Chapter 76

Mystery Completed 8171

Bab 76

"Julia, bangun! Asyik tidur je. Bangun!" Badrul menggerak-gerakkan bahu Julia.

"Saya tak tidur la Bard. Saya cuma tak tahan dengan bau ayam ni, " jawab Julia sambil menutup semula mukanya semula dengan kemeja-t yang diambilnya dari dalam beg. Badrul hanya tersenyum sinis.

Badrul memaut kepada sangkar-sangkar ayam tersebut untuk bangun dan melihat keadaan sekeliling. Sejurus kemudian lori itu berhenti di tepi jalan. Badrul kemudian melompat keluar dari lori tersebut dan berjalan ke arah ruang pemandu.

"Terima kasih Pak Kamil! Jumpa lagi nanti!" Badrul menjerit sedikit, mungkin sengaja mahu menyakitkan hati Julia. Julia bingkas bangun. Lori itu sudah mula mahu bergerak.

"Bard!!!" Julia menjerit sekuat hatinya.

"Eh, Pakcik. Tunggu dulu!" Badrul berteriak sambil berlari mengejar lori tersebut. Lori itu tiba-tiba berhenti. Julia cuba memanjat pintu belakang lori dengan berhati-hati dan melompat turun dari lori itu.

"Boleh jalan pakcik!" Badrul berteriak setelah Julia menjejak tanah. Lori itu terus bergerak meninggalkan mereka.

"Kalau saya tidur memang awak akan tinggalkan sayalah?" Dengan berang Julia memarahi Badrul.

"Kan saya dah kejutkan awak tadi, kalau saya kejutkan awak maksudnya kita kena bergerak," Badrul menjawab dengan sabar.

"Saya tak tidur okey!! Saya tak boleh tidur dalam lori ayam yang berbau tu," suara Julia semakin keras. Badrul menarik nafas sedikit. Tiba-tiba satu dentuman yang kuat kedengaran membelah kepekatan malam. Badrul tiba-tiba merangkul Julia sambil bertinggung dan menundukkan kepala. Wajah Badrul nampak panik. Julia yang juga terkejut memaut bahu Badrul. Badrul menaikkan kepalanya dan melihat sekeliling dengan pantas. Masih dengan muka yang panik, Badrul memandang Julia. Tiba-tiba dia tersenyum dan ketawa. Julia menjadi hairan. Ketawa Badrul semakin lama semakin kuat.

"Badrul!!" satu suara wanita kedengaran memanggil. Badrul terus bangun dan mencium tangan wanita itu.

"Kan aku dah kata aku akan sambut kamu dengan satu das tembakan!" ucap wanita itu sambil tersenyum. Badrul tertawa sedikit. Wanita itu menyandang senapang patah yang dibawanya.

"Nenek sihat?" tanya Badrul sambil menepuk-nepuk tangan wanita itu. Wanita itu membuka kelubung kepala yang dijahit terus kepada jaket tentera yang dipakainya. Dalam samar-samar cahaya bulan kelihatan samar-samar rambutnya yang putih dan dipotong pendek. Raut mukanya nampak bengis tetapi pandangan matanya penuh kasih sayang.

"Sihat Bard, jadi inilah Natasha?" tanya wanita itu sambil melihat ke arah Julia.

"Bukan Nek, ini Julia, bukan Natasha," Badrul menjawab sambil melepaskan gengaman tangannya.

"Natasha sudah meninggal dunia Nek," jawab Badrul dengan nada yang sedih. Wanita itu kemudiannya mengusap kepala Badrul untuk meredakan perasaannya.

"Minta maaf Bard, nenek sudah lama tak berjumpa dengan kamu dan keluarga kamu. Tak mengapalah Bard, kita masuk ke dalam kereta dulu." Wanita itu menjawab dan mula menghulurkan tangannya kepada Julia.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Teruskan membaca…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience