Bab 85

Mature Content Series 1807

Malam itu, Azfar tiba-tiba ajak nak belanja aku dan Reza tengok wayang. Katanya cerita action. Katanya, sudah lama tak belanja kawan baik.

Kalau Azfar cakap dia nak belanja dan aku tahu ada dua kemungkinan.

Satu, dia tengah gatal. Dua, dia tengah gatal dan nak menutup kegatalan dia dengan aktiviti halal yang nampak macam bonding.

Aku tengok Reza seperti terpaksa. Muka dia macam baru lepas dipaksa buat presentation depan kelas lepas kemalangan. Kepala masih berbalut. Bandage putih yang tak matching langsung dengan t-shirt hitam dia tapi Reza tetap ikut.

"Takkan aku nak tinggal korang dua pergi dating," kata Reza dengan suara malas. "Nanti korang dua projek dalam panggung."

Azfar gelak sambil peluk bahu aku. "Kalau aku gay pun, kau yang pertama aku aim, Reza."

"Aku panggil polis sekarang jugak."

Aku rasa macam tisu kering dalam antara dua manusia sakit otak.

Kami bertiga masuk dalam kereta Azfar, Honda Civic Type R kesayangan dia yang bau dalamnya macam minyak wangi bercampur dosa semalam. Tak sampai 10 minit dalam kereta, aku sudah rasa menyesal ikut.

"Cerita action apa yang kita nak tengok ni?" aku tanya.

Azfar senyum macam pelakon iklan sabun.

"Cerita Thai. Best gila. Ada babak kereta meletup. Ada heroin seksi."

Aku pandang Reza. Reza pandang aku. Kami sama-sama tahu ini bukan wayang malam ini. Ini perangkap.

Setibanya di mall, Azfar belanja popcorn besar, air besar, dan senyuman besar. Aku makin curiga. Dia beli tiga tiket tapi bila sampai depan hall...

Dia hulur satu tiket saja pada aku. "Enjoy cerita tu, bro. Aku ada hal kejap. Reza teman aku kejap je. Nanti kami masuk lambat sikit."

Aku tengok tiket aku.

Hall 8. Cerita action entah apa. Aku tengok tiket Reza. Kosong.

Aku tengok Azfar. Azfar tengah pegang telefon sambil senyum macam baru dapat notifikasi dari skandal dia. Sial betul hidup aku.

Aku melangkah masuk ke dalam panggung wayang sendirian, macam anak yatim yang tak laku masa rombongan sekolah.

Seat G10. Tengah-tengah. Strategik tapi sejuk. Tengah hati aku pun sejuk sebenarnya. Sejuk nak mampus sebab baru kena game dengan Azfar haram jadah.

Aku sumpah dia dalam hati. Tak boleh kuat sangat. Nanti pengunjung lain pandang aku macam banduan lepas larikan diri dari Tanjung Rambutan.

Azfar si buaya durjana. Azfar si binatang bertopeng manusia. Azfar si penipu profesional yang patut masuk MLM tapi terjebak jadi skandal hunter.

Aku sudah agak. Confirm dia ada plan lain. Siap peluk bahu aku tadi konon mesra brotherhood. Padahal aku tahu pelukan itu bukan ikhlas. Pelukan itu adalah pelukan lelaki yang nak kaburkan niat sebenar supaya aku tak syak. Bodoh betul aku masih ikut.

Pukul 9:30 malam. Movie sudah start tapi bayang Reza dengan Azfar? Haram tak muncul.

Aku jeling seat sebelah. Kosong. Seat sebelah lagi pun kosong. Hati aku pun kosong.

Aku cuba fokus tengok skrin. Letupan. Kejar-mengejar. Hero acah-acah selamatkan dunia. Tapi dunia aku sudah hancur sejak Azfar buat aku tengok wayang sendirian.

Aku nak enjoy popcorn. Tapi popcorn pun sudah rasa macam span penyerap air liur sendiri. Aku tarik nafas. Cuba tenang.

Sampai aku nampak sesuatu yang merosakkan segala nikmat dunia.

Depan aku. Barisan F. Couple.

Lelaki pakai hoodie. Perempuan bersanggul tinggi macam bawang. Aku tak ada masalah dengan fashion mereka. Masalah aku ialah mereka buat projek dalam panggung macam itu bilik mereka sendiri.

Mula-mula tangan saja pegang. Lepas itu leher. Lepas itu bahu dan selepas itu...

WEI AKU NAMPAK KEPALA PEREMPUAN ITU TERLIUK MACAM KENA SAMPUK!

Aku nak pekik, tapi aku masih ada maruah walaupun maruah aku tengah diinjak-injak bersama popcorn basi ini.

Mereka sambung lagi. Tangan si lelaki mula masuk dalam baju si perempuan. Aku ketap gigi. Ini panggung GSC, bukan kelab 18SX!

Muka aku makin tegang. Kening aku bergetar. Aku sudah macam bomba yang tunggu nak sembur air.

Azfar tinggalkan aku. Reza pun lesap. Couple depan aku main bibir. Aku jadi saksi dosa orang malam ini tanpa rela.

Aku tahan. Tahan. TAHAN!!!

Sampai tiba-tiba si perempuan tergelak kecil, sambil bisik:

"Weh abang ni gatal la... kang orang nampak."

Dan si lelaki jawab:

"Tak ada orang tengok... yang belakang tu lelaki je. Muka nerd. Tak kisah pun."

AKU DENGAR ITU!

AKU DENGAR DENGAN JELAS!

Aku peluk popcorn dengan jiwa yang hancur. "Nerd? Aku nerd? Aku nerd yang korang tengah cabuli mata aku ni?!"

Dalam hati aku jerit tapi luaran aku cuma...

...tarik hoodie dan pegang straw air macam senjata.

Aku baru nak bangun keluar. Nak lari dari adegan soft porn depan mata. Belum sempat aku langkahi seat ada dua bayang muncul di hujung lorong. Jalan terkedek-kedek, macam pelarian dari Afghanistan.

Azfar dan Reza. Dua makhluk terkutuk yang kononnya belanja aku tengok wayang tapi hilang 45 minit.

Tapi ada satu benda pelik.

Azfar. Pipi dia merah. Terang macam kena penampar. Dan bukan pipi manja-manja. Ini pipi yang berbekas bentuk jari, weh!

Aku terus pandang Reza. Reza macam patung lilin. Dingin. Kosong. Muka dia macam baru tengok jenayah berlaku depan mata tapi malas nak buat laporan polis.

Aku bisik perlahab.

"Azfar... apa jadi? Pipi tu? Siapa yang tampar? Aimi ke? Bini orang mana lagi kali ni?"

Azfar tak jawab. Dia cuma... jeling aku macam nak campak aku dari seat G10 ke seat neraka.

"Kau nak tengok cerita ke nak tulis skrip gosip? Diam la."

PERGH!

Dia marah aku?

AKU YANG KENA TINGGAL! AKU YANG SAKIT MATA TENGOK ORANG PROJEK DEPAN MATA!

Aku tunduk. Konon tunduk tapi mata aku jeling lagi pipi dia.

"Tapi serious la... shape tangan tu macam perempuan. Muka kau pun macam kena reject..."

Azfar pandang aku sekali lagi. "Ghibran. Diam. Kalau tak, aku sepak kau keluar hall ni."

Aku pandang Reza. "Kau okay?"

Reza cuma jawab, perlahan tapi padat.

"Tengok je cerita tu. Malas nak layan drama bodoh Azfar."

Lepas itu dia duduk. Lengan silang. Muka macam professor kecewa dengan pelajarnya. Aku kembali duduk.

Tiga lelaki. Satu berbekas tampar. Satu trauma tengok orang projek. Satu lagi... trauma entah pasal apa.

Aku pandang ke skrin. Hero baru tembak musuh. Aku rasa... aku musuh sebenar dalam hidup aku sendiri malam ini.

Aku baru nak fokus balik ke skrin bila Azfar tiba-tiba condong ke depan. Mata dia meliar. Mata itu... aku kenal. Itu mata Azfar yang baru detect 'aktiviti haram' depan mata dia.

Dia dongak. Tenung couple depan di barisan F. Yang sama. Yang masih lagi... projek romantik episod penuh walaupun skrin depan tengah letupkan jambatan.

Lelaki itu tangan sudah masuk balik dalam baju perempuan itu. Perempuan itu pula sudah baring sikit ke bahu. Rambut terurai, tangan pegang paha.

Weh panggung ini PG-13, bukan Hotel Seri Gombak!

Azfar tak tunggu. Dengan suara pasti satu hall akan dengar, dia menyampuk.

"WOI BANG INI PANGGUNG WAYANG, BUKAN BILIK TIDUR!"

Aku rasa jantung aku gugur. Reza terus tutup muka dengan tangan. Aku pulak kaku macam popcorn keras. Azfar belum habis.

"TANGAN TU DAH MASUK SAMPAI PERUT KE TU? KAU NAK KELUARKAN ANAK KE APA?!"

Couple itu terus kejung. Perempuan itu tarik tangan lelaki itu laju-laju. Muka dua-dua merah macam lobak masak.

"KALAU TAK TAHAN SANGAT, KELUAR HALL. ADA TANDAS HUJUNG TU ADA KERANJANG KAT DALAM!"

Aduh Azfar! Reza bisik ke aku, suara perlahan macam imam besar. "Aku nak keluar sekarang. Aku tak sanggup tanggung dosa Azfar."

Aku angguk tapi tak mampu gerak. Azfar duduk semula dengan bangga, silang kaki, popcorn sebelah tangan.

"Selesai satu kes maksiat."

Aku bisik perlahan. "Kau rasa ni Mesir zaman Firaun ke?"

Azfar sengih. "Sekurang-kurangnya kita semua selamat dari terkena cecair yang tak diundang."

Couple depan itu terus keluar hall. Reza tunduk sepanjang 3 minit seterusnya. Aku?

Aku cuma berfikir kenapa Tuhan campak aku duduk dengan dua spesies lelaki tak serupa manusia.

Couple tadi sudah cabut. Malu agaknya atau mungkin azab suara Azfar terlalu kuat sampai tak sempat klimaks emosi. Baguslah. Satu dosa dunia aku sudah lenyap malam ini.

Tapi malangnya... satu dosa lain masih hidup. Azfar.

Wayang sambung. Scene kejar helikopter. Hero berguling. Tembak-menembak. Jerit. Sound efek penuh telinga.

Aku cuba fokus. Betul-betul. Tapi...

"Weh... Reza. Hero ni punya gaya guling, macam Azman kat rumah anak yatim kita dulu masa main bola. Lepas guling-guling, kena sawan babi. Sama gaya."

Reza pandang depan. Tak layan. 5 minit kemudian...

"Weh, Reza. Kenapa heroin ni pakai baju putih padahal tembak-tembak? Nak masuk hutan ke nak photoshoot majalah?!"

Reza makin tegang. Aku tak mampu tahan. Aku sengih sambil peluk popcorn. Mulut Azfar ini memang jahanam sejak lahir.

Azfar belum habis. "Eh, Reza. Dia gigit peluru? Tu logik ke? Dah macam drama Tamil..."

Suara dia kononnya bisik... tapi bisik dia level megafon. Orang belakang jeling. Reza sudah tak tahan. Reza pusing ke Azfar, mata dia merah sikit sebab berdenyut kepala berbalut itu.

"AZFAR. AKU NAK TENGOK. KAU DIAM BOLEH TAK?"

Azfar senyap dua saat. Dua. Saat. Kemudian...

"Ooo. Marah. Ni mesti babak yang menyentuh jiwa tu kan..."

Aku tergelak perlahan. Sumpah, aku rasa aku dalam movie lagi satu filem genre 'Azfar tak reti diam vol. 3'.

Reza geleng kepala. Aku geleng masih hidup. Azfar geleng logik.

Tapi akhirnya... wayang habis. Lampu buka. Orang bangun dan aku masih belum pasti aku penonton filem atau pesakit mental yang baru balik dari aktiviti terapi.

Kami keluar dari panggung. Reza masih senyap. Azfar? Mulut dia lebih aktif dari engine Civic Type R dia.

"Weh. Hero tu punya acting tadi... sumpah kaku. Macam patung display kat ikea yang tengah tunggu pencen."

