Bab 8
“Lucas, kau ingat tak janji kau dulu?”
“Yang mana?”
“Janji kau apabila aku tiada,” kata Luna.
“Oh itu.”
Serius. Dia sememangnya tidak ingat tapi dia memang sengaja berkata demikian. Tapi anehnya, kenapa Luna tiba-tiba bertanya tentang perkara itu?
“Eh, kau mesti lapar, bukan? Aku pergi dapatkan makanan untuk kau!” seperti angin, Luna hilang di sebalik pintu dengan pantas.
Beberapa minit seketika, pintu wad yang didudukinya itu dibuka oleh seseorang. Seorang wanita yang amat dikenalinya melangkah masuk ke dalam. Sebaik sahaja wanita itu memandangnya…
“Lucas!” beg plastik yang berisi makanan di dalamnya, diletak terus ke lantai. Tanpa berlengah, wanita itu memeluk anak lelakinya itu. “Lucas, mama tak bermimpi bukan? Kamu memang dah sedar, bukan?”
“Maa… sakit…,” katanya selepas dia hampir kekurangan oksigen kerana dipeluk kuat oleh mamanya.
“Oh, sorry.”
Akhirnya Mariam melepaskan anak kesayangannya. Dia menatap wajah anak lelakinya – lama. Sehinggakan dia sendiri tidak menyedari air matanya mengalir. Dia bersyukur kepada Tuhan yang Maha Esa. Akhirnya, doanya termakbul juga.
“Mama bawa apa tadi?” tanya Lucas.
Sengaja dia ingin mengalih perhatian mamanya. Dia sedar, dia sudah membuat mamanya risau walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku kepadanya sehingga terbaring di wad. Dia ingin bertanya, tetapi mungkin ini bukan masa yang sesuai memandangkan dia berasa amat lapar.
“Oh,” Mariam bergegas mengambil beg plastik yang berisi bekas makanan. “Kamu bernasib baik sebab mama masak makanan yang kamu suka. Sebenarnya memang selalu mama bawa ke sini tapi kamu tak sedar. Tak sangka….”
“Sorry.” Hanya itu sahaja yang mampu diucapnya.
“Kamu tak perlu minta maaf. Benda dah berlaku. Yang penting kamu dah sedar dan semakin sihat,” kata Mariam sambil mengukir senyuman. “Dahlah, kamu mesti laparkan? Kamu nak makan sendiri atau mama yang suapkan?”
“Ma, saya mungkin pesakit tapi bukan baby lagi.” Lucas mengambil sudu dari tangan mamanya. Mariam sekali lagi tersenyum gembira.
“Oh ya, mana Luna? Tadi dia kata nak dapatkan makanan untuk saya,” soal Lucas sebelum dia menjamah sedikit nasi.
“Luna?” senyuman mamanya hilang.
“Emm… dia baru saja pergi tadi. Mama tak terserempak dengan dia ke?”
Mariam menggeleng. “Mungkin kamu silap lihat.”
“Tak. Memang Luna. Dia tak datang dengan mama ke?”
“Lucas.” Mariam memandang anak lelakinya itu. Rasa berat hendak beritahu. “Ada sesuatu yang kamu perlu tahu,” tambahnya lagi.
“Tentang apa?”
“Luna, dia….”
******
“Aku harap kau ‘hilang’ daripada mata aku.” Lucas berkata kepada gadis itu.
“Kalau aku betul-betul ‘hilang’, apa yang kau akan lakukan? Kau akan cari aku?” Gadis itu pula bertanya. Barangkali sengaja ingin menduga reaksi Lucas.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang sebenarnya berlaku kepada Luna? Apakah jawapan Lucas kepada soalan Luna? Mahukah Lucas mencarinya?
Share this novel