Bab 30
Sehingga sekarang dia tidak menerima apa-apa mesej daripada Katerina. Ingin menelefon kawan-kawan Katerina yang lain tetapi dia tak ada nombor telefon mereka. Kini, dia buntu.
Bermacam-macam soalan yang ingin ditanyanya kepada Katerina. Benarkah apa yang didengarnya tentang Katerina? Benarkan Katerina itu seorang yang tidak boleh dipercayai seperti kata kawan-kawannya? Benarkah dia sudah termasuk jerat yang Katerina pasang selama ini?
“Lucas, mama tahu kamu masih rasa bersalah lagi atas apa yang berlaku ke atas Luna,” kata mamanya yang mungkin menganggap dia sedang teringatkan Luna. Kalaulah mamanya tahu apa yang sedang difikirkan olehnya mungkin mamanya akan berasa kesal dengan sikapnya itu.
Dia sekadar tersenyum.
“Baiklah, kita tutup kisah tu dan buka kisah lain pula. Mama ada berita baik.”
“Apa dia?”
“Mama akan berhenti kerja.”
“Apa?” terkejut Lucas mendengarnya. Selama ini dia tidak pernah menduga mamanya akan berhenti kerja yang paling disayangi oleh mamanya itu.
“Mama dah bincang dengan papa malam tadi. Mungkin lebih baik mama berhenti kerja dan tumpukan perhatian dalam rumah tangga.”
“Mama berhenti sebab saya?”
“Lucas, setelah apa yang berlaku, mama rasa semuanya salah mama. Jadi, mama fikir, mama tak beri banyak perhatian dalam rumah ni dan asyik bekerja sehingga lupa tanggungjawab seorang isteri dan ibu.”
“Tapi mama bukannya boleh duduk dalam rumah macam ni. Saya kenal mama, mama mesti bosan duduk rumah.”
“Memang betul tapi mama dah buat keputusan. Lagipun sekarang ni mama rasa macam nak buka bisnes sendiri pula. Bisnes yang boleh dijalankan di dalam rumah.”
“Maa….”
“Beri mama peluang untuk jadi ibu sekali lagi,” Mariam berkata dengan penuh perasaan sehingga Lucas tidak dapat berkata apa-apa selain bersetuju dengan pilihan mamanya itu. Kalau itu yang mamanya inginkan, dia tidak akan membantah tapi dia berharap mamanya tidak akan menyesal di kemudian hari.
Ruang makan kembali menjadi sunyi apabila masing-masing mendiamkan diri dan hanya menikmati hidangan yang telah disediakan. Lucas merenung kerusi kosong di hadapannya itu. Selalunya jikalau mereka sekeluarga berkumpul makan, mulut Lunalah yang paling kecoh sekali. Ada sahaja yang dibualkannya menyebabkan keadaan menjadi meriah. Dia ingat lagi, bagaimana dia menyumpah-nyumpah Luna dalam hati supaya berhenti bercakap ketika makan tapi sekarang, dia merindui suara kecoh itu.
Benarlah kata orang, kita membenci orang yang kecoh tapi bila orang yang kecoh itu tiada di sisi, terasa dunia ini menjadi sunyi. Jikalau dia mempunyai kuasa untuk mengundur waktu, dia pasti hargai kewujudan Luna di matanya tapi nasi sudah menjadi bubur. Menyesal pun tidak berguna lagi.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang akan dijumpai oleh Lucas semasa ingin membaca dairi Luna?
Bab 31
Selesai makan malam, Lucas meminta diri untuk masuk ke dalam bilik dengan alasan dia ingin berehat. Mamanya tidak banyak bertanya dan sekadar mengangguk sahaja. Mungkin mamanya tidak ingin menganggunya dan mahunya berehat lagi memandangkan keadaannya masih lagi tidak menentu.
Pintu biliknya dikunci. Dia sememangnya sengaja mengunci biliknya untuk mengelak daripada dikacau oleh sesiapa. Dairi Luna yang dikunci di dalam laci meja belajarnya tadi dikeluarkan. Dia tidak sabar lagi untuk menyelongkar kisah hidup Luna. Mujurlah Luna menulis dairi dan mungkin daripada dairi itu dia boleh memahami Luna yang sebenarnya dan mengetahui apakah yang sebenarnya telah berlaku sehingga Luna hilang.
Tetapi perasaan pelik masih menyelubunginya. Kenapa Luna menyembunyikan dairinya itu di dalam peti besi Princess? Soalan itu hanya Luna sahaja yang boleh menjawabnya dan mungkin dairi di tangannya itu ada jawapan bagi soalannya itu.
Sekeping kertas yang turut dijumpai di atas dairi Luna dan diselitkan di dalam helaian dairi itu sebelum meninggalkan bilik loteng tadi terjatuh sebaik sahaja dia membuka dairi itu. Lucas terus mencapai sekeping kertas yang dilipat menjadi segi empat lebar dan membukanya.
Dahulu, dia ada belajar tentang hormat menghormati. Apa yang perlu dihormati dan kenapa perlu menghormati seseorang itu. Membaca dairi orang tanpa kebenaran empunyanya adalah satu sikap yang perlu dihindarkan dengan kata lain, itu adalah satu satu perbuatan yang tidak menghormati hak peribadi orang lain.
Dia sedar, sekarang dia sedang melakukan satu perbuatan yang salah dengan membaca dairi Luna. Apatah lagi Luna adalah perempuan. Orang kata, jikalau orang perempuan menulis dairi pasti dairinya itu mengandungi satu rahsia besar yang mungkin akan memalukan pemilik dairi itu tetapi ini sahaja jalannya untuk merungkai persoalan yang timbul kini.
“Ah, matlamat aku nak mencari Luna,” tegasnya.
Walaupun Luna tidak memberi kebenaran dan walaupun Luna akan memarahinya, dia tetapi ingin mengetahui sisi kandungan dairi Luna. Mungkin sedikit sebanyak dairi itu boleh membantunya mencari Luna.
Tanpa berfikir panjang, Lucas segera membuka lipatan nota yang ditulis oleh Luna sendiri. Walaupun dia jarang melihat Luna menulis tetapi dia masih cam tulisan Luna yang kemas dan tersusun. Nota ringkas yang ditinggalkan di atas dairi itu tadi, mula dibacanya.
Kepada pembaca
Dengan terleraikan nota ini, ini bermakna Peti Besi Princess juga dibuka oleh seseorang. Syabas diucapkan. Ada juga orang yang prihatin dengan kunci antik yang langsung tiada nilai-nilai seni. Kunci Princess memang aku selalu sangkutkan dileherku tidak kira ke mana aku pergi. Tapi, kali ini, aku membuat keputusan untuk berpisah dengan kunci Princess.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah selanjutnya isi kandungan surat Luna? Mengapakah Luna mengambil keputusan untuk berpisah dengan kunci PRINCESS?
Bab 32
Akanku letak di tempat yang terbuka. Aku tahu, meletakkan kunci Princess yang berharga ini di tempat yang senang ditemui orang agak merbahaya. Tapi bak kata orang, tempat yang bahaya adalah tempat yang paling selamat sekali.
Aku bukannya bodoh. Hanya orang yang terfikir mengenai Peti Besi Princess sahaja yang akan menjumpai nota ini. Dan buat sesiapa yang membaca nota ini, sekali lagi aku ucapkan terima kasih kerana prihatin. Anda memang hebat.
Buat pembaca,
Aku tulis nota ini dan letakkan di atas dairi aku yang penuh dengan rahsia ini. Jadi, anda telah membukanya dan menemui nota ini bersama-sama dengan dairi hidupku. Dan dengan itu, anda akan mengetahui segala-galanya tentang aku, pengalaman hidupku dan yang paling penting rahsia hidupku yang tidak pernah aku kongsikan dengan sesiapapun.
Buat pembaca,
Aku tidak tahu siapa anda. Mungkin anda terjumpa kunci Princess secara tidak sengaja dan mungkin juga anda menemui Peti Besi Princess dan membukanya dengan pahat. Aku langsung tidak kisah. Apa yang penting anda sudah menemui nota ini bersama-sama dengan dairi aku. Dan sudah semestinya anda mahu membaca dairi aku.
Tapi sebelum anda membaca dairi ini, aku mahu menyatakan bahawa nyawa anda akan terancam apabila membacanya. Aku bukan bergurau