. Malas, tapi tak sampai hati nak tengking budak yang datang belajar. Aku tutup laptop. Tangan aku tunjuk dia duduk kerusi sebelah.
"Duduk."
Dia duduk perlahan, letak fail atas riba. Bau minyak wangi dia lembut. Tak macam budak-budak lain yang tepu spray satu badan.
Aku capai pen. Coret atas kertas dia. "Repression ni... macam ni, otak kau simpan benda yang trauma, tolak jauh-jauh dalam kotak gelap. Kau sedar tak sedar, benda tu duduk situ. Kadang kau teringat sekali sekala..."
Dia angguk kecil. Bulu mata dia lentik. Aku tak pandang lama.
"Sublimation pula otak kau ambil nafsu, ambil rasa agresif, ubah jadi benda yang orang boleh terima. Macam... orang marah sangat, pergi gym angkat besi. Atau lukis. Tulis puisi. Guna cara 'selamat'. Alaaa cara dia luahkan rasa marah tapi lepaskan dengan cara lain..."
Dia senyum sikit, angguk lagi. Mata dia betul-betul fokus kat pen aku gerak.
"Faham?"
Dia cepat-cepat angguk. "Faham, sir. Terima kasih."
Aku toleh balik laptop. "Kalau tak faham, tanya. Jangan tunggu saya cari awak."
Dia ketawa kecil, tunduk. Suara dia perlahan, "Baik, sir."
Aku baru nak capai mouse, dengar bunyi zip beg kecil dia dibuka. Pelajar perempuan ini kalut keluarkan sesuatu. Jari dia putih, kuku pendek. Elok.
Dia letak satu benda atas meja. Bunyi klik perlahan. Keychain.
Dia tolak perlahan ke depan aku macam bagi hadiah pada budak sekolah rendah. Mata dia pandang aku, senyum kecil, senyum jenis tak berani tunjuk gigi.
"Err... saya... saya baru balik bercuti dari kat Ipoh. Saya beli ni... untuk sir."
Aku beku lima saat. Tengok keychain plastik lutsinar, dalam dia ada tulisan IPOH warna emas, gambar Menara Condong sekali. Murah tapi aku rasa hangat.
Aku angkat keychain itu, pusing depan belakang. Berat dia ringan, tapi rasa dia... entah. Bukan pasal harga. Tapi budak ini, sanggup ingat aku masa bercuti. Tak ada siapa pernah bagi aku benda begini dalam kelas.
Aku sengih sikit. Sikit sangat takut budak lain nampak aku ini manusia.
"Terima kasih."
Dia senyum lagi. Kali ini nampak gigi sikit. Manis. "Sama-sama, sir."
Aku letak keychain itu tepi laptop. Jari aku main putar-putar. Mata aku masih tengok skrin, tapi hati aku sejuk sikit pagi ini.
Budak perempuan itu, Naura, kemas balik fail dia, pelan-pelan bangun dari kerusi sebelah. Bunyi kaki kerusi geser lantai, seret bunyi besi.
Dia tunduk sikit, cakap perlahan, "Terima kasih, sir."
Kemudian dia pusing badan, langkah perlahan ke kerusi dia di barisan tengah.
Aku ikut gerak dia dengan ekor mata. Entah kenapa kepala aku ligat ulang suara dia tadi. Saya beli ini... untuk sir. Aku pegang keychain itu. Ringan tapi macam cucuk otak aku.
Tiba-tiba aku bangun. Tangan aku letak atas meja, suara keluar sebelum sempat aku tapis.
"Err... Naura..."
Dia terhenti. Bahu dia naik turun perlahan. Dia pusing. Mata dia besar, terkejut sikit kena panggil. Aku jeling nama atas fail dia tadi.
"Nama awak... Naura kan?"
Dia angguk. Senyum lembut. Mata dia tenang, tak macam budak lain yang takut aku. "Ha'ah, sir. Naura."
Aku angkat kening. Tak tahu kenapa nak cakap apa lagi. Lidah aku kelu. Rasa bodoh. Aku cuma balas dengan angguk kecil.
"Okay. Duduklah. Sambung buat kerja."
Dia senyum lagi, tunduk hormat sikit. Langkah dia ringan balik ke tempat duduk. Aku berdiri macam tiang lampu. Keychain Ipoh itu masih sejuk dalam genggam.
Aku duduk balik. Tarik nafas panjang. Jari aku putar keychain Ipoh itu atas meja, bunyi dia ketuk kayu perlahan.
Naura. Baru sekarang otak aku buka fail lama yang berhabuk. Naura ini... pelajar aku dari tahun pertama. Muka dia selalu ada, tapi senyap. Tak pernah lebih, tak pernah kurang. Pointer dia konsisten atas kertas. Dia bukan jenis tanya soalan bodoh, bukan jenis tiru assignment. Kalau dia tanya, maksudnya memang dia nak faham. Bukan nak bodek.
Aku buka folder markah semester lepas. Nama dia duduk cantik paling atas. Pointer dia tak pernah turun. Tak pernah ponteng. Tak pernah lewat. Tak pernah datang berdua dengan jantan lain dari budak lain yang sibuk bercinta, bergaduh, buat drama busuk.
Tahun akhir. Aku pandang belakang kelas, tengok dia sudah duduk tekun buka laptop sambung taip.
Aku sandar badan ke kerusi. Mata aku pejam setengah. Dalam satu kelas ini, masih ada satu dua manusia yang bersih. Yang tak perlu aku buang masa nak ajar cara jadi manusia.
Aku genggam keychain Ipoh itu dalam tapak tangan. Aku rasa macam orang bagi aku lampu jalan, walau setitik.
Aku letak keychain Ipoh itu elok-elok tepi laptop. Jari aku ketuk meja perlahan, ikut rentak kipas siling yang berdecit malas. Entah kenapa kepala aku rasa ringan sikit. Bahu pun tak seberat tadi. Mungkin sebab keychain murah ini. Mungkin sebab budak nama Naura itu.
Aku betulkan duduk. Tekan suara bagi semua dengar. "Okay."
Satu kelas serentak angkat muka. Mata mereka sudah macam tikus terperangkap. Aku sengih kecil. Jarang tapi sengih juga.
"Assignment awak semua, siapa yang tak siap, sambung sekarang. Siap. Hantar kat saya sebelum pukul tiga petang ni. Kat bilik saya."
Beberapa orang yang tadi malas terus laju buka laptop. Ada yang berbisik sesama sendiri, angguk takut-takut. Aku biar. Bagus. Baru nampak rupa pelajar.
Aku lipat lengan baju kemeja. Duduk rapat ke meja, sambil jari main selak-selak slide PowerPoint untuk minggu depan. Suara aku tak kasar, nada pun datar tapi aku tahu hari ini aku tak akan maki siapa-siapa.
Mood aku baik. Entah kenapa. Mungkin sebab satu keychain Ipoh. Murah. Tapi tak semua orang bagi aku rasa macam ini.
Suka cerita RAG? Jangan lupa FOLLOW & KOMEN. Saya akan update Bab seterusnya lebih cepat.
Share this novel