Chapter 64

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 64

Sepanjang perjalanan dari rumah Fatin di Setiawangsa ke rumah bapa Julia di Mont Kiara, mereka hanya membisu. Julia memandang ke arah Badrul.

"Kenapa awak datang selamatkan saya?" Julia bertanya ketika Badrul memandu. Badrul mengambil masa yang agak lama untuk menjawab soalan yang diujarkan oleh Julia.

"Dulu saya yang mengetuai operasi mencari sampel Kapsul Ungu. Setelah Rafael meninggal dunia, Randi yang mengambil alih. Dia perlu menyelesaikan kes Kapsul Ungu untuk mendapatkan bayaran daripada pelanggan. Dia pasti mengekori awak dan dia tidak akan teragak-agak untuk membunuh awak jika perlu," jawab Badrul sambil memandu dengan tenang.

"Berapa upahnya untuk mendapatkan sampel Kapsul Ungu?" tanya Julia.

"Setengah juta Dollar Amerika," jawab Badrul sambil memerhati Julia sekilas pandang. Julia meramas tas tangannya untuk memastikan cawan termos itu masih berada di situ. Nilai kapsul-kapsul itu sangat tinggi.

"Jadi awak selamatkan saya kerana awak mahukan Kapsul Ungu? Selama ini awak berbaik-baik dengan saya pun kerana mahu medapatkan maklumat mengenai Kapsul Ungu?" Julia bertanya dengan nada yang tidak puas hati.

"Julia, kalau saya yang mengetuai operasi ini, saya sentiasa pastikan awak akan selamat. Tetapi sekarang keadaan sudah berada di luar kawalan saya. Kita berdua berada dalam situasi yang sama. Mereka mahukan awak kerana awak yang tahu segala-galanya mengenai Kapsul Ungu dan mereka mahukan saya kerana saya telah dituduh membunuh ketua mereka!" Badrul cuba memberikan penjelasan.

"Tapi Bard awak telah mempermain-mainkan saya selama ini!" Julia menjawab dengan nada yang penuh rasa marah.

"Julia, saya minta maaf. Memang saya bersalah, tetapi kita berada dalam keadaan bahaya, kita perlu bekerjasama untuk keselamatan diri kita sendiri," jawab Badrul. Keadaan sunyi seketika selama beberapa minit.

"Nak hantar awak ke mana?" Tanya Badrul memecah kesunyian.

"Angkupuri, Mont Kiara." Jawab Julia ringkas. Badrul mengambil selekoh dan berhenti di kondominium mewah Angkupuri.

"Saya hantar awak ke atas," ucap Badrul setelah memberhentikan kereta. Julia keluar dari kereta sambil menghempaskan pintu. Tanpa menuggu Badrul, dia terus sahaja masuk menuju ke lif untuk naik ke kondominum kepunyaan bapanya.

Tanpa berkata apa-apa juga, Badrul terus mengikut Julia dari belakang. Ketika Julia membuka pintu kondominium di tingkat empat belas, dia terus sahaja masuk ke ruang dapur tanpa menjemput Badrul.

"Jangan risau Julia, selepas kita selesaikan masalah ini, awak tak kan jumpa saya lagi," Badrul cuba meyakinkan Julia sambil meletakkan beg yang digalasnya di meja ruang dapur. Julia memandang Badrul dengan pandangan sayu. Bukan itu kata-kata yang dia mahu dengar dari Badrul.

"Bagaimana dengan orang yang menyerang saya di lorong gelap tempohari, adakah benar itu sebahagian dari rancangan awak?" Julia bertanya, kini mahu mendapatkan jawapan yang jelas.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah Badrul akan berterus terang? Teruskan membaca…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience