Pukul lima pagi. Langit KL masih biru tua, belum jernih. Tapi dada aku sudah penuh.
Aku campak baju ke lantai. Seluar pun sama. Tak peduli sudah. Bilik bujang ini saksi paling setia untuk semua benda bodoh yang aku buat setiap malam. Termasuk malam ini.
Aku baring. Tilam keras ini macam peluk aku semula tapi kepala aku tak boleh diam. Bukan pasal arak. Bukan pasal Azfar. Bukan pasal Reza.
Elvina.
Senyum dia. Bau rambut dia yang masuk hidung aku masa aku peluk tadi. Tak wangi, tak ros, tak lavender. Tapi real. Macam dia memang dicipta untuk aku peluk malam ini. Aku senyum sikit.
Aku pejam mata. Tapi Elvina tak keluar dari kepala. Gila. Satu malam saja aku bawa dia ronda KL, otak aku terus macam kena sihir. Padahal sudah biasa lepak dengan perempuan, awek kelab malam, awek mabuk tapi dengan El... aku rasa selamat. Rasa hidup.
Apa benda bodoh ini, Ghibran?
Aku pusing badan, hadap dinding. Dinding tak balas tapi kepala aku bising.
"Aku suka kau, El... dari hari pertama aku tengok kau dekat kafe. Hari kau senyum dan puji motor aku. Hari rambut merah kau terbang terkena kipas siling tu..."
Aku bisik sendiri. Suara aku tenggelam dalam bunyi kipas siling yang sudah nak rosak
Tekak aku tiba-tiba rasa kering. Macam minum pasir. Jam atas dinding bilik tunjuk pukul lima tiga puluh tiga pagi.
Aku capai botol kosong atas lantai, langkah perlahan keluar bilik. Lantai rumah rasa sejuk gila, tapi badan aku berpeluh entah kenapa. Rumah sunyi. Terlalu sunyi... sampai aku boleh dengar bunyi dengusan halus dari bilik Azfar.
Langkah aku terhenti. Eh... suara siapa itu? Aku kerut dahi. Suara perempuan. Sedikit tersekat, macam tengah tahan tangis dan suara Azfar... perlahan, dalam... nada pujuk. Tak macam selalu.
Aku jalan perlahan. Tak terus ke dapur tapi ke arah bilik Azfar yang pintunya tertutup separuh mungkin Azfar lupa tutup betul-betul tadi.
Aku berdiri senyap di sebalik dinding. Intai sikit. Tak berniat jadi stalker. Tapi suara itu... buat aku tak tenang.
"Please... jangan macam ni lagi..." suara Azfar pecah.
Azfar duduk atas katil. Berbaju, tapi rambut dia kusut. Mata dia pandang perempuan itu, Tasha, kalau tak silap nama dia. Perempuan yang tiba-tiba muncul malam tadi jerit dia mengandung. Yang buat aku tak dapat tidur lena.
Tasha duduk atas lantai, bersandar dinding, peluk lutut. Rambut dia serabut. Mata dia sembap. Tangannya pegang plastik kecil, ada test kit dalam itu. Garisan dua. Terang.
Azfar tunduk, genggam tangan dia. "Aku tak akan tinggal kau, okay? Kau jangan nangis macam ni. Nanti orang dengar."
Aku gigit bibir. Terlambat, bro.
Tasha geleng-geleng. "Kau kata kau sayang aku... tapi kau biar aku macam ni. Aku tak minta lebih pun Azfar. Aku cuma nak kau bertanggungjawab."
Azfar senyum pahit tapi mata dia... kosong. Aku kenal pandangan itu. Pandangan Azfar bila dia tahu dia sudah buat silap, tapi tak tahu macam mana nak selamatkan diri.
"Aku tengah fikir macam mana nak selesaikan semua ni. Kau sabar sikit, boleh?"
Tasha tunduk. Air mata dia jatuh satu-satu atas lutut sendiri. Aku pejam mata sekejap. Ambil nafas panjang.
Azfar, Azfar... kau buat lagi. Kali ini bukan kelakar. Bukan main-main. Ini hidup manusia dalam perut perempuan itu.
Aku undur langkah perlahan. Tak jadi ambil air. Tekak aku sudah tak haus.
Aku masih berdiri senyap di sebalik dinding. Intai. Nafas aku perlahan tapi dada aku berdebar macam baru lari pecut. Ruang bilik Azfar disimbah samar lampu meja. Tak cukup terang. Tapi cukup jelas untuk aku tengok muka Tasha yang masih menangis, dan Azfar yang perlahan-lahan melutut depan dia.
Azfar genggam kedua-dua tangan Tasha. Suara dia lembut. Terlalu lembut... macam lelaki yang ada niat lain.
"Sayang... dahlah. Aku janji aku akan tanggung semua... tapi kita fikir cara lain, okay?" suara Azfar getar. "Apa kata... kita gugurkan je kandungan tu. Benda ni belum besar pun lagi. Baru sebulan, kan?"
Jantung aku macam berhenti sekejap. Azfar... apa kau cakap ni?
Tasha pandang Azfar, mata merah dan bengkak. Terpinga. Kaku. Macam otak dia tak mampu proses apa yang Azfar baru sebut. Azfar masih pujuk, tangan dia naik gosok lengan Tasha.
"Kita buat diam-diam. Aku bayar semua. Kau tak payah fikir pasal duit. Aku bawak kau pergi klinik elok... yang bersih, yang selamat. Lepas tu... kau boleh sambung hidup kau macam biasa. Aku pun..."
PANG!
Tamparan itu buat kepala Azfar terlentok ke kiri.
Aku tersentak. Azfar terdiam. Mata dia terbeliak. Tasha berdiri, suara dia meletup dalam ruang bilik yang sunyi.
"Sial kau, Azfar! Aku mengandung anak kau, bukan anak ayam boleh kau telur dan buang ikut suka hati!"
Azfar masih kaku. Tangan dia pegang pipi. Merah.
"Aku sayang kau, bodoh! Aku pertahankan kau bila kawan-kawan aku kata kau buaya! Aku percaya kau! Tapi ni... ni balasan kau?"
Tasha menangis lagi, kali ini bukan rengek lembik. Tapi macam histeria. Suara dia retak. Jiwa dia koyak. Aku dapat rasa. Sampai ke tulang.
Azfar bangun perlahan. "Aku tak maksudkan macam tu, Tasha... aku cuma..."
"Shut the f*ck up!" Tasha jerit. "Kalau kau lelaki, kau jaga anak ni! Aku takkan gugurkan! Biar perut aku pecah pun, aku tetap nak lahirkan!"
Aku tarik diri ke belakang dinding. Dada aku berombak. Tangan aku ketar. Rasa macam aku nampak sisi Azfar yang aku tak pernah sangka bukan yang gatal, bukan yang kelakar.
Tapi sisi Azfar yang paling keji. Aku genggam botol kosong kuat-kuat. Dalam hati aku cuma satu suara.
"Kalau kau lelaki, kau jaga anak ni!" Jeritan Tasha masih terngiang. Suara dia pecah dalam bilik yang sunyi. Nafas dia tercungap-cungap. Mata dia liar. Azfar masih berdiri, pipi dia merah bekas tamparan tadi.
Aku masih di sebalik dinding. Jantung aku berdegup macam nak terkeluar tapi kaki aku beku. Tak mampu bergerak. Tak mampu buat apa-apa.
Tasha berpaling, nak jalan keluar dari bilik itu. Tapi Azfar tiba-tiba capai tangan dia dan tarik semula. Mata Azfar berubah. Bukan lagi mata lelaki yang merayu.
Tapi mata... binatang.
"Jangan buat drama depan aku, bodoh," bisik Azfar keras. "Kau tampar aku? Kau ugut aku?"
PANG!!!
Tamparan pertama. Kuat. Kepala Tasha terhentak ke tepi.
PANG!!!
Yang kedua. Muka Tasha sudah basah dengan air mata. Mulut dia ternganga, tak sempat balas.
PANG!!! PANG!!!
Tamparan bertubi. Satu demi satu. Macam Azfar hilang akal. Macam dia sudah lama pendam marah, dan sekarang... meletus tanpa belas.
Aku terkejut. Mulut aku terbuka tapi suara aku tak keluar.
Azfar tolak bahu Tasha sampai jatuh terduduk semula ke lantai. Tangan dia naik sekali lagi, tapi kali ini Tasha tutup muka.
"Azfar... tolong... sakit..." suara dia halus. Parau. Hancur.
Azfar berdiri tercegat. Nafas dia laju. Mata dia merah. Rambut dia kusut, peluh meleleh. Lelaki itu bukan lagi kawan aku. Bukan lagi Azfar yang gelak sama aku masa lepak mamak. Bukan Azfar yang selalu bahan Reza dan tarik aku pergi club.
Yang berdiri depan aku sekarang... adalah Azfar yang aku tak kenal. Tasha menangis makin kuat. Sakit. Malu. Takut tapi tetap tak lari. Macam sudah terlalu lemah.
Aku... masih tak bergerak. Kaki aku seolah-olah paku ke lantai. Azfar diam tiba-tiba.
Tasha masih terduduk, tubuh dia menggigil sambil peluk pipi yang sudah bengkak. Nafas dia sesak, tapi dia tak melawan. Dia cuma menangis... macam sudah pasrah.
Azfar berpaling. Langkah dia perlahan menuju ke almari baju.
Aku kerut dahi. Buat apa buka almari? Azfar selak baju-baju tergantung. Tangan dia menyeluk ke belakang kotak kasut dan keluar satu benda iaitu tali paracord.
Aku kenal tali itu. Tali yang Azfar selalu tunjukkan dulu masa lepak. Konon "benda rare", beli online, kuat gila, boleh guna panjat gunung. Tapi aku juga tahu... tali itu benda yang sama Azfar pernah guna untuk "main kasar" dengan perempuan. Dia pernah cerita dalam nada gelak.
Waktu itu aku fikir dia cuma sembang. Tapi malam ini... tak ada benda yang kelakar. Mata aku terbeliak.
"Jangan... jangan, Azfar..." bisik aku sendiri. Tapi suara itu cuma bergaung dalam tekak aku. Tak keluar.
Azfar berdiri depan Tasha. Tasha masih merangkak nak menjauh tapi dia lambat. Terlalu lambat.
Azfar tiba-tiba melompat ke arah dia dengan ganas. Liar. Tangan dia lilit tali itu ke leher Tasha dalam satu gerakan pantas. Sekali lilit. Dua kali. Tiga.
Jerutan itu ketat.
Mata Tasha terbeliak. Badan dia terangkat dari lantai. Kaki dia terhentak-hentak lantai sambil tangan cuba cabut tali itu dari leher.
Tapi Azfar... makin kuat. Makin gila. Dia tekan lutut ke dada Tasha. Dia tarik hujung tali dengan dua tangan macam tengah panjat neraka dari tengkuk perempuan itu.
"Aku cakap gugurkan je...! Kenapa degil sangat hah?! Kenapa semua orang nak buat aku jadi jahat?!"
Tasha hanya mampu menggelupur. Mulut dia berbuih. Mata dia mula senget sebelah.
Aku kaku. Lutut aku longgar tapi tak jatuh. Nafas aku putus-putus. Otak aku jerit tapi mulut aku terkunci. Azfar masih teruskan.
Jerut. Jerut. Jerut.
Dunia aku berhenti. Yang aku dengar cuma bunyi gesekan tali dengan kulit. Dan suara perlahan dari Tasha yang makin lemah.
Tali itu... masih di leher Tasha. Dan Azfar tak berhenti.
Dia tarik. Tarik. Tarik lagi.
Tangan dia tegang. Urat lengan timbul. Mata dia liar, merah. Nafas dia bising bukan penat, tapi macam ketagih. Macam dia tengah sedut nikmat dari leher perempuan yang tengah nazak.
Tasha masih melawan. Tangan dia pegang tali, kuku dia mencakar kulit sendiri. Kaki dia hentak lantai bertalu-talu. Kepala dia terhentak ke tilam. Mulut dia menganga tak ada suara. Cuma nafas putus-putus. Berbuih. Berdesir.
Mata dia terbeliak.
Putih.
Lidah dia terjulur sikit. Leher dia merah. Ada kesan ungu mula timbul. Wajah dia tak macam manusia sudah. Tapi Azfar masih tekan.
"Kenapa kau semua sama... kenapa semua perempuan sama... kenapa semua orang buat aku jadi macam ni..." suara Azfar parah. Bukan suara manusia. Suara binatang.
Suara pembunuh.
Tasha sudah berhenti bergerak. Tangan dia jatuh ke lantai, lembik. Kuku dia berdarah. Mata dia masih terbuka tapi tak berkelip.
Senyap.
Teramat senyap.
Azfar masih pegang tali itu. Nafas dia tercungap, peluh mengalir, tapi muka dia puas. Macam baru habis... klimaks.
Aku di balik dinding, tak bergerak. Tak bernafas. Dunia aku kabur. Tapi mata aku masih tertumpu pada jasad yang tak lagi bernyawa atas lantai.
Tasha... sudah mati. Dan Azfar... kawan aku... housemate aku... Azfar baru bunuh dia. Dengan tangan sendiri.
Takk!
Pintu depan aku tertolak.
Aku tak sengaja. Tangan aku tersentuh pemegang. Bunyi engsel yang seret bunyi senyap malam macam letupan kecil.
Azfar berpaling. Mata dia terus pandang aku. Tali paracord masih di tangannya, masih melingkar leher Tasha yang kaku terbujur. Nafas Azfar laju. Tapi bila mata dia jumpa mata aku...
Dia senyum dan dia... gelak. Gelak dia kasar, serak. Macam tak percaya. Macam seronok.
"Aku ingat kau dah tidur, Ghibran..." kata dia sambil bangun perlahan. "Rupanya kau kat situ..."
Dia langkah perlahan ke arah aku. Langkah dia licik. Santai. Tangan masih pegang tali yang baru dia guna untuk bunuh.
"Dah berapa lama kau berdiri kat situ, bro?" Dia senyum lagi. Tapi senyuman tu tak ada nyawa. "Kau tengok dari awal? Kau tengok aku jerut dia? Kau tengok dia mati?"
Aku kaku. Tapi mulut aku bergerak sendiri.
"Ini... perempuan keenam, Azfar..."
Azfar senyum makin lebar.
"Akhirnya kau kira juga, ya?"
Aku pandang Tasha. Wajah dia pucat. Mata masih terbuka. Kepala aku berpusing. Tapi amarah dalam dada aku naik.
"Aku sangka kau nak stop. Aku sangka kau berubah lepas budak kelima bulan lepas tapi kau buat benda ni?"
Azfar angguk kecil. "Sebab aku tak pernah berhenti pun."
Dia dekatkan muka dengan aku. Nafas dia hangat. Gila.
"Dan kau... kau patut tolong aku, Ghibran. Kita satu kepala, kan? Dari dulu... kau je yang tak pernah lapor aku. Sebab kau faham. Kau faham perasaan tu marah aku tu."
Aku langkah setapak ke belakang. Azfar julur tali paracord ke arah aku macam bagi hadiah.
"Next time... kita bunuh sama-sama."
Share this novel