Get the app for full experience
Bab 13
“Hah? Macam tu pun ada ke?” dia menghela nafas lemah. Tubuhnya kembali bersandar pada bantalnya.
“Lucas, mama tahu. Apa yang telah kamu lalui memang sukar untuk kamu terima tapi mama nak kamu tahu, mama sentiasa akan memberi kamu semangat. Mungkin ini agak susah tapi kamu akan biasa nanti.”
“Maa… dah berapa kali mama cakap macam tu. Jangan risaulah. Saya bukannya budak-budak lagi. Tahulah jaga diri.”
Tarikh : 10 Mac 2010
Masa : 8.00 malam
Lokasi : Hospital Kuala Lumpur
Malam itu, seperti yang telah dijanjikan, Lucas dibenarkan keluar daripada hospital. Papanya, Tuan Alias datang menjemput. Hari ini, pertama kali, dia menjejak kakinya ke tanah selepas sekian lama berada di hospital. Walaupun tidak dapat merasai cahaya matahari tetapi dia tetap bersyukur.
Suasana malam di hospital agak lengang. Tambahan pula, mereka keluar melalui pintu belakang bagi mengelak daripada diserbu oleh para wartawan yang khabarnya sedang setia menunggu di hadapan pintu pagar hospital.
Selepas mengucapkan terima kasih kepada doktor yang merawatnya sejak dia dimasukkan ke hospital, kereta yang dipandu oleh papanya bergerak dengan kelajuan sederhana menuju ke jalan raya.
Sepanjang perjalan pulang ke rumah, Lucas lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap. Dia sekadar mendengar sahaja celoteh mamanya yang ingin memasak makanan kegemarannya bagi meraikan kepulangannya. Bukan itu sahaja, mamanya sudah membuat rancangan untuk mereka sekeluarga pergi bercuti memandangkan mereka sudah lama tidak pergi bercuti bersama-sama.
Perjalanan dari hospital ke rumah hanya mengambil masa 45 minit memandangkan tidak banyak lampu isyarat yang perlu ditempuhi. Kepulangan mereka disambut oleh Mak Jah, pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat dengan mereka, malah dia telah bekerja di situ sejak Lucas belum lahir lagi. Mak Jah yang sudah berumur dalam lingkungan 50-an itu masih tetap setia memberikan khidmat walaupun dia sudah boleh pencen.
Sejurus pulang, Mak Jah sudah pun menghidangkan makan malam untuk mereka sekeluarga. Jika dahulu dia hanya menyediakan hidangan yang ringan-ringan pada waktu malam, tetapi pada malam ini, atas permintaan Puan Mariam sendiri, dia menyediakan masakan yang digemari oleh Lucas.
******
Lucas dapat merasai bahawa sudah lama dia tidak duduk makan bersama keluarganya. Memang jarang mereka sekeluarga duduk makan bersama-sama kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Dia sibuk dengan pengajiannya di kolej, manakala ayah dan mamanya pula sibuk dengan urusan masing-masing di pejabat. Apatah lagi, Lucas jarang pulang ke rumah dan lebih selesa menetap di hostel.
Meskipun dia gembira dengan suasana pada hari itu tetapi ada sesuatu yang kurang. Tempat duduk di hadapannya yang kosong itu direnung lama. Dahulu, ketika Luna ada, itulah tempat duduk Luna. Agak sukar dia hendak percaya bahawa Luna sudah tiada.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang berlaku ketika Lucas berehat di biliknya?