Bab 52
Dia berlalu ke barisan rak ke dua dan perlahan-lahan menjenguk tetapi tiada tubuh Sky kelihatan juga. Kemudian, dia pergi ke rak seterusnya dan seterusnya sehinggalah mendapati semua lorong yang terletaknya barisan rak-rak buku itu tiada bayang Sky kelihatan sekalipun.
“Mana dia pergi ni?” kepalanya digaru. Dia betul-betul mati akal. Sepatutnya sudah tiada jalan keluar lagi tapi….
“Cari siapa?” satu suara menyapanya dari belakang membuatkan Luna terkejut dan pantas berpaling. Sky berdiri di hadapannya. Wajahnya tidak nampak seorang orang yang mesra malah dia dengan perlahan-lahan menapak ke hadapan menyebabkan Luna melangkah ke belakang.
“Err… buku,” sememangnya dia tidak pandai berbohong.
Langkah Sky masih mara menyebabkan dia semakin menapak ke belakang sehingga tiada ruang lagi untuknya bergerak. Tubuhnya mati pada dinding manakala kiri dan kanannya adalah rak buku. Tiada lagi jalan keluar untuknya melarikan diri daripada Sky yang semakin mara menghampirinya.
“Cik Luna Lusia,” kata Sky sambil membaca tag nama yang dipakai oleh Luna itu. Kini wajah mereka hanya berjarak sejauh 5 inci sahaja. Luna dapat melihat dengan jelas wajah Sky yang selalu bermain di ruang fikirannya sejak beberapa hari ini. Dan sekarang, wajah itu benar-benar berada di hadapannya.
“Panggil Luna saja,” Luna memberanikan diri berkata-kata.
“Maaf, kau bukan jenis perempuan yang aku suka,” kata Sky sambil tersenyum seolah-olah mentertawakannya. “Jangan bazir masa dengan semua tu,” ujarnya lagi sebelum melangkah pergi.
“Aku tahu nama kau Sky di Antasia,” pantas Luna berkata menyebabkan Sky berhenti melangkah dan berpaling. “Begitu juga dengan Romeo dan Juliet.”
Sky memandangnya dengan tajam. Namun, Luna langsung tidak berasa takut dengan pandangan tajam daripada Sky itu.
“Aku guna nama Princess. Daripada Queen,” Luna memperkenalkan diri.
“Princess?” Sky tersenyum sinis lagi. “Mungkin kau tak tahu tentang peraturan utama Antasia. Dilarang menyebut tentang itu di luar daripada Antasia.”
“Err… sorry.”
“Dan satu lagi, di Antasia mungkin kita saling mengenali tapi di luar kita saling tak mengenali. By the way, nice to meet you, Princess.”
“Tapi….”
Tapi Sky sudah melangkah pergi. Luna tidak boleh berbuat apa-apa. Walau bagaimanapun, dia telah memastikan bahawa lelaki itu adalah Sky yang ditemuinya di Antasia cuma dia tidak menyangka, Sky seorang yang dingin.
Mungkin ianya kebetulan. Mungkin mereka bertiga adalah kawan baik walaupun berlainan kumpulan. Mungkin juga mereka sengaja untuk bersekolah di sini. Tiada siapa tahu apa yang ingin mereka lakukan. Tapi apa yang aku tidak faham, kenapa mereka memilih sekolah ini? Adakah ini hanyalah kebetulan? Atau mungkin ada sesuatu yang mereka sorok.
Sky, Romeo dan Juliet. Persamaan antara mereka masing-masing merupakan bakal ketua Generasi ke-2. Masing-masing hebat di Antasia dan memiliki personaliti yang misteri.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah sifat dingin Sky terhadap Luna akan berubah apabila dia mulai berkenalan dengan Luna?
Share this novel