Bab 43
"Dia memang mahu kau lupakan segala-galanya!" bentak Somat.
"Aku mahu membuka kumpulan baru. Aku sedang mengumpul semua kuncu-kuncu aku dahulu dan aku juga sedang mencari ahli baru. Ikut aku Randi! Kita boleh ambil semula semua harta engkau dan kita gandakan lagi wang kita!!" seru Somat dengan nada yang berapi-api, meniup semangat Randi.
"Tuan Somat, panggilan telefon!" seorang lelaki muda berbadan tegap tiba-tiba masuk ke dalam bilik perbincangan itu sambil menghulurkan sebuah telefon bimbit.
"Siapa?" tanya Somat dengan bengis.
"Kumpulan Tali Merah, mereka mahu berbincang!" jawab lelaki itu dengan pantas. Somat pantas mengambil telefon bimbit itu dan berjalan keluar dari bilik.
Randi belum yakin sepenuhnya dengan Somat. Dia bertemu dengan Somat ketika dia cuba berbincang dengan Kumpulan Tali Merah beberapa hari lepas untuk menyelesaikan masalah hutang kalah judi yang bernilai hampir tiga ratus ribu ringgit. Walau bagaimanapun, setelah menyelidik selama dua hari, kebanyakan yang dikatakan oleh Somat adalah benar. Somat baru sahaja keluar daripada penjara kurang dua bulan lepas. Walaupun dia berada di dalam penjara, dia mempunyai rangkaian pengikut setia yang masih menjalankan kerja-kerja penyeludupan bagi pihaknya. Sebelum ditangkap Somat adalah antara penyeludup yang paling disegani di kawasan selatan Malaysia.
Beberapa orang yang dijumpainya juga ada menyatakan Somat pernah berkawan baik dengan Rafael. Walaupun peristiwa pembunuhan ibu-bapanya sudah lama berlalu, nama Patrick Chin juga ada disebut-sebut semasa dia mencari maklumat mengenai Somat.
"Aku sudah berbincang dengan Kumpulan Tali Merah. Segala-gala hutang engkau, boleh dibayar separuh sahaja dan aku boleh langsaikan semuanya untuk engkau. Tapi ada syaratnya Randi?" ujar Somat sebaik sahaja dia masuk semula ke bilik tersebut.
"Apa syaratnya?" tanya Randi
"Aku mahu membalas dendam. Aku mahu Rafael tunduk kepada aku dan kita ambil kembali segala-galanya daripada dia!!" Somat memberi kata dua kepada Randi. Randi menarik nafas panjang.
"Jangan risau Randi, aku yang melatih Rafael dahulu semasa dia sebaya dengan engkau, aku tahu cara dia berfikir. Dia tidak akan bertindak seorang diri, dia pasti akan libatkan pihak berkuasa untuk selesaikan masalah engkau ini. Engkau mahu masuk penjara macama aku? Merempat hampir dua puluh tahun dalam kandang macam binatang! Aku terpaksa berpura-pura baik untuk mengurangkan tempoh hukuman!" Somat cuba menyakinkan Randi.
"Aku tak boleh masuk penjara. Aku masih muda!" jawab Randi.
"Sertai aku. Aku akan adakan latihan senjata untuk ahli-ahli esok. Tempat dan waktu, kau akan tahu nanti," Somat membalas sambil mengambil semula semua gambar-gambar yang ditunjukkan kepada Randi tadi.
"Aku akan hadir!" jawab Randi.
"Bagus Randi. Kau akan dapat semula semua hak engkau nanti!" ujar Somat sambil menepuk-nepuk bahu Randi.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah tugas pertama yang akan diberikan kepada Randi?
Share this novel