Bab 22
Kemudian, keratan akhbar itu terbakar dijilat api.
“Ingat janji kau!” suara Luna bergema.
Lucas terus terjaga daripada mimpinya. Dadanya berombak kencang seperti baru sahaja dia mengalami mimpi yang dahsyat.
“Lucas? Kenapa ni?” Mariam melangkah masuk ke dalam bilik anak lelakinya itu apabila terdengar sesuatu tadi.
“Tak de apa. Cuma mimpi buruk.” Jawab Lucas sambil mengurut dahinya yang terasa sakit. Mungkin kerana dia terjaga dengan mengejut. “Pukul berapa sekarang?” soalnya.
“Dah hampir pukul 12 tengah hari.”
“Hah? Kenapa tak kejut?”
“Lucas, kamu tak tidur sepanjang malam tadi. Kamu penat dan kamu perlu berehat lagipun kamu masih belum pulih lagi.”
“Tapi saya dah okey,” ujar Lucas sambil berlalu bangun dari katilnya. Biarpun dia masih lagi terasa pening dengan bangun secara mengejut tetapi dia cuba gagahi untuk bangun.
“Lucas, mama tahu kamu masih rasa bersalah atas kehilangan Luna tapi jangan paksa diri macam ni.”
“Mama, saya okey. Saya cuma… rindukan matahari.” Dia kemudiannya menyelak langsir biliknya yang tertutup sehingga tiada satu cahaya matahari pun menceroboh masuk ke dalam biliknya.
Sebaik sahaja langsir di selak, berlumba-lumba cahaya matahari masuk ke dalam biliknya. Dia sedikit gembira apabila dapat melihat permandangan di siang hari. Rasanya sejak dia sedar di hospital lagi, dia tidak pernah melihat cahaya matahari menerangi bumi. Tiba-tiba sahaja dia rindu untuk melihat semua itu.
“Lucas!” Mariam bergegas menutup kembali langsir yang diselak oleh Lucas tadi.
“Kenapa?” Belum sempat Lucas menghabiskan ayatnya bertanya, tiba-tiba tubuhnya lemah dan hampir terhempas ke lantai biliknya. Namun, nasib baik mamanya pantas menyambut tubuhnya daripada menghentam lantai. Seketika, dia rasa lemah dan kemudian seluruh kulit pada badannya seakan terbakar!
Tarikh : 5 Mac 2010
Masa : 11.00 pagi
Lokasi : Hospital Kuala Lumpur
“X.P?” soal Mariam sekali lagi dan kemudian memandang suaminya yang kelihatan tenang saja sejak Doktor Kamil memberitahu penyakit yang sedang dihidapi oleh anaknya itu.
“Ya. X.P. Singkatan pada Xeroderma Pigmentosum. Sebenarnya ini pertama kali saya dapat pesakit yang menghidap penyakit ini dan pertama kali juga saya berhadapan dengan pesakit yang berusia awal 20-an mendapat penyakit ini secara tiba-tiba. Penyakit X.P selalunya berlaku disebabkan kecelaruan pada genatik DNA seseorang yang mana pesakit akan terdedah pada bahaya jika terdedah pada sinaran ultraviolet atau cahaya matahari. Dengan kata lain, tubuh anak puan tiada daya tahan terhadap sinaran matahari,” terang Doktor Kamil dengan bahasa yang mudah.
“Jadi, macam mana? Takkan tak de cara untuk sembuh?”
…bersambung
Bab akan datang:
Mampukah Lucas disembuhkan dari penyakitnya itu? Mahukah Puan Mariam memberitahu Lucas tentang penyakitnya itu? Apakah reaksi Lucas?
Share this novel