Chapter 53

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 53

Tiba-tiba satu hentakan mengenai kepala lelaki tersebut. Dia terus rebah ke atas jalan. Di hadapan Julia sekarang, berdiri seorang lelaki berpakaian kemas, kemeja berwarna putih, bertali leher dan memakai kot berwarna hitam. Dia masih menggenggam erat batang besi yang digunakannya tadi untuk memukul lelaki yang yang menangkapnya tadi.

"Lari!" Lelaki berpakaian kemas itu menjerit kepada Julia sambil melihat ke kiri dan ke kanan. Julia masih tercegat dalam ketakutan.

Rupa-rupanya lelaki yang menyerang Julia tadi tidak berseorangan. Dua orang lagi lelaki tiba-tiba muncul dan mula menyerang lelaki berpakaian kemas. Julia melihat dengan jelas pergelutan sengit antara mereka bertiga.

Dengan hanya menggunakan sebatang besi dia mampu menangkis serangan-serangan yang dilakukan oleh mereka. Julia nampak lelaki berpakaian kemas itu sangat mahir menggunakan besi sepanjang satu meter di tangannya. Lagaknya pantas bagaikan seorang ninja. Kadang-kadang dia tidak perlu melihat lawannya untuk menyerang, seolah-olah dia mempunyai sepasang mata di belakang kepalanya.

Lelaki yang menyerang Julia tadi tiba-tiba sedar dan cuba membantu kawan-kawannya. Dengan satu pukulan sahaja di perutnya, dia jatuh kembali. Ketiga-tiga penjahat itu bangun, memandang antara satu sama lain dan terus lari. Julia bingkas bangun mendapatkan lelaki berpakaian kemas itu.

"Eh, awak yang tukar lampu di makmal saya hari itu kan? Nama awak Bard kan?" Julia bertanya dengan nada yang agak ragu-ragu.

"Betul Julia, saya Bard," Badrul memperkenalkan dirinya sekali lagi kepada Julia sambil memegang hidungnya yang dirasakan sangat sakit.

"Awak luka-luka," ucap Julia sambil memerhati Badrul secara keseluruhan. Nampak jelas darah merah di bahagian kepala, pipi, hidung dan tangan Badrul. Julia cuba memeriksa jika ada luka yang serius. Rambut Badrul yang lembut dan halus dipotong kemas menyebabkan Julia hampir tidak mengenalinya tadi.

Sambil memeriksa kepalanya, dibawah lampu jalan yang kelam, Julia dapat melihat parut yang agak jelas di kulit kepalanya sepanjang satu inci. Julia cuba mengalihkan serpihan batu kerikil di mukanya. Sesekali Badrul mengaduh kesakitan.

"Terima kasih Bard! Saya terhutang budi!" Julia cuba memapah Badrul untuk berdiri. Dia tidak boleh berdiri dengan baik, mungkin kakinya cedera.

"Saya ada kotak first-aid di rumah saya. Rumah saya di hujung jalan sana," Julia memangku lengan Badrul itu untuk berjalan.

"Tak mengapalah Cik Julia, saya rasa saya boleh balik ke rumah saya." Belum sempat Badrul menghabiskan ayatnya, dia jatuh terduduk dia atas jalan.

"Jangan risau. Saya adalah penuntut kedoktoran. Saya boleh rawat awak untuk sementara waktu. Lepas saya cuci luka-luka awak ni, awak boleh pulang ke rumah," Julia cuba meyakinkan Badrul.

"Baiklah Cik Julia, nampaknya saya tidak ada pilihan," jawab Badrul. Julia memapah lengan Badrul dan membantunya berjalan.

…bersambung

Bab akan datang:

Mujur Julia datang membantu Badrul. Mengapa Badrul dipukul?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience