Chapter 14

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 14

"Bagaimana dengan kes baru?" tanya Badrul, memulakan perbualan sambil melihat gerak geri Natasha dengan teliti. Tanpa menjawab, Natasha terus meneguk air yang disediakan. Mata mereka bertemu seketika. Natasha mengeleng-gelengkan sedikit kepalanya sambil mencebikkan mukanya sedikit.

"Ada yang tak kena,” Natasha menjawab sambil merenung mata Badrul seketika.

“Seorang aktivis hak kemanusiaan, bekas duta dan berpangkat Dato' sudah membuat keputusan untuk pindah ke Australia kerana kes ini. Dia adalah pemberi maklumat yang terbaik, tetapi nampaknya dia cuba berundur sedikit!" Natasha menyambung dengan nada yang sedikit cemas.

"Akhbar memang tidak mahu terlibat langsung dan peguam kanan dari Paris yang sepatutnya mengetuai kes ini hanya akan berada di sini tiga bulan lagi," Natasha mengurut-urut dahinya beberapa kali.

"Natasha, cuba lihat dari sudut positif. Ini adalah peluang terbaik untuk awak buktikan kewibawaan awak sebagai seorang peguam. Saya orang pertama akan bangga dengan kejayaan awak," Badrul cuba menenangkan hati Natasha yang agak gusar sedari tadi.

"Saya sudah membaca semua fail-fail dan nota-nota yang ditinggalkan oleh Akhbar. Saya rasa saya mahu menarik diri dari kes ini," Natasha memandang tepat ke dalam mata Badrul. Badrul agak terkejut.

"Sayang, cuba ceritakan satu persatu apa yang awak baca..." Badrul mahukan kepastian.

"Kes ini bukan sekadar rasuah, terdapat banyak elemen lain. Ramai ahli-ahli politik ternama di tiga negara; Malaysia, India dan Pakistan terlibat. Kemungkinan besar ada pakatan antara mereka. Terdapat beberapa pembunuhan yang dilakukan untuk menutup jejak-jejak mereka. Mereka ada kuasa, wang dan pengaruh yang besar di rantau ini. Menguruskan kes seperti ini seolah-olah menyerahkan nyawa di hujung pedang!" Natasha melepaskan satu keluhan yang amat berat. Dahi Badrul semakin berkerut-kerut.

"Ada sesiapa yang mengugut awak atau menyerang awak?" Badrul bertanya.

"Yang saya perasan, sebuah kereta selalu mengekori saya kemana-mana sahaja saya pergi semenjak saya pulang dari Kuala Lumpur tiga hari lepas. Walaupun hari ini saya menggunakan teksi sepanjang hari, saya masih nampak kereta yang sama mengekori saya,” Natasha berhenti seketika. Dia mula memandang ke arah tingkap cermin restoran itu.

“Itu, dibawah sana, kereta Honda berwarna hitam. Kereta itulah yang selalu mengekori saya!" Natasha menuding jari ke arah sebuah kereta yang berhenti di bahu jalan.

Badrul melihat ke arah jendela, mencari-cari kereta Honda hitam yang diceritakan oleh Natasha.

...bersambung

Bab akan datang:

Benarkah Natasha diekori oleh sebuah kereta hitam?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience