Chapter 99

Mystery & Detective Completed 8113

Bab 99

Kumpulan itu telah membawa mereka ke tempat yang sama pertama kali mereka bertemu dahulu, di tepi sebuah padang bola.

“Saya harap awak merahsiakan semua yang awak alami selama beberapa hari bersama kami. Kami ditugaskan untuk membersihkan masalah virus Erebus. Sebaik sahaja semua pesakit sembuh, kami akan musnahkan gudang itu,” ketua kumpulan itu menyambung.

Badrul hanya tersenyum tanda setuju. Kesemua ahli kumpulan berkenaan menaiki kembali van mereka dan bergerak meninggalkan Badrul dan Julia.

"Kita berjaya!" Badrul tersenyum sambil memandang Julia yang masih masih lagi menggosok-gosok matanya.

"Kita berjaya Bard," Julia menjawab.

“Kita boleh pulang sekarang dan hidup seperti biasa,” ujar Badrul sambil berjalan perlahan-lahan.

"Jadi, apa rancangan awak sekarang Bard?" tanya Julia sambil mengikuti Badrul berjalan.

"Pertama, saya perlu serahkan semua bukti ini dan bersihkan nama saya," jawab Badrul sambil menepuk-nepuk beg galasnya.

“Saya mahu kematian Natasha terbela,” Badrul menyambung perlahan.

“Natasha?” Julia menjawab dengan nada bertanya.

“Saya minta maaf saya tak pernah ceritakan semuanya kepada awak Julia. Hanya hari ini setelah semuanya hampir selesai…” Badrul cuba menghabiskan ayatnya tetapi terhenti. Kenangan Natasha memang benar-benar membuat dadanya sebak.

“Tak mengapa Bard, saya sudah tahu semunya mengenai Natasha dan kes yang diuruskannya. Saya tahu segala-galanya,” jawab Julia sambil berjalan perlahan.

“Bagaimana awak tahu semuanya Julia?” Badrul berhenti sambil berpusing ke arah Julia.

“Awak ingat lagi, saya menghadiri satu seminar di Universiti Malaya sebelum kita berangkat ke Melaka?” Tanya Julia sambil memandang tepat ke arah mata Badrul.

“Ya, saya masih ingat,” jawab Badrul ringkas.

“Randi telah bertemu dengan saya dan menceritakan segala-galanya kepada saya,” jawab Julia.

“Randi berjumpa dengan awak? Mengapa dia mahu menceritakan segala-galanya kepada awak Julia? Apa motifnya?” Tanya Badrul lagi.

“Dia cuba meyakinkan saya awak bukanlah seorang yang baik. Dia mahu saya bantu dia untuk memerangkap awak. Tetapi jauh di sudut hati, saya yakin awak bukanlah lelaki seperti yang diceritakannya. Saya yakin awak adalah seorang yang jujur. Benar juga sangkaan saya,” jawab Julia sambil mula mengatur langkah. Mereka sudahpun berjalan hingga ke tengah kawasan padang bola tersebut.

“Terima kasih kerana menaruh kepercayaan kepada saya Julia,” jawab Badrul sambil mengikut aturan langkah Julia.

“Kemudian saya terdengar perbualan awak dengan Nenek Leha. Pada waktu itu baru saya dapat maklumat yang sebenar mengenai permasalahan awak,” Julia menyambung. Badrul mula tersenyum.

“Awak curi-curi dengar?” Badrul menjeling ke arah Julia sambil bercekak pinggang. Nadanya seperti jenaka yang dibuat-buat.

“Ya, Bard. Memang saya suka curi-curi dengar!” Julia membalas, juga bercekak pinggang, nadanya penuh ejekan.

“Dah la banyak tidur, lepas tu curi-curi dengar kat rumah orang,” Badrul cuba menampar bahu Julia.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang akan dilakukan oleh Badrul dan Julia selepas ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience