Chapter 101

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 101

“Saya suka awak memakai baju kemeja, awak nampak cilik dan menarik,” Badrul menyambung.

“Terima kasih Bard,” Julia menjawab dengan ringkas.

“Tempat duduk kita yang sama masih kosong,” Badrul mengisyaratkan matanya ke arah sebuah meja yang kosong berdekatan. Julia tersenyum.

“Nampaknya kita juga telah diberi peluang kedua untuk mengulangi kembali perbualan kita dahulu,” Julia menjawab. Muka Badrul nampak sedikit berkerut.

“Tengok di sana, pasangan yang sama pun ada hari ini bersama kita,” Julia memberi isyarat mata kepada Badrul.

Badrul memandang ke arah belakang. Benar, seperti yang dikatakan oleh Julia sepasang kekasih yang mereka namakan Leman dan Kuntum dahulu sedang makan di situ juga. Mereka nampaknya sudah berbaik-baik semula. Badrul dan Julia menarik kerusi dan terus duduk, memerhatikan pasangan dua sejoli yang nampak sedang hangat bercinta.

“Mereka sudah berbaik semula, Bard,” Julia memberi ulasan.

“Gaduh-gaduh sayang,” jawab Badrul

“Jom, kita reka skrip untuk mereka,” Julia mengajak Badrul.

“Abang Leman rasa malam ini sungguh indah untuk kita berdua. Walaupun tempat makan ini berbau sedikit tetapi asalkan Kuntum bersama, Abang Leman rasa bahagia,” Badrul cuba membina skrip untuk pasangan itu sambil tertawa sedikit. Julia yang tidak menyangka Badrul akan membina skrip yang agak baik untuk pasangan itu juga tertawa.

“Sambunglah, Julia,” Badrul meminta sambil ketawa kecil.

“Kuntum percayakan cinta Abang Leman. Tapi memang kedai ini berbau, kita makan di tempat lain sahajalah, Abang Leman,” Julia cuba menyambung. Ketika itu pasangan itu sudahpun bangun dari kerusi mereka dan mahu beredar. Julia dan Badrul cuba menahan ketawa.

“Awak memang kelakar Bard,” Julia memberi komen.

“Awak yang ajar saya,” Badrul menjawab sambil mengangkat tangan untuk memanggil pelayan untuk membuat pesanan. Sebaik sahaja pelayan tiba, Julia dan Badrul memesan makanan dan minuman yang sama seperti dahulu; Nasi Goreng Cendawan dan teh ais.

“Banyak yang kita lalui bersama selama hampir tiga minggu ini. Saya harap kita akan sentiasa jadi kawan baik,” Badrul membuka bicara setelah beberapa lama membisu. Hati Julia tersentuh apabila Badrul mengutarakan niatnya. Hatinya sedikit kecewa dengan permintaan Badrul. Jauh di sudut hatinya, dia mahu mereka menjadi lebih daripada kawan biasa.

“Kita boleh jadi lebih dari itu,” Julia menjawab. Badrul nampak sedikit tertekan.

“Kita boleh jadi kawan sehidup semati, menjaga antara satu sama lain dan mungkin membantu satu sama lain dalam hidup,” Julia menyambung. Kelihatan sedikit garis ketenangan di mata Badrul ketika Julia mengucapkan kata-kata itu. Badrul juga mahu lebih dari itu. Mereka melayan hati masing-masing seketika.

“Kita akan jadi kawan yang terbaik,” Badrul membuat kesimpulan sambil memberikan senyuman yang dibuat-buat.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah rancangan mereka berdua selepas ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience