Chapter 18

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 18

Ketika dia sedar semula, cahaya matahari sudahpun mula masuk melalui jendela hotel, menerangi biliknya. Badrul melihat jam tangannya, sudahpun hampir pukul lapan pagi. Perbincangan dengan Neutron Pharmaceuticals cuma akan diadakan pada pukul sepuluh setengah pagi.

Badrul memasang televisyen untuk menyegarkan sedikit matanya. Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.

"Bard, kamu di mana?" Kedengaran suara ayahnya, Kamaruddin bercakap dengan nada yang cemas.

"Dalam bilik hotel di Kuala Lumpur, kenapa Pa?" Tanya Badrul dengan suara yang masih garau.

"Ada berita buruk Bard. Papa mahu kamu bersabar," kata-kata bapanya itu membuatkan Badrul menjadi semakin hairan.

"Tasha telah ditemui mati di pangsapurinya malam tadi. Sehari dia tidak pergi bekerja." Sambung bapanya.

"Apa? Tasha..." Seperti tidak percaya dengan kata-kata bapanya, Badrul terdiam seketika.

"Kamu ada berjumpa dengan Tasha kelmarin?" Tanya bapanya.

"Saya ada jumpa dia, saya temankan dia balik ke pangsapurinya. Saya tunggu sampai dia tidur, kemudian saya balik, lebih kurang pukul tiga pagi, Pa," jawab Badrul dengan kata-kata yang hampir putus-putus kerana panik.

"Mungkin kamu adalah orang terakhir yang berjumpa dengannya sebelum dia meninggal dunia.

Ada saksi yang nampak kamu keluar dari pangsapuri Tasha malam itu. Apa yang berlaku Bard? Kamu bergaduh? Kamu bunuh dia?" Bapanya bertanya dengan nada suara yang agak tinggi.

"Tidak Papa. Malam itu kami makan malam dan pergi menonton wayang,” jawab Badrul cuba mengingat kembali kali terakhir dia bersama Natasha.

“Ada apa-apa berlaku malam tu?” Tanya bapanya lagi.

“Pada waktu makan malam dia ada bercerita mengenai beberapa perkara yang mencurigakan mengenai kes yang sedang diuruskannya, kes Duo Arms. Dia juga ada memberitahu dia sering diekori,” Badrul menjawab.

“Diekori? Dia ada cerita siapa yang ekori dia?” Tanya bapanya lagi.

“Dia kata, mungkin orang-orang yang terlibat dalam kes Duo Arms. Saya temankan dia sekejap sehingga dia tidur. Semasa saya keluar, dia sedang nyenyak tidur," Badrul cuba meyakinkan bapanya.

"Dia mati ditikam berkali-kali. Tidak ada tanda-tanda pecah rumah, pihak polis beranggapan dia telah dibunuh oleh orang yang dikenali," bapa Badrul berkongsi maklumat. Badrul diam seketika. Airmatanya hampir tumpah.

"Beginilah Bard. Jangan balik dahulu ke Singapura. Papa rasa ada orang cuba perangkap kamu. Kes Duo Arms yang diuruskan oleh Natasha adalah kes berprofail tinggi."

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang telah membunuh Natasha dan mengapa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience