Chapter 59

Mystery Completed 8171

Bab 59

Badrul membuka pintu wad dengan perlahan. Dia melihat tubuh kecil Julia yang masih lagi diselimuti kain selimut. Nampaknya Julia masih lagi tidur dengan kepalanya yang dilentokkan sedikit ke arah kanan.

Kali terakhir Badrul menemui Natasha, dia juga sedang tidur berselimut sama seperti Julia. Dia masih ingat lagi kali terakhir dia mengusap rambut lembut Natasha dahulu, dia sedang tidur lena dibuai mimpi dan dia memberikan kucupan lembut ke dahi Natasha. Dia tidak pernah menyangka itu merupakan sentuhan terakhirnya. Badrul menutup kedua-dua matanya, cuba melupakan bayangan-bayangan lampau yang hampir setiap hari menghantuinya.

Badrul memegang sisi katil Julia. Ingin rasanya dia mengejutkan Julia dari tidurnya supaya dia dapat mendengar suara Julia sekali lagi, tetapi setelah melihat muka Julia yang agak pucat dan hembusan nafasnya yang agak perlahan, dia mematikan niatnya. Badrul mahu Julia sembuh dengan segera.

Badrul tidak mahu berada di situ terlalu lama. Semakin lama dia berada di situ semakin berat rasa hatinya untuk meninggalkan Julia. Dengan hembusan nafas yang berat Badrul berjalan ke pintu wad untuk keluar.

"Bard!" suara Julia kedengaran memanggil namanya ketika dia baru sahaja mahu membuka pintu wad untuk keluar. Langkah Badrul terhenti.

"Bard!" sekali lagi Julia memanggil nama Badrul dengan nada yang perlahan. Badrul sebenarnya belum lagi berfikir bagaimana untuk memberitahu Julia keputusannya untuk meninggalkan bandar Kuala Lumpur. Dia juga masih belum tahu ke mana arah tujuannya. Badrul kemudiannya berpusing.

"Julia, saya ingatkan awak masih tidur, " Badrul kembali mendekati katil Julia. Julia cuba duduk beralaskan bantal di belakangnya. Dia tersenyum sedikit.

"Doktor kata saya boleh keluar esok pagi," Julia memulakan perbualan.

"Bagus!" Badrul menjawab. Mata mereka bertemu.

"Saya sudah fikir masak-masak mengenai Kapsul Ungu. Betul apa yang awak kata Bard, saya rasa mereka yang mahu membunuh saya ini sebenarnya mahukan Kapsul Ungu itu." Julia mula bercakap dengan nada serius.

"Julia, saya tak mahu fikir mengenai Kapsul Ungu lagi," Badrul membalas dengan nada yang perlahan, seperti putus asa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya sedikit.

"Saya minta maaf Bard, selama ini saya selalu tidak mempercayai keikhlasan awak," Julia memandang Badrul dengan penuh kepercayaan.

Akhirnya Julia menceritakan kepada Bard secara kasar sejarah kajian Kapsul Ungu. Lombard Lab telah meluluskan dana untuk kajian Kapsul Ungu berdasarkan kajian awal Dr Asri mencari ubat alternatif untuk rawatan penyakit epilepsi atau bahasa mudahnya, sawan. Sawan adalah keadaan di mana kanak-kanak atau orang dewasa tidak sedarkan diri dan biasanya diikuti oleh kekejangan atau penyentakan kaki dan tangan.

Asri telah mengkaji ubat-ubat lain seperti barbiturate, methaqualone dan benzodiazepines dan berjaya menghasilkan satu formula ubatnya sendiri yang dipanggil Kapsul Ungu.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa ramai mahu mendapatkan Kapsul Ungu? Teruskan membaca…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience