Get the app for full experience
Bab 33
Setelah habis membaca nota yang ditulis oleh Luna itu, Lucas tersenyum sendirian. Lucu. Masih lagi tidak berubah. Luna memang selalu berfantasi sesuatu kejadian yang pelik-pelik dan kadangkala langsung tidak masuk akal. Dia ingat lagi sewaktu zaman persekolahannya. Dia dan Luna belajar di sekolah yang sama. Rata-rata daripada kawan-kawannya mengenali Luna dan hari-hari ada sahaja cerita tentang Luna yang selalu buat hal di sekolah.
Bukan setakat kawan-kawannya yang mengadu tapi cikgu-cikgu yang sudah masak dengan perangai Luna juga mengadu padanya. Macam-macam dia dengar perangai Luna yang sering menjadi bahan ketawa orang dan ada juga yang kurang senang dengan sikap Luna yang suka datang lambat ke sekolah, buat bising dan banyak lagi.
Tetapi apa yang dia tidak tahan, alasan yang diberi Luna setelah datang lewat ke sekolah. Menurut si pencerita yang juga merupakan kawannya itu, Luna mengatakan bahawa dia tersesat ke dunia lain. Kerana alasan yang bodoh itu, Luna diketawakan di sekolah tetapi gadis itu tetap berlagak selamba seperti tiada apa yang ingin dimalukan.
Gara-gara perangai Luna itu, Lucas pula yang malu. Mujurlah dia sudah tamat sekolah jika tidak, dia tidak tahu di mana hendak letak mukanya. Gara-gara perangai Luna, dia pula yang menanggung malu.
“Hebat betul bakal tunang kau tu.” Dia teringat lagi kata-kata Azim yang juga merupakan rakan sekelasnya di sekolah dahulu. Hubungannya dengan Azim tidaklah begitu rapat tapi dia masih lagi berkawan dengan Azim sehingga sekarang memandangkan Azim belajar di kolej yang sama.
Selepas membaca nota yang ditulis oleh Luna itu, dia sudah dapat gambarkan apa yang berlaku. Mungkin Luna menghilangkan diri sebab ingin mencari dunia lain. Seperti seorang saintis yang percaya akan sesuatu yang tidak wujud. Tanpa disedari dia tersenyum mengetawakan Luna.
Nyawa akan terancam apabila membaca dairi Luna? Lucas sekadar menggeleng. Hebat betul otak Luna sebab dapat fikir helah yang boleh menakut-nakutkan orang untuk membacanya. Siapa yang akan percaya dengan helah begitu.
Namun, dia mengakui. Nota yang ditinggalkan oleh Luna itu sedikit sebanyak membuatkan dia terfikir dua tiga kali. Nada tulisannya bukan nada bergurau. Ini kerana banyak kali Luna bertegas dengan kemungkinan yang berlaku jikalau seseorang membaca dairinya itu.
Jikalau benar dengan membaca dairi Luna akan mengundang maut bagi seseorang itu tetapi kenapa Luna masih menyimpan dairinya itu? Kenapa tidak hapuskan sahaja? Malah meninggalkan nota ugutan seperti ini seolah-olah mahu orang membaca dairinya. Mungkin ini hanyalah helah Luna.
Namun, Lucas tetap bertegas. Walaupun nota itu sedikit menakutkannya tetapi itu tidak bermakna dia menyerah kalah dengan tidak membaca dairi itu. Walau apa pun yang berlaku, dia tetap ingin membacanya biarpun terpaksa menggadaikan nyawanya sendiri.
…bersambung
Bab akan datang:
Benarkah Lucas akan membaca dairi Luna? Apakah isi kandungan dairi tersebut?