Chapter 36

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 36

Selepas dia bertemu Pengetua sekolah pada hari itu, kes-kes disiplin Randi berkurangan sedikit tetapi dia tidak pernah meninggalkan aktiviti-aktiviti itu sehingga sekarang apabila Randi sudahpun berumur dua puluh lima tahun.

Sambil megeluh berat Rafael bangun dari tempat duduknya. Masih belum ada jalan penyelesaian mengenai Randi sehingga kini.

Badrul memandu mengelilingi sederet gudang sambil melihat ke kawasan sekeliling. KH Intelligence baru sahaja mendapat kontrak untuk menyediakan pengawal keselamatan bagi sebuah syarikat perkilangan yang akan memjadikan gudang itu sebagai pusat simpanan barang-barang mereka.

Semasa membuat lencongan di hujung timur bangunan gudang itu, Badrul ternampak sebuah kereta yang dikenalinya melalui kawasan tersebut, salah sebuah kereta KH Intelligence yang selalu digunakan oleh Randi dahulu. Randi sudah hampir dua minggu tidak melaporkan diri ke pejabat, mungkin ditugaskan untuk kerja-kerja di luar kawasan. Badrul nampak kereta itu meluncur laju menghala ke pintu masuk gudang tersebut. Tiba-tiba kedengaran bunyi hentaman yang kuat. Badrul berpusing ke arah pintu masuk gudang tersebut.

Rafael mengerang kesakitan ketika tubuhnya tiba-tiba dilanggar. Kereta itu kemudiannya terus memecut deras sehingga berdecit bunyi tayarnya dan sepantas kilat hilang dari pandangan. Badrul yang pada masa itu sudah meletakkan kereta, bergegas lari ke arah Rafael, cuba mengangkat tubuh Rafael untuk membawanya ke tepi. Rafael berjaya bangun tetapi kakinya yang sakit menyebabkan dia mengerang kesakitan. Badrul memaut bahu Rafael sambil memapahnya ke bahu jalan. Sebaik sahaja berada di tepi, Rafael baring semula, tidak mampu lagi dipapah oleh Badrul. Badrul lekas-lekas menelefon ambulans.

"Siapa yang langgar?" Badrul terus bertanya kepada Rafael sebaik sahaja meletakkan telefon walaupun dia merasakan seolah-olah Rafael tidak begitu boleh untuk bercakap.

"Tak tahu!" Rafael menjawab dengan menggeleng-gelengkan kepalanya sedikit. Badrul memeriksa kecederaan yang dialami oleh Rafael. Kaki sebelah kirinya terasa sakit apabila dipegang, mungkin tulangnya patah.

"Itu kereta Randi, bukan?" tanya Badrul seolah-olah tidak berpuas hati.

"Aku tak nampak," ujar Rafael dengan nada yang agak tercungap-cungap.

"Saya akan panggil dia sekarang!" Badrul memegang telefon bimbit, mahu mencari nombor Randi.

"Jangan! Bawa aku ke hospital dulu, nanti aku panggil dia," Rafael memegang lengan Badrul sambil memberi arahan.

Badrul mengangguk walaupun dia sebenarnya tidak bersetuju. Selepas dua puluh minit sebuah ambulans daripada hospital yang berdekatan sampai. Rafael dibawa ke dalam ambulans dan Badrul masuk bersamanya.

* * *

Rafael terjaga ketika cahaya matahari mula mengintai masuk melalui jendela bilik wad yang didudukinya. Dia cuba untuk bangun tetapi kakinya terasa kebas. Dia nampak balutan di sepanjang sebelah kaki kirinya.

Sudah hampir lima tahun Rafael tidak mempunyai pengawal keselamatan peribadi kerana dia telah membersihkan operasi Kemaruk Hitam menjadi sebuah perniagaan yang tidak menjalankan penyeludupan.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Randi yang telah melanggar Rafael?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience