Chapter 32

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 32

Mereka menghunus senapang ke arah Michelle dan Randi. Randi yang ketika itu masih belum mengerti apa-apa hanya menangis ketakutan.

"Randi, Mama ada di sini," hanya itu sahaja kata-kata yang boleh diucapkan oleh Michelle untuk memujuk anaknya. Ketika tembak menembak berhenti seketika, mereka kemudiannya memisahkan Michelle dan Randi. Michelle menjerit tanpa henti sehinggalah salah seorang kumpulan pembekal menghentakkan bucu senapang ke bahagian belakang Michelle. Michelle terduduk kesakitan.

"Dengar sini! Kami ada seorang wanita dan seorang anak kecil! Aku mahu berjumpa dengan ketua polis!" Ketua kumpulan pembekal Cina itu menjerit untuk mendapatkan perhatian pihak polis. Serta merta semua pihak berdiam diri. Tidak kedengaran lagi letusan peluru yang sengit tadi.

"Kami mahu keluar dengan selamat!" Ketua kumpulan pembekal yang berbangsa Cina menjerit sambil dua orang lagi anggota kumpulannya menghalakan senapang ke arah Michelle dan Randi. Rafael tidak berganjak dari tempat persembunyiannya. Dia menyerahkan semua keputusan ke tangan Inspektor Zamani. Somat dan Patrick sudah cedera parah dan terlantar di tengah-tengah ruang kosong gudang. Ahli kumpulan Kemaruk Hitam kebanyakannya sudah tidak mampu berlawan lagi.

"Lepaskan mereka dahulu!" Inspektor Zamani menjerit. Pembekal Cina itu tiba-tiba melepaskan satu das tembakan kepada Patrick Chin, kemudian satu das ke arah Somat.

"Dua-dua orang yang tak guna ni aku dah tembak! Ada dua lagi di sini, aku boleh tembak sekarang! Baik kamu keluar sekarang! Orang-orang aku lebih banyak daripada orang-orang engkau!" jerit pembekal Cina itu lagi.

"Baiklah. Aku keluar sekarang!" Inspektor Zamani mengangkat tangannya sambil melontar pistol di tangannya ke tengah-tengah gudang. Baru kini Inspektor Zamani dapat melihat dengan jelas ketua kumpulan pembekal Cina itu. Lelaki iti nampak sangat muda, mungkin berumur sekitar lapan belas tahun. Dia bergerak menuju ke arah lelaki itu.

"Berhenti!" Lelaki itu memberi arahan. Inspektor Zamani memberhentikan langkahnya.

"Nama aku Inspektor Zamani, siapa nama engkau?" Inspektor Zamani mula bertanya.

"Nama aku Ken," lelaki itu menjawab.

"Ken, apa yang kamu mahu?" Inspektor Zamani bertanya. Ken memandang ke arah tiga orang lagi yang memegang senjata di belakangnya. Kesemua mereka berumur belasan tahun.

Inspektor Zamani nampak dengan jelas rasa panik antara mereka berempat. Nyata sekali mereka kurang berpengalaman dalam kes tebusan.

"Kami mahu keluar dari sini. Kami mahu kenderaan untuk keluar. Satu helikopter." Ken menjawab.

"Kamu mahu ke mana?" Inspektor Zamani bertanya.

"Sempadan Thailand," Ken menjawab.

"Kamu lepaskan semua tebusan sekarang dan kami akan sediakan helicopter," Inspektor Zamani mencuba.

"Tidak. Dapatkan helikopter dulu, kemudian kita bincang!" jawab Ken berkeras.

"Mereka berdua tidak bersalah. Lepaskan dahulu!" Inspektor Zamani mencuba lagi. Dengan berang Ken melepaskan sedas lagi tembakan ke arah Patrick Chin. Patrick Chin sudah tidak bergerak.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Inspektor Zamani akan mengalah dan mengikut kehendak mereka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience