Chapter 42

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 42

Badrul termenung seketika sambil memandang ke arah pintu masuk kedai itu. Pelayan yang memberi maklumat kepadanya tadi memberikan isyarat kepada Badrul untuk beredar kerana tetamu yang sepatutnya bertemu dengan Dato’ Murad sudah tiba.

"Maklumat itu sudah cukup untuk saya mencari lokasi yang lebih tepat. Terima kasih Dato’. Saya akan cuba mencarinya secepat mungkin," balas Badrul sambil beredar.

Badrul berjalan menuju ke arah pintu keluar melepasi seorang wanita pertengahan umur dan seorang gadis sunti. Kedua-duanya memegang beberapa buah beg kertas berjenama, tanda baru sahaja habis membeli-belah.

Badrul pergi ke kaunter bayaran untuk membuat pembayaran minuman yang dipesannya tadi. Wanita dan gadis sunti itu duduk bersama Dato’ Murad di meja mereka berbual tadi. Dato’ Murad masih agak terpinga-pinga kerana ditinggalkan begitu sahaja oleh Badrul. Sebelum beredar, Badrul mengangkat tangan tanda terima kasih kepada Dato’ Murad. Dato’ Murad yang nampak lambaian tangan Badrul, hanya membalas dengan senyuman.

Randi melemparkan pandangannya ke luar jendela rumah itu. Sekeliling rumah itu dipenuhi lalang dan semak samun yang terbiar, membuatkan tempat itu sangat sesuai untuk tempat persembunyian. Dia dapat melihat beberapa orang lelaki muda sedang menghisap rokok sambil berkawal memastikan keselamatan markas itu.

"Rafael, dialah dalang yang telah menyebabkan ibu-bapa kamu, Michelle dan Patrick Chin terbunuh," Somat menyerahkan beberapa keping gambar kepada Randi di ruang tamu rumah usang itu.

"Kamu terlalu kecil pada masa itu, kamu tak tahu apa-apa, mungkin tak ingat dengan apa yang berlaku. Setelah kematian mereka berdua Rafael telah berjaya memasukkan aku ke dalam penjara dan dia telah mengambil alih segala-galanya termasuk Kemaruk Hitam dan semua perniagaan Patrick Chin. Semua yang dia ada sekarang ; rumah, tanah, dan perniagaan KH Intelligence sepatutnya adalah milik engkau Randi, kamu mesti rampas segala-galanya semula," tambah Somat cuba menaikkan lagi rasa amarah Randi. Keadaan diam seketika selama beberapa minit. Somat sengaja membiarkan gambar-gambar lama yang disimpannya itu membuahkan rasa dendam ke dalam hati Randi.

"Lihat apa yang terjadi sekarang, kamu ada masalah hutang beratus ribu ringgit tetapi sedikitpun Rafael tidak mahu membantu kamu. Padahal semua harta itu adalah milik engkau Randi. Memang sejak dahulu lagi aku ada rasa was-was terhadap Rafael tetapi Patrick Chin terlalu mempercayai dia. Cis! Dasar pengkhianat!" Somat meludah ke lantai rumah itu. Beberapa ekor semut yang sedang berkeliaran di situ terkena air ludahan Somat.

"Betul, aku tak ingat semua ni. Rafael selalu memberitahu, aku adalah anak angkat dan ibu-bapa aku meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri. Tidak ada gambar ibu atau bapa aku di mana-mana semasa aku tinggal bersama Rafael hingga sekarang," jawab Randi.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Randi mempercayai kata-kata Somat? Apakah rancangan Somat seterusnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience