Chapter 73

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 73

"Argh!" Julia menjerit sedikit sebaik sahaja duduk di atas kerusi kereta. Kepalanya tiba-tiba rasa sakit dan imej-imej itu tiba-tiba hilang.

"Julia! Kenapa Julia?" Badrul cuba menyedarkan Julia.

"Tiba-tiba saya sakit kepala. Kita terus ke Angkupuri" Julia menjawab sambil memegang kepalanya. Badrul terus memecut kereta ke lebuh raya.

* * *

"Kalau awak tak berapa sihat awak boleh rehat dulu Julia. Saya sudah beli barang-barang yang awak perlukan untuk bekas Kapsul Ungu," Badrul menghulurkan semua barang-barang yang dibelinya semasa Julia tidur di pangsapuri Angkupuri. Julia baru sahaja bangun dan masuk ke ruang tamu.

"Saya sudah ok. Saya boleh mulakan sekarang," jawab Julia ringkas. Julia mengambil plastik yang mengandungi barang-barang tersebut, sebuah termos air panas bersaiz sederhana. Sebuah bekas kedap udara berbentuk silinder dan gam cap gajah.

"Kita boleh bergerak malam ini kalau awak mahu. Saya cuma perlukan masa sejam untuk sediakan bekas ini. Selepas itu kita boleh mulakan perjalanan. Di mana awak akan bertemu dengan Mr M?" ujar Julia sambil memandang tepat ke arah mata Badrul.

“Jadi awak akan ikut saya?” tanya Badrul dengan senyuman yang menguntum.

“Saya rasa tidak selamat tanpa awak sebenarnya, Bard. Pagi tadi…” Kata-kata Julia terhenti di situ.

“Apa yang berlaku pagi tadi?” Tanya Badrul dengan dahi yang berkerut.

“Err.. pagi tadi baru saya sedar, saya mungkin dalam bahaya,” jawab Julia lantas terus masuk ke ruang dapur.

“Lagipun saya sudahpun mengambil cuti selama seminggu mulai hari ini untuk berehat. Saya sebenarnya mahu bercuti ke Pantai Timur tapi semenjak apa yang berlaku, saya rasa tak selamat. Lebih baik saya ikut awak, saya rasa lebih selamat,” sambung Julia.

"Baiklah, kita mulakan perjalanan malam ini," Badrul menjawab sambil tersenyum.

"Bagaimana rancangannya Bard? Saya perlu bawa pakaian untuk berapa hari?" Tanya Julia.

"Bawa pakaian untuk dua hari," jawab Badrul.

"Dua hari sahaja?" Tanya Julia sedikit terkejut.

"Ya, dua hari. Awak ada kawan atau saudara-mara yang berada di kawasan utara?" Tanya Badrul

"Ada." Jawab Julia ringkas.

"Awak telefon kawan awak dan katakan padanya awak mahu bertolak ke utara malam ini. Err..Siapa nama dia? Dimana dia tinggal?" Badrul bertanya lagi.

"Dr Latifah. Dia bekerja di Kuala Lumpur tapi dia balik kampung sekarang, di Perlis." Jawab Julia.

"Baiklah, telefon dia sekarang, katakan awak akan cuba untuk bertemu dengannya selepas dua hari, tetapi jika rancangan berubah awak akan telefon semula dan kalau dia tak jawab, tinggalkan pesanan," Badrul mengajar Julia.

"Maksudnya kita akan bertemu dengan Mr M di Perlis?" Tanya Julia. Badrul hanya mengangkat keningnya apabila ditanya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Teruskan membaca…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience