Azfar Darwisy
Aku tak terus balik ke rumah sewa lepas mamak tadi. Reza sempat jeling dan pesan...
"Jangan buat hal." Nada dia separuh ancam, separuh pasrah.
Aku sengih. "Relakslah. Aku cuma nak hidup."
Padahal aku tak pernah hidup cara normal sejak darjah lima. Kereta aku belok kiri, ikut jalan kecil sunyi. Waktu sudah lewat malam. Langit gelap. Lampu jalan suram. Spotify main lagu pelahan suara perempuan bisik-bisik dalam beat R&B.
Destinasi aku: rumah sewa Nisa.
Budak intern IT. Kecil, manja, rambut perang highlight sikit hujungnya bergulung macam curling iron curi dari Watsons. Suka pakai cardigan labuh yang dia biar terbuka, nampak tank top ketat dalam. Gaya dia ala-ala budak UIA dropout, tapi perangai macam budak TikTok cari sugar daddy.
Dia WhatsApp aku tadi. "Boleh jumpa malam ni, abang Azfar? Ada hal penting sangat nak bincang..."
Tak explain apa tapi ayat dia panjang. Ada emoji sedih. Ada titik tiga. Aku sudah kenal sangat gaya ayat perempuan yang sunyi dan nak dibelai bahaya.
Sekarang aku sudah parking. Enjin aku matikan. Lampu jalan atas kereta aku berkelip sikit. Rumah sewa dua tingkat, ada pokok rambutan kering depan pagar.
Aku tengok telefon. No new message. Tapi lampu dapur rumah dia sudah menyala. Bayang dia lalu depan tingkap. Rambut dia lepas, jatuh ke bahu.
Aku sengih. Tak kisah apa yang penting sangat nak dibincangkan malam ini... Yang aku tahu, kalau bincang itu ada aksi, aku sedia jawab semua soalan sampai subuh.
TOK TOK TOK!
Bunyi ketukan tingkap sebelah penumpang. Lemah. Perlahan. Tapi cukup buat jantung aku tersentak sikit.
Aku paling. Nisa berdiri di luar. Sweatshirt biru dia labuh sampai tutup paha. Rambut dia lepas, serabut. Mata dia sembap.
Aku tekan butang unlock. Dia buka pintu perlahan. Masuk. Tak cakap apa-apa.
Aku pandang dia. Bahu dia naik turun nafas tak stabil. Mata dia merah. Bibir bawah dia pecah sikit.
"Kenapa ni, Nisa?" Aku tanya perlahan. Suara aku tak buaya malam ini. Suara aku... normal. Rare. Dia diam. Tangan dia genggam hujung sweatshirt.
Aku tunggu tapi dia masih tak jawab. Bau minyak wangi dia ringan. Floral. Tapi ada hint macam bau tisu basah bayi lembut. Tapi sedih. Aku tengok tangan dia. Ada kesan calar halus. Pucat.
"Nisa..." Aku ulang. Perlahan. "Siapa buat kau macam ni?"
Dia tunduk. Bahu dia makin ketara bergetar. Aku tak sentuh. Tak peluk. Tak sentuh tangan.
Aku cuma... tunggu. Dia diam lama. Sampai aku pun mula rasa cuak. Tiba-tiba... Nisa buka zip beg dia perlahan.
Tangan dia masuk. Keluarkan sesuatu. Plastik kecil. Dalam itu... ada Pregnancy test. Dua line. Terang. Jelas. Tak samar. Tak ada ruang nak pura-pura kabur. Aku telan air liur.
"Err... apa ni Nisa?" Aku tanya sambil buat muka suci, konon tak pernah tengok benda itu seumur hidup.
Nisa pandang aku. Muka dia berubah. Mata makin merah. Air mata mula bergenang.
"Nisa pregnantlah, abang Azfar!!!" Suara dia naik. Bahu dia bergegar. Air mata dia jatuh, laju. Dia tahan suara, tapi tak berjaya. "Nisa pregnant... anak abang..."
Aku masih tengok test itu. Tak. Tak mungkin.
"Eh... tapi... bukan ke dah sebulan lebih abang tak sentuh Nisa?" Aku cuba tarik logik. Tarik nafas. Rasional. Statistik. Matematik.
Tapi Nisa terus jerit balik. "Ni anak abanglah! Nisa... Nisa tak tidur dengan orang lain pun! Nisa ni tidur dengan abang Azfar je tau!!!"
Air mata dia meleleh. Hidung dia merah. Dia pegang pregnancy test itu macam surat kematian.
"Abang lupa ke kita... malam tu... kat rumah abang masa abang kata Nisa satu-satunya budak manja yang abang sayang..."
Sial. Aku sandar kepala pada seat. Lampu jalan masuk dari cermin depan. Rasa macam dunia berhenti sekejap.
Anak?
Aku?
Dengan intern? Yang baru nak habis latihan industri? Sial. Sial. Sial.
Nisa terus menangis. Tangan dia genggam pregnancy test itu kuat-kuat. Air mata dia tak berhenti. Suara dia serak.
"Abang... abang kena kahwin dengan Nisa... kalau mak ayah Nisa kat kampung tahu Nisa mengandung... mati Nisa tau..." Dia goncang bahu aku. Kuat. Terdesak. Gila.
"Shhh... Nisa... jangan nangis..." Aku pujuk perlahan. Tangan aku naik ke kepala dia. Usap rambut dia yang panjang dan kusut itu perlahan.
Lembut. Aku pegang tengkuk dia. Dingin. Dia masih teresak. "Sekarang ni... lagi seminggu Nisa nak habis intern kan?" Suara aku tenang. Suara abang-abang. Suara pelakon drama 7 malam yang pura-pura penyayang.
Nisa angguk. Aku angkat dagu dia perlahan.
Mata dia basah. Aku senyum. "Abang janji. Abang setelkan semua ni... lepas Nisa habis intern."
Dia tunduk.
"Janji?" suara dia kecil. Macam budak minta janji tak akan ditinggal.
Aku angguk. Usap pipi dia perlahan. "Ye... abang Azfar janji. Nisa jangan risau."
Dia tunduk. Letak kepala atas dada aku. Tangisan dia perlahan. Aku peluk bahu dia. Gosok perlahan. Dari luar aku nampak tenang.
Tapi dalam kepala aku...
PANAS.
Darah aku naik. Bukan sebab cinta. Bukan sebab simpati tapi sebab aku tak sangka benda senang macam ini pun boleh jadi beban jangka panjang.
Nisa.
Intern.
Mengandung.
Minta kahwin.
Gila. Aku pandang luar cermin kereta. Angin malam tiup pokok rambutan kering. Lampu jalan berkelip. Aku gosok lengan Nisa perlahan. Tak lama lagi... budak ini lenyap dari hidup aku. Dengan cara aku.
***
"Lagi sekali... Azfar?" Suara Reza datar. Tapi tajam.
Dia berdiri depan aku. Tegak. Tak senyum. Mata dia tembus muka aku macam nak cabut niat dari tengkorak.
Aku tarik nafas. Angguk. Lambat dan berat.
"KAU NI TAK HABIS DERMA SPERMA..." Suara Ghibran dari kanan. Nada dia sindir. Tapi ayat dia betul-betul bakar. Kalau Reza tak ada depan aku sekarang... aku sumpah dah tumbuk mulut dia sampai senget.
Tapi aku sabar sebab Reza ada.
"Aku dah pesan banyak kali... pakai protection!" Reza naik suara. Dia langkah ke belakang. Tangan dia tarik rambut. Frustrated.
"KAU NI BODOHLAH AZFAR!"
BAMMM!!
Dia hentak kepala dia ke dinding dengan kuat. Dinding itu gegar sikit. Bingkai gambar miring.
Aku tunduk. Duduk atas sofa. Tangan aku pegang kepala. Konon serabut padahal... kosong.
"Sorrylah weh... aku tak jangka benda nak jadi macam ni..." Suara aku rendah. Tapi tak ada nada menyesal.
Ghibran geleng kepala sambil ketawa kecil.
Kononnya dia suci. "Kalau kita bunuh Nisa... dah jadi tujuh orang mangsa kau, Azfar."
Aku pandang dia. "Tak sangka... Reza."
Reza tak pandang aku. Dia tutup mata, ambil nafas panjang.
"Enam orang sebelum ni... aku tolong bersihkan semua. Tapi sekarang... budak tu intern. Dalam sistem syarikat. Budak pejabat. Benda ni boleh meletup, Azfar."
Aku gosok leher. Rasa tegang tapi bukan sebab takut. Cuma... annoyed.
"Relakslah, bro. Aku akan settle."
Reza tengok aku. "Settle macam mana? Kau nak racun? Kau nak tolak dia dari tingkat atas? Kau nak aku korek rahim dia lepas dia pengsan?"
Aku diam. Ruang tamu sunyi. TV tak buka. Lampu kuning. Bau rokok dari dapur masih samar.
Ghibran duduk silang kaki. "Azfar... aku rasa kali ni... kau betul-betul celaka."
"Sekarang ni... kita jangan buat cara sama lagi." Suara Reza tenang. Datar. Tapi dalam rumah sunyi macam ini suara dia bergema macam khutbah hitam.
Aku dan Ghibran diam. Tunggu. Reza langkah perlahan ke depan. Muka dia fokus. Mata tajam.
"Kita buat seolah-olah Nisa tu... bunuh diri."
Aku angguk kecil. Idea itu... macam bagus. Kreatif. Bersih. Tak panas.
"Aku pun penat jerut perempuan guna tali paracord..." Aku gumam perlahan. Separuh jujur. Separuh malas.
Ghibran jeling aku. "Aku tak faham macam mana kau boleh cakap benda tu macam kau penat pegang mouse."
Reza teruskan. "Kita setting scene. Dalam bilik sewa dia. Atau bangunan usang. Gantung diri. Letak kerusi. Tulis nota. Kita buat bersih. Polis tengok pun akan tutup kes."
Aku garu dagu. "Okey. Tapi... macam mana cara?"
Reza senyum sinis. "Simple. Kau jerut dia dulu. Macam biasa. Tapi jangan bagi leher dia patah."
Macam biasa. Ayat itu dia cakap macam kita tengah borak pasal rutin senaman.
"Lepas tu... kita angkat dia, gantung. Letak tali. Ikat tangan dia sikit, lepas tu longgarkan. Nota bunuh diri aku boleh tulis. Aku tulis lawa."
Ghibran geleng kepala. "Pergh... psiko siot."
Reza tak jawab. Dia sandar pada dinding. Betulkan cermin mata perlahan. Sengih. Pandang aku.
"Kalau kali ni kau kantoi Azfar..." Dia angkat bahu. "Aku tak tolong kau lagi."
Aku telan air liur tapi dalam hati aku berdebar campur terangsang. Ini Reza. The real mastermind. Dan aku tahu, kalau Reza sudah setuju... budak itu memang akan lenyap. Tanpa siapa pun tahu.
Reza duduk perlahan atas meja kopi. Tangan dia main penutup pen Sharpie. Tekan. Lepas. Tekan. Lepas. Bunyi plastik itu... macam countdown dalam kepala aku.
Dia pandang aku. Muka tenang. Tapi mata dia mata pembunuh bersih.
"Bila Nisa habis intern?"
Aku tarik nafas. "Lagi lima hari."
Senja sunyi. Lampu ruang tamu tak cukup terang. Bunyi jam dinding macam makin kuat.
Reza angguk, senyum. Senyum macam orang dapat ilham jahat. "Lagi lima hari... kita beraksi."
Diam. Satu rumah senyap. Angin dari tingkap belakang tiup langsir perlahan. Lampu luar kondominium malap. Bayang dinding makin panjang. Ghibran tunduk. Pegang kepala.
Aku? Aku sandar. Pandangan aku kosong tapi dalam kepala aku sudah ada visual.
Bayang Nisa. Sweatshirt biru dia. Rambut kusut. Tangan menggenggam pregnancy test. Mata sembap. Jerit dia tadi: "Abang kena kahwin dengan Nisa..."
Reza mainkan pen Sharpie itu lagi.
TIK. TAK. TIK. TAK.
"Aku akan tulis nota bunuh diri. Panjang sikit. Ada ayat rindu pada keluarga. Ada alasan tekanan. Mungkin ada rahsia cinta rahsia dengan lelaki pejabat..."
Dia senyum. "Biar Nisa nampak macam budak trauma yang pendam perasaan."
Suara Reza macam pelancong cerita tempat percutian... tapi percutian ke neraka.
"Aku akan pastikan dia 'dijumpai' dalam keadaan tergantung. Tapi tangan longgar. Kaki sedikit sentuh lantai. Nampak real."
Aku genggam jari. Tangan aku sejuk tapi bukan takut. Adrenalin.
Reza bangun dari duduk. Langkah dia perlahan. Dia jalan ke arah jendela, tolak sedikit langsir, tengok langit malam.
Dia bercakap tanpa pandang kami. "Kalau semuanya ikut plan..."
Dia toleh. "Takkan ada siapa cari kau, Azfar."
Reza masih berdiri di tepi jendela. Bayang tubuh dia kena cahaya luar. Separuh gelap, separuh nampak. Macam roh yang masih fikir sama ada nak masuk neraka... atau bina satu.
Dia toleh pandang aku. Tangan dia silang dada.
"Azfar..."
Aku angkat kening. "Selidik siapa bekas boyfriend Nisa."
Aku diam sekejap. "Bekas kekasih?"
Reza angguk perlahan. "Ya. Kalau kita nak scene tu nampak real... Kita perlukan motif. Biar polis ada sebab kenapa budak tu gantung diri. Bukan sebab kau. Bukan sebab mengandung. Bukan sebab kerja."
Dia jalan ke arah aku. Langkah perlahan. Bunyi lantai kayu halus berkeriut.
"Biar nampak dia depressed sebab putus cinta. Masih sayang. Tak move on. Kita buat seolah-olah dia mengandung tanpa tahu siapa ayah sebenar tapi dalam nota... dia salahkan lelaki tu. Ex dia yang pernah tinggal dia, yang tak pernah balas perasaan dia."
Aku telan air liur. "Kalau dia tak ada ex?"
Reza senyum. "Cipta satu."
Sejuk. Ayat dia macam ais dilempar dalam dada. Ghibran sudah bersandar. Tak cakap apa.
Reza sambung. "Tapi kalau kau betul-betul boleh dapatkan nama, gambar, latar belakang ex Nisa... kita boleh manipulasi lebih real. Boleh letak nama dalam nota. Boleh 'hantar' mesej terakhir dari akaun dia atau simpan surat yang kononnya dari lelaki tu minta putus."
Aku angguk perlahan. "Okay. Aku cuba korek. Esok."
Reza senyum kecil. "Bagus."
Dia kembali ke dinding. Ambil Sharpie. Mainkan lagi penutup itu.
TIK. TAK. TIK. TAK.
"Lagi lima hari..." dia bisik. "Biar 'bunuh diri' tu jadi kenangan paling menyakitkan... tapi paling bersih dalam sejarah kita."
Share this novel