Chapter 41

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 41

“Salahuddin juga sudah tidak ada lagi?” Tanya Badrul dalam keadaan yang agak terkejut. Badrul menghela nafas yang panjang.

“Ya, dia juga sudah meninggal dunia. Saya sebenarnya rasa kecewa dengan semua yang berlaku,” jawab Dato’ Murad

"Begini Dato’, sebelum Natasha meninggal dunia, dia telah menyerahkan kunci tersebut kepada saya. Ini dia," Badrul menunjukkan kunci Dirak yang berada dalam simpanannya.

"Siapa kamu sebenarnya Bard? Mata-mata polis?" tanya Dato Murad dengan muka yang agak berkerut.

"Tidak Dato’, saya bekerja dengan KH Intelligent," jawab Badrul sambil mengeluarkan sekeping kad dan menghulurkannya kepada Dato Murad.

"Saya pernah dengar nama ini. Rafael, ketuanya bukan? Saya pernah menggunakan khidmat KH Intelligent untuk beberapa tugas dahulu. Saya tidak pernah tahu KH Intelligent dilantik menjadi penyiasat dalam kes ini, setahu saya kes ini sudah terbiar begitu sahaja semenjak tahun lepas, selepas kematian Natasha dan Salahuddin," Dato’ Murad meletakkan kad itu ke atas meja.

"Hari ini saya berjumpa Dato’ bukan sebagai pekerja KH Intelligent. Saya adalah teman lelaki Natasha. Saya ingin mencari siapa yang menjadi dalang pembunuhannya." Badrul menjawab dengan nada penuh dendam.

"Agenda peribadi rupanya. Apa yang kamu hendak buat Bard? Buka kembali kes ini?" tanya Dato Murad dengan nada sedikit mengejek.

"Kalau perlu, saya akan buka kembali!" Badrul menjawab dengan penuh keyakinan.

"Kes ini melibatkan rangkaian ahli politik yang paling berkuasa di beberapa negara. Kamu akan kalah kalau kamu buka kembali kes ini, Bard. Lihat sahaja berapa orang telah meninggal dunia," nasihat Dato’ Murad.

"Seseorang harus tampil ke hadapan menyelesaikan semua ini, tidak ada cara lain Dato’," jawab Badrul, masih berdegil.

"Jadi apa yang kamu mahu saya bantu?" Dato’ Murad bertanya.

"Saya difahamkan loker ini mengandungi semua salinan bukti yang diperlukan untuk mendakwa semua yang terlibat dalam kes yang disiasat oleh Natasha?" Badrul cuba mendapatkan kesahihan fakta itu.

"Ya, semuanya. Semua transaksi bank yang pernah dibuat oleh Duo Arms yang telah dilenyapkan dan beberapa dokumen lain yang akan membantu kes ini." Dato Murad membisikkan maklumat ini ke telinga Badrul.

"Sudah setahun saya mencari loker itu di Kuala Lumpur, Dato’. Masih belum berjumpa. Dato’ tahu di mana lokasinya?" sepantas kilat Badrul mengajukan soalan.

"Setahun mencari?" Dato Murad menjawab dengan nada sedikit terkejut sambil tertawa kecil.

"Salahuddin memang bijak," Dato Murad menyambung.

"Saya tak tahu tempat sebenar loker tersebut tetapi Salahuddin pernah memberitahu loker itu berada betul-betul di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Loker awam yang boleh disewa selama beberapa tahun. Itu sahaja maklumat yang saya ada untuk awak. Saya tidak diberitahu lokasi sebenar." Dato’ Murad menyambung lagi.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah maklumat yang diberi oleh Dato’ Murad dapat membantu Badrul untuk mencari loker tersebut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience