Bab 29
Sebaik sahaja dia kembali ke biliknya, Lucas segera menyimpan dairi Luna di dalam lacinya. Buat masa ini, biarlah dia seorang sahaja yang tahu tentang kewujudan dairi Luna. Bukannya dia tidak percaya kepada sesiapa termasuk mamanya tapi dia ingin memastikannya terlebih dahulu. Dia ingin menjadi orang pertama yang tahu apakah yang berlaku pada Luna. Kemudian, apabila tiba masanya nanti, dia akan buka mulut.
“Lucas,” Mariam menyapa anaknya. Satu keluhan berat dilepaskan. Wajahnya penuh kerisauan. “Kamu pergi mana? Puas mama cari.”
“Ada je dalam bilik,” balasnya tanpa teragak-agak.
“Dalam bilik? Tadi mama… ah, sudahlah,” Mariam malas hendak berfikir panjang lagi walaupun dia pasti, dia tidak nampak Lucas berada di dalam bilik tadi. Mungkin dia tidak tengok betul-betul.
“Dah mandi?” tanya Mariam lagi.
Lucas sekadar menggeleng.
“Pergi mandi dulu dan sembahyang dan lepas tu turun makan. Hari ni papa outstation dan mungkin balik esok pagi, jadi kita makan berdua saja.”
“Okey.” Dia berkata panjang. Pintu biliknya ditutup kembali oleh mamanya. Lucas sekali lagi menghela nafas panjang. Nasib baiklah dia sempat menyimpan dairi Luna sebelum mamanya datang.
Laci yang tersimpan dairi Luna tadi dikunci. Walaupun dia pasti, tiada sesiapa pun yang tahu dan inginkan dairi Luna tetapi dia tetap ingin mengunci laci itu. Dengan itu, barulah dia berasa tenang apabila teringatkan dairi Luna.
Tanpa membuang masa Lucas segera berlalu membersihkan diri. Jikalau diikutkan hati, memang dia tidak ingin berganjak dan terus sahaja membaca isi kandungan dairi itu tetapi memandangkan dia mempunyai banyak masa lagi, dia berfikir lebih baik menyempurnakan perkara yang penting dahulu.
******
“Mama terfikir tadi. Mama tahu memang susah kamu nak terima kenyataan tu dan kalau kamu dapat terima pun mungkin suatu hari nanti kamu akan bosan duduk di dalam rumah ni 24 jam. Jadi, mama terfikir, kamu boleh berjalan pada waktu malam berjumpa dengan kawan-kawan untuk hilangkan tension tapi dengan syarat pulang sebelum matahari terbit,” kata Mariam kepada anaknya setelah memikirkan keadaan anaknya itu.
Bagi Mariam, itulah cara terbaik untuk mengelakkan Lucas menghadapi kemurungan kerana penyakit yang dihadapinya. Lagipun dia sudah berbincang dengan suaminya sebelum suaminya bergerak ke tempat kerja. Mujurlah suaminya turut menyokong cadangannya itu.
“Nak jalan malam-malam buat apa?” jawabnya seperti tidak dapat menerima cadangan mamanya itu.
“Bukan ke dulu kamu suka jalan malam-malam?”
“Itu dulu… itu masa ada…” Kata-katanya terhenti. Dia hampir menyebut tentang Katerina kepada mamanya. Mujurlah dia tidak menyebutnya. Jika tidak, satu hal pula hendak berterus-terang dengan mamanya. Dan serta-merta dia teringatkan Katerina.
…bersambung
Bab akan datang:
Katerina, kekasih hati Lucas. Adakah dia masih mahu mencari Katerina?
Share this novel