Get the app for full experience
Bab 21
“Bukan silap kamu saja tapi kita sama-sama tidak cuba memahaminya. Kalau mama jadi Luna mesti rasa sunyi duduk dalam rumah ni. Mama ingat, bila mama dah jaga Luna, mama dapat mengurangkan bebannya sebagai anak yatim tapi nampaknya mama silap. Sekarang, nak buat apa pun tak guna lagi. Nasi dah jadi bubur, Lucas.”
“Oh ya, mama kenal kawan-kawan Luna dalam gambar ni?” Lucas memberi album tersebut kepada mamanya dan menunjuk ke arah gambar yang menjadi tanda tanya tadi.
“Mama tak kenal sangat tapi lelaki ini ada datang ke rumah ni tapi dia tak masuk. Dia hantar Luna yang masa tu baru pulang dari sekolah.” Mariam menunjuk ke arah seorang lelaki yang tinggi lampai berdiri di sebelah kiri Luna itu.
“Mama tak tanya siapa orang tu?”
“Tak de pula. Entahlah. Masa tu mama sibuk sangat.”
“Selepas tu dia ada datang lagi?”
Mariam menggeleng. Dia sendiri tidak pasti kerana hampir kesemua masanya dihabiskan di pejabat berbanding di rumah.
“Kamu fikir dia boyfriend Luna?”
Lucas sekadar mengangkat bahu. Dia juga tidak boleh mengagak apakah mereka berdua benar-benar ada hubungan. Jikalau ada hubungan, pasti ada gambar mereka berdua tetapi hanya itu sahaja gambar Luna bersama-sama kawan-kawannya.
“Tapi saya rasa mesti mereka tahu tentang Luna.”
“Tapi, mustahil juga sebab kita tak kenal siapa mereka,” kata mamanya. “Sudahlah, kita sambung lain kali. Mama cari kamu tadi sebab nak kejutkan kamu sembahyang Subuh tapi kamu tak ada dalam bilik. Mama ingatkan kamu pun hilang juga. Cepat pergi sembahyang dan lepas tu kita boleh bersarapan pagi. Hari ni papa kena keluar awal sebab ada meeting kat Perak.”
“Hah? Dah pagi?” Jam pada dinding bilik Luna di lihatnya. Hampir tepat jam 6 pagi tetapi dia sendiri tidak menyedarinya.
******
Selepas menunaikan solat Subuh dan bersarapan dengan keluarganya, Lucas berlalu ke biliknya untuk berehat seketika. Mungkin kerana sudah terjaga sepanjang malam tadi menyebabkan dia berasa amat letih. Baru sahaja dia meletakkan kepala pada bantal, dia akhirnya terlena dibuai mimpi.
Pada awalnya, dia hanya bermimpi biasa tetapi lama kelamaan mimpinya bertukar menjadi misteri di mana gambar Luna bersama-sama tiga orang yang tidak dikenalinya itu tergambar-gambar di kepalanya. Seketika kemudian, mimpinya bertukar. Kali ini dia bermimpi dia membaca keratan akhbar berkenaan puluhan remaja yang hilang dalam kejadian letupan misteri dua bulan yang lalu.
Dia membaca satu per satu dan satu persatu gambar yang tertera pada keratan itu. Bagaikan mengimbas kembali apa yang pernah dibacanya selama ini. Tiba-tiba dia dapat mengecam tiga gambar yang sama seperti yang bergambar dengan Luna itu.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah mimpi yang di alami oleh Lucas akan memberi maklumat tentang keberadaan Luna?