Aku tarik nafas. Tak sampai dua minit keluar hall, dia sambung lagi. "Heroin tu plak... kenapa tiap scene dia lip gloss maintain fresh? Tengah perang kot! Bukan photoshoot raya!"

Aku jeling Reza. Reza masih tak bercakap. Dia macam tengah kira pahala dia yang hilang satu-satu bila lepak dengan Azfar.

Kami jalan perlahan ke koridor mall. Baru nak rasa angin malam yang sejuk, Azfar mula topik sensitif balik.

"Dan couple tadi tu... sumpah la, tak faham aku. Dalam hall gelap pun sempat lagi projek. Tak boleh tunggu balik ke?"

"Dosa kot... dalam panggung tu! Kotor!"

Aku terus terbatuk kecil. Reza pandang aku sekejap. Mata kami bertembung. Dua-dua ada soalan yang sama.

"Eh Azfar, kau ni serius ke cakap?"

Aku tak tahan. "Azfar... kau tahu tak kau ni bunyi macam ustaz TikTok sekarang."

"Kenapa? Aku seru kebenaranlah. Couple tu tak senonoh. Kena la tegur."

Reza akhirnya buka mulut. "Azfar... KAU YANG SETIAP MINGGU PROJEK DALAM KERETA. Siap kena serbu polis sebab Aimi tu menjerit!"

Aku sambung. "Kau yang projek dalam stor ofis. Dalam bilik server. Dalam MEETING ROOM. Dengan skandal berlainan minggu ke minggu!"

Azfar buat muka blur. "Tapi aku tak kacau orang lain. Aku private."

Aku jerit perlahan. "KAU BUAT DALAM TEMPAT AWAM WEI!!"

Reza tepuk dahi. "Next time couple dalam wayang tu, biar je. Mereka tak ganggu hidup aku macam Azfar ganggu aku tadi."

Azfar sengih. Tak rasa bersalah langsung. Siap jawab. "Aku ganggu kau sebab aku sayang."

Aku rasa nak baling dia dari escalator tapi mall ramai orang. Dan aku belum cukup duit jamin kalau ditangkap.

Baru saja aku nak cabut balik rumah. Baru je kaki aku nak langkah ke lif. Tiba-tiba, suara syaitan jadian ini muncul.

"Jom lepak kedai mamak. Lapar. Aku nak roti canai garing tiga."

Aku pandang Azfar. Muka dia innocent. Macam dia tak baru je kutuk orang buat dosa dalam panggung 15 minit tadi.

"Azfar... kau baru tadi kutuk couple tu buat dosa."

"Ya, dan sekarang aku buat pahala makan malam dengan sahabat sejati."

SAHABAT KEPALA HOTAK KAU!

Reza diam. Tapi aku tahu, bila Reza diam itu, itu tanda dia sudah redha dengan nasib dia yang tak akan bebas dari Azfar sampai kiamat.

Kami jalan ke kedai mamak berdekatan. Azfar jalan depan. Penuh yakin macam ketua gangster nak sign kontrak supply teh tarik.

Sampai saja mamak, Azfar terus duduk dan jerit. "Boss! Roti canai tiga garing! Kuah campur lebih, sambal asing! Teh tarik kurang manis, tak nak buih!"

Aku bisik ke Reza. "Kau rasa tak malu ke dia order macam ni? Satu kedai mamak dengar."

Reza hirup air kosong yang baru sampai. "Aku rasa malu sejak panggung tadi lagi. Sekarang aku dah immune."

Azfar duduk sandar kerusi, tangan peluk perut. "Serius weh... wayang tadi tak best la. Kalau aku yang jadi director, dah lama aku suruh heroin tu tukar baju. Takkan perang pakai blouse putih. Bodoh ke apa?"

Aku pegang kepala. "Kalau kau jadi director, semua pelakon kena skandal dengan kau dulu kot."

"Atleast jalan cerita aku mantap."

Reza mencelah. "Kau punya 'jalan cerita' tadi lepas pun berakhir dengan pipi kau kena tampar."

Azfar gelak. "Tu bukan tampar, tu testing kasih sayang."

Aku rasa roti canai telur aku pun malu nak sampai ke meja tengok perangai Azfar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience