Chapter 19

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 19

"Papa sudah hubungi kawan Papa di Kuala Lumpur namanya Rafael. Dia akan sediakan passport dan identiti baru untuk kamu. Anaknya Randi akan jumpa kamu di sana nanti. Jangan keluar dari bilik hingga Randi datang. Papa rasa baik kamu hilangkan diri buat sementara waktu. Fail-fail kes Neutron Pharmaceuticals itu kamu serahkan pada Rafael, dia akan hantar pada Papa. Papa akan cari peguam lain untuk gantikan kamu," bapanya memberi perintah.

"Tapi Pa, bukan saya yang bunuh Tasha. Saya tak bersalah, saya tak perlu lari!" Badrul tidak bersetuju dengan kata-kata bapanya.

"Bard, cap jari kamu pasti akan dijumpai di seluruh bilik Tasha. Papa percaya kamu tak bersalah. Walaupun bukan kamu yang bunuh, bukti akan menunjukkan sebaliknya. Sistem perundangan bergerak berdasarkan bukti. Dengarlah cakap Papa, hilangkan diri buat sementara waktu. Rafael akan jaga kamu nanti," bapanya mendesak.

"Ok!" Badrul menjawab ringkas walaupun hatinya tidak bersetuju. Bapanya kemudian memutuskan talian.

Hati Badrul sebak dengan berita yang baru didengarinya. Natasha yang begitu disayanginya kini sudah pergi untuk selama-lamanya. Badrul menghela nafas panjang beberapa kali cuba menenangkan perasaannya. Dia cuba mengingat kembali detik-detik terakhir masanya bersama Natasha.

Masih segar lagi dalam ingatan Badrul dia menemani Natasha menaiki lif ke tingkat tujuh pangsapuri yang disewa oleh Natasha. Sebelum menaiki lif, bahkan sepanjang perjalanan dari Orchard Road lagi, Badrul sentiasa mengawasi kereta-kereta yang berada di belakangnya, mahu melihat kalau-kalau kereta Honda berwarna hitam yang diceritakan oleh Natasha ada mengekori mereka malam itu. Badrul tidak nampak kereta yang ditunjukkan oleh Natasha semasa makan malam sebelum itu.

Sebaik sahaja masuk ke ruang tamu pangsapuri, Badrul menonton saluran televisyen yang menayangkan rakaman perlawanan bola antara Manchester United dan Liverpool sementara menunggu Natasha mandi dan bertukar pakaian. Natasha kemudian ada menegurnya sebelum masuk ke kamar tidur. Badrul pula duduk di hadapan televisyen sehingga perlawanan itu selesai.

Ada juga sekali sekala Badrul bangun mengambil minuman di dalam peti sejuk, cuba makan sebiji epal tetapi membuangkan epal tersebut ke dalam tong sampah kerana sudah busuk. Badrul juga ingat dia masuk ke dalam tandas kerana perutnya memulas.

Pada malam itu, di pangsapuri milik Natasha, sebaik sahaja perlawanan bola itu tamat, Badrul terus menutup televisyen dan masuk ke dalam bilik Natasha untuk mengucapkan selamat malam.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah pemandu kereta Honda hitam yang mengekori Natasha itulah pembunuh sebenar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience