Chapter 40

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 40

"Itu sahaja yang saya mahu beritahu. Awak perlu berbuat sesuatu. Saya perlu pergi sekarang. Sampaikan salam saya kepada Rafael nanti," Zamani bangun sambil menghulurkan tangannya kepada Badrul. Badrul mengambil masa yang agak lama untuk menjabat salam Zamani. Dia masih lagi terkejut dengan apa yang diceritakan oleh Zamani.

Badrul meletakkan kunci loker pemberian Natasha ke atas meja kedai makan yang baru sahaja dimasukinya. Selama setahun dia berada di Kuala Lumpur, setiap minggu dia akan mengambil masa untuk memeriksa loker-loker yang berada di bandaraya itu, dari loker awam di stesen-stesen keretapi dan bas kepada loker-loker pejabat. Dia juga pernah memeriksa peti surat setiap bangunan yang berada dalam radius lima kilometer dari bangunan HURIMA.

Hari ini dia sudah penat mencari. Selepas memesan makanan, Badrul membelek-belek kunci tersebut, cuba berfikir di mana lagi dia mahu mencari. Kunci itu berjenama Dirak dan nombor 7-2-3 diukir di belakang kunci tersebut.

Dirak adalah sebuah jenama kunci berkualiti tinggi daripada Jerman. Kunci-kunci jenama Dirak selalunya mempunyai nombor kod produk empat angka seperti 2133 atau 6100. Kadangkala nombor kod produk ini ditulis 2-133 atau 6-100. Tidak ada kod produk kunci Dirak yang bernombor 7-2-3 seperti yang tertera di kunci tersebut.

Badrul membuka semula buku kecil yang selalu dibawanya ketika mahu mencari loker di kawasan Kuala Lumpur. Sudah hampir seratus lokasi dilawatinya di sekitar Kuala Lumpur.

"Encik, Dato’ Murad sudah sampai, dia duduk di meja sana, masih lagi berseorangan" seorang pelayan di situ yang dikenalinya menegur sambil menunjukkan jarinya ke arah sebuah meja yang berdekatan.

"Terima kasih," balas Badrul sambil menghulurkan wang berjumlah lima puluh ringgit yang telah dilipat kecil. Pelayan itu mengangguk tanda terima kasih.

Badrul mengambil masa beberapa minit untuk melihat keadaan Dato’ Murad ketika itu. Dia nampak bersahaja. Menurut kata pelayan itu, Dato’ Murad selalu datang ke situ sambil menunggu isteri dan anaknya membeli-belah di pusat beli-belah berdekatan. Dia datang ke situ hampir setiap minggu dan selalunya duduk di meja yang sama.

"Dato’ Murad," tegur Badrul sambil duduk di hadapannya tanpa meminta izin.

"Siapa kamu?" Dato’ Murad bertanya agak kasar.

"Minta maaf Dato’, saya Bard, kawan kepada Natasha, peguam Sawyer & Ferguson yang ditemui mati tahun lepas." Jawab Badrul ringkas.

"Natasha? Ya, saya ingat dia." Dato’ Murad menjawab dengan perlahan.

"Dato’ telah menghantar Salahuddin untuk bertemu dengan Natasha. Salahuddin telah menyerahkan sebentuk kunci loker kepada Natasha, saya rasa Dato’ masih ingat lagi peristiwa itu?" Badrul bertanya.

"Ya Bard, saya masih ingat lagi. Salahuddin juga telah menemui ajal dalam satu kejadian langgar lari," jawab Dato’ Murad sambil menundukkan kepalanya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah reaksi Badrul setelah mengetahui tentang Salahuddin? Apakah yang akan Badrul beritahu kepada Dato’ Murad?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience