Chapter 52

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 52

"Bard, fokus! Tengok betul-betul susun atur bilik ini. Cuba tengok apa jenis kajian yang sedang dibuat!" Benji mengulangi ayat yang sama sambil ketawa sinis.

* * *

"Selamat malam Julia. Esok jumpa lagi!" satu suara yang biasa didengar oleh Julia menegurnya sebaik sahaja dia melalui pintu utama bangunan Lombard Lab untuk keluar dan pulang ke rumah.

"Selamat malam David!" Julia membalas dengan senyuman sambil melambaikan tangannya ke arah rakan sekerjanya.

Julia mengerling ke arah jam tangannya untuk melihat waktu. Hari sudah agak lewat, sudah lepas pukul sebelas malam. Julia tidak sedar hari sudah agak lewat kerana dia betul-betul mahu menghabiskan kajiannya malam itu. Dia bercadang untuk mengambil cuti beberapa hari untuk meluangkan masa bersama bapanya, Dr Gufran yang akan pulang dari Dubai dalam masa seminggu lagi. Julia memerhati sekeliling dan terus berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

"Buk!" sebiji bola tenis mengenai bahagian kiri badannya secara tiba-tiba. Julia hampir menjerit kerana terkejut. Dari arah kiri Julia dapat melihat dengan jelas beberapa orang remaja berkulit sawo matang sedang mengacah seorang lelaki yang sedang memegang sebuah raket tenis. Tiga orang remaja seolah-olah mahu membelasah lelaki tersebut dan membaling semua bola tenis yang ada bersamanya ke arah jalan raya.

Tanpa berfikir panjang Julia terus berlari ke arah selekoh jalan dihadapannya. Dia tidak mahu terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang mungkin akan membahayakan dirinya. Jarak rumah yang didudukinya sekarang hanya sepuluh minit berjalan kaki ke tempat kerjanya tetapi hampir setiap malam dia akan bertemu dengan kutu rayau atau samseng jalanan yang seolah-olah sudah mendiami kawasan itu.

Entah kenapa hatinya tiba-tiba terasa berdebar-debar malam ini. Julia berlari-lari anak sedikit, sesekali memandang ke arah belakang. Jam sudah hampir pukul 11.30 malam. Hatinya berasa tidak selesa, bagaikan ada seseorang yang mengikuti setiap langkahnya. Julia mula meraba-raba ke dalam tas tangannya, mencari pepper spray yang selalu dibawanya.

Tiba-tiba lengannya ditarik ke sebuah lorong gelap. Julia menjerit ketakutan tetapi mulutnya tiba-tiba ditekup dengan sebelah tangan sambil badannya disandarkan ke dinding.

"Diam!" Satu suara yang kasar memberi arahan sambil menekan mulutnya dengan lebih kuat. Lelaki itu, dengan pantas menghunuskan sebilah pisau yang berkilat, begitu hampir ke mata Julia. Julia menutup matanya, seluruh badannya dirasakan kaku, mindanya tidak mampu lagi berfikir. Airmatanya mula gugur kerana ketakutan. Selama beberapa saat Julia terasa hembusan nafas lelaki itu betul-betul di pipi kirinya.

Julia membuka matanya semula. Lelaki itu tersenyum sinis. Matanya yang bulat bersinar bagaikan memberitahu Julia kejayaannya menundukkan mangsanya malam itu.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan berlaku kepada Julia? Mengapakah lelaki itu bertindak sedemikian?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience