Chapter 75

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 75

"Julia! Bangun! Kita dah sampai," Badrul memanggil nama Julia. Julia mengeliat seketika sebelum bangun. Walaupun mereka sepatutnya duduk bersebelahan, Julia berjaya mencari kerusi kosong dan berpindah dari kerusi asalnya. Dia masih lagi berasa marah terhadap Badrul.

"Saya tunggu awak di bawah," Badrul memberitahu Julia lantas bergerak menuruni tangga bas. Julia tidak menjawab walau sepatahpun.

Dari tingkap bas Julia dapat melihat Badrul menemui seorang lelaki memakai kemeja yang sangat lusuh dan seluar jeans yang koyak rabak. Lelaki itu berjabat tangan dengan mesra seolah-olah sudah lama tidak berjumpa.

Badrul kemudian berpaling ke arah bas semula. Sebaik sahaja dia nampak Julia melalui tingkap kaca bas, Badrul memberi isyarat kepada Julia untuk turun. Julia perlahan-lahan mengambil beg yang dibawanya dan turun menemui Badrul. Sebelum turun dia sempat membuka beg galasnya untuk memeriksa Kapsul Ungu. Bekas itu masih ada di dalam begnya. Dia telah meletakkan Kapsul Ungu dalam dua bekas yang berbeza, satu disimpan oleh Badrul dan satu lagi dalam simpanannya.

"Julia, perkenalkan ini Pakcik Kamil," Badrul bersuara. Julia hanya menganggukkan kepala. Pakcik Kamil tersenyum menunjukkan gigi hadapannya yang sudah rongak dan gigi-gigi lain yang sudah rosak.

"Pakcik Kamil akan bawa kita ke tempat penginapan malam ini," Badrul menambah. Julia tersenyum sedikit. Pakcik Kamil juga tersenyum dan terus membawa Julia dan Badrul menghampiri sebuah kawasan letak kereta berdekatan. Hanya ada sebuah lori diletakkan di kawasan itu, lori yang dipenuhi dengan ayam-ayam yang dikurung di dalam sangkar-sangkar kecil yang berasingan. Pakcik Kamil kemudian membuka pintu belakang lori ayam tersebut. Mata Julia terkebil-kebil.

"Kamu boleh duduk di belakang. Aku dan pembantu aku duduk di tempat memandu," Pakcik Kamil menunggu Badrul dan Julia menaiki belakang lori tersebut.

"Bard!!" Julia menjerit sambil bercekak pinggang tanda tidak setuju.

"Julia, dah tengah malam susah nak cari teksi. Lagipun susah orang nak jejak kita kalau kita naik lori ni. Sekejap sahaja!" Badrul menarik Julia berjauhan sedikit daripada Pakcik Kamil sambil berbisik.

"Awak dah melampau Bard, ini lori ayam! Saya tak mahu naik," Julia bertegas.

"Julia.." Badrul cuba memujuk sedikit.

"Aku dah lambat ni. Kalau kamu semua tak nak naik, aku jalan sekarang!" Jerit Pakcik Kamil dari jauh.

"Kami naik sekarang pakcik," jerit Badrul sambil mengangkat tangan ke arah Pakcik Kamal.

"Saya nak naik, kalau awak tak nak naik, awak boleh tinggal di sini," Badrul tidak mahu memujuk lagi dan terus menghampiri Pakcik Kamil. Sebelum memanjat lori tersebut Badrul sempat membuat muka yang penuh ketakutan untuk mengejek Julia.

Julia memandang sekeliling. Keadaan malam yang gelap pekat dan sunyi di kawasan sekitar membuatkan Julia berasa sedikit resah. Lekas-lekas Julia mengambil begnya dan memanjat lori tersebut. Badrul tersenyum lagi. Julia mencari sudut yang paling jauh dari Badrul untuk duduk berehat.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Teruskan membaca…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience