Chapter 61

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 61

Julia menarik nafas panjang sambil memegang stereng kereta kepunyaan bapanya yang baru saja diambilnya dari kediaman bapanya di Mont Kiara. Sudah beberapa hari berlalu semenjak peristiwa pergaduhannya dengan Badrul di hospital. Julia mula merasakan tindakannya mungkin tidak betul pada hari itu. Dia sepatutnya mendengar dahulu penjelasan Badrul sebelum menghalaunya.

Hatinya kuat menyatakan Badrul adalah seorang yang ikhlas. Kali pertama dia bertemu dengan Badrul di dalam lif, entah mengapa, Julia dapat merasakan satu tarikan yang kuat antara mereka berdua. Tetapi nasi sudah menjadi bubur kerana rasa tidak sabar dirinya sendiri. Mungkin dia tidak akan bertemu dengan Badrul lagi sampai bila-bila.

Julia meletakkan kereta di bahu jalan. Hatinya agak berdebar-debar untuk bertemu dengan Fatin. Dia pernah bertemu dengan Fatin hanya sekali, semasa Hari Keluarga Lombard Lab yang diadakan di Pantai Port Dickson lebih kurang enam bulan lepas. Walaupun dia sudahpun membuat panggilan untuk memberitahu kedatangannya ke rumah Fatin, Julia masih lagi berasa was-was dengan rancangannya sendiri.

Setelah menenangkan hatinya sedikit, dia turun dari kereta. Sebaik sahaja tiba di pintu pagar rumah yang dicari, kaki Julia tiba-tiba terhenti. Sayup-sayup di telinganya terdengar bunyi tapak kaki yang seolah-olah mengikutinya dari belakang.

"Cik Julia?" satu suara tiba-tiba menyapanya dari bahagian dalam pagar rumah. Hati Julia semakin berdebar-debar.

"Cik Fatin, saya Julia," Julia membalas penuh dengan senyuman yang agak pahit. Julia menghulurkan tangannya kepada Fatin. Fatin menyambut tangan Julia dengan sambutan yang kasar, mungkin tidak begitu ikhlas.

"Kita berdua berbincang di dalam," Fatin kemudian mengajak Julia masuk ke dalam rumah. Julia masih teragak-agak.

"Anak saya ada di dalam, saya tak boleh tinggalkan. Itulah sebabnya kita terpaksa berbincang di rumah ini juga." Kata-kata Fatin dirasakan agak terburu-buru.

Rumah Fatin dirasakan agak tidak teratur. Sebuah tilam dibentang di ruang tamu rumah. Seorang bayi sedang nyenyak tidur berbedung kain batik lepas bergerak-gerak sedikit, mungkin dapat merasa kehadiran orang asing di rumahnya. Seorang kanak-kanak perempuan, mungkin berumur 4 tahun tiba-tiba keluar dari bilik bersama botol susu menerpa ke arah ibunya.

Fatin terpaksa memulakan perbincangan bersama anaknya yang baru terjaga dari tidur itu. Menurut Fatin, Dr Asri, suaminya, sudah lebih dua bulan berada di luar negara tetapi tidak pernah menelefonnya. Dia sepatutnya pulang beberapa minggu lepas. Memang sudah menjadi kebiasaan Asri pergi ke luar negara untuk menghadiri konvensyen teknologi molekular di serata dunia, dihantar oleh syarikat tempat kerjanya, Lombard Lab.

Sejak kebelakangan ini, Fatin selalu berasa curiga terhadap Dr Asri. Dr Asri selalu mendapat panggilan telefon pada waktu selepas tengah malam dan dia akan selalu menjawab telefonnya itu secara berbisik.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah rahsia yang disimpan Dr.Asri? Teruskan membaca…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience