Chapter 81

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 81

Embok melangkah beberapa tapak lagi dan berhenti. Dia harus menyeberangi anak sungai untuk masuk ke dalam hutan itu.

Setelah memastikan tidak ada sesiapa yang mengikutinya dari belakang Embok memanjat titi batang kelapa yang direntangkan di antara dua tebing anak sungai itu dengan berhati-hati. Sedikit demi sedikit dia mengatur langkah hingga sampai ke seberang.

Sebaik sahaja dia melompat ke atas tebing, seorang lelaki berpakaian hitam mengajukan sebatang senapang ke arahnya. Embok mengangkat kedua-dua tangannya.

“Tuan Randi sedang menunggu saya,” jawab Embok sambil terketar-ketar.

“Siapa nama kamu?” tanya lelaki itu kasar.

“Embok. Saya datang untuk bagi maklumat berkenaan Badrul, cucu kepada Leha,” jawab Embok lagi. Peluh sudah mula membasahi dahinya.

Lelaki itu mengambil walkie talkie di pinggangnya untuk memberitahu kawan-kawannya di dalam. Setelah beberapa kali memberi dan menerima maklumat, lelaki itu memberi isyarat kepada Embok untuk bergerak menuju ke sebuah pondok berdekatan. Embok berjalan sambil mengangkat kedua-dua tangannya. Sebaik sahaja sampai di pondok itu Somat bergegas keluar.

“Tuan, pertemuan akan diadakan di pekan Rengit esok petang,” Embok terus sahaja memberi maklumat.

“Rengit?” Tanya Somat kembali sambil menyuruh kuncu-kuncunya meletakkan senjata. Ketika itu barulah Embok berani menurunkan tangannya.

“Di stesen minyak pukul lima petang. Ada satu sahaja stesen minyak di Rengit, Tuan. Tidak susah untuk mencarinya,” jawab Embok dengan lebih yakin.

“Baiklah, terima kasih,” Randi melemparkan beberapa keping duit lima puluh ringgit kepada Embok. Embok menyambut wang itu dengan senyuman.

“Ini sebulan gaji engkau. Tapi ingat, biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Mengerti?” ujar Somat sebelum masuk semula ke dalam pondok.

Julia duduk di atas buaian di luar rumah Nenek Leha sambil menghirup angin pagi yang segar. Dari kejauhan Julia dapat melihat Badrul yang menaiki sebuah motor kapcai sedang menghala balik ke rumah itu.

“Kita perlu bergerak sekarang Julia,” ujar Badrul sebaik sahaja memberhentikan motorsikal itu di hadapannya. Julia mencebikkan mukanya.

“Julia sukalah duduk di rumah Nenek Leha ni. Kita nak pergi ke mana lagi ni Bard?” tanya Julia dengan nada tidak puas hati.

“Kita perlu teruskan perjalanan Julia, kita bergerak dalam setengah jam lagi okey?” Jawab Badrul sambil turun dari motorsikal dan menyandarkannya ke tiang rumah. Badrul mengambil beberapa beg plastik yang disangkut di pemegang tangan motorsikal itu lantas terus naik ke rumah. Julia cuba mengejarnya.

“Kita nak ke mana Bard?” tanya Julia sambil menghulurkan tangan, mahu membantu membawa sedikit beg plastik yang dibawanya.

“Batu Pahat. Awak kena berkemas sekarang,” jawab Badrul ringkas.

“Awak ada nenek di Batu Pahat juga ke?” tanya Julia bersahaja. Badrul tiba-tiba berhenti.

“Julia, kita dah tak cukup masa. Pergi berkemas sekarang,” jawab Badrul sambil mngambil semula semua plastik yang diberikan kepada Julia lantas terus masuk ke rumah menuju ke arah dapur.

…bersambung

Bab akan datang:

Kenapa Badrul begitu tergesa-gesa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience