Get the app for full experience
Bab 27
Di dalam almari pakaian, kebanyakannya adalah baju-baju Luna yang masih tidak disentuh. Lucas terfikir, jikalau Luna melarikan diri dari rumahnya pasti Luna akan membawa baju-bajunya sekali. Jadi, dia membuat kesimpulan, Luna tidak mungkin melarikan diri dari rumah. Malah pasport dan buku bank Luna masih berada di dalam laci. Ini menguatkan lagi kesimpulannya bahawa Luna masih berada di Malaysia.
Selepas menyelongkar almari pakaian, dia beralih ke rak buku. Setiap buku tidak kira komik, buku rujukan, buku latihan sekolah, novel dan majalah-majalah yang tersusun pada rak tersebut, dibeleknya setiap satu demi satu. Tetapi tiada satu pun yang terlepas daripada pandangannya. Akan tetapi dia menemui jalan buntu juga.
Luna hanyalah Luna. Itu sahaja yang dapat dikatakan selepas tidak menemui apa-apa yang mencurigakan. Mungkin dia tersalah anggap terhadap Luna. Seperti kata mamanya juga, Luna tidak mungkin terlibat dalam letupan itu tapi persoalannya sekarang, ke mana Luna menghilang jikalau dia tidak terlibat?
Menurut berita, bukan Luna seorang sahaja yang hilang dalam kejadian itu. Ramai lagi yang dilaporkan hilang. Pihak polis juga tidak dapat memastikan angka kehilangan yang tepat dalam kejadian misteri itu. Mungkin bilangan yang hilang lebih ramai daripada angka sebenar. Pihak polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat juga menemui jalan buntu untuk menyelesaikan persoalan ini.
Seutas rantai yang tergantung pada dinding di tepi almari rak buku tiba-tiba menarik perhatiannya. Mana tidaknya, sepatutnya rantai yang tergolong dalam barangan kemas, akan disimpan di dalam laci bersama-sama cincin, gelang, subang dan barangan kemas Luna yang lain tetapi rantai berbuahkan kunci antik. Lucas segera mencapai rantai tersebut.
Dia kemudiannya membelek kunci pada rantai tersebut. Apa yang dapat disimpulkan, kunci itu seperti kunci betul dan bukannya barang perhiasan semata-mata. PRINCESS. Dia dapat menangkap satu perkataan yang terukir di bahagian tepi kunci itu.
Kemudian, dia teringatkan peti besi besi antik yang pernah dibawa Luna sewaktu gadis itu berpindah ke rumahnya. Seingatnya, peti besi itu berada di loteng di tingkat atas rumahnya. Tanpa membuang masa lagi, Lucas segera berlalu pergi ke loteng yang berada di tingkat atas.
Baru sahaja dia ingin melangkah masuk ke bilik kecil itu, langkahnya terhenti. Cahaya matahari yang menyinari loteng itu membantutkan kemaraannya. Apatah lagi mendapati kedudukan peti besi yang menjadi sasarannya itu berada bertentangan dengan tingkap dan disinari dengan cahaya matahari.
Lucas melihat jam tangannya. Ada beberapa jam lagi untuk matahari terbenam. Dia mengeluh lemah sambil duduk bersandar di tepi pintu. Sesekali dia tertawa sendirian apabila mengenangkan hidup barunya yang perlu melarikan diri daripada cahaya matahari.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang terdapat di dalam peti besi tersebut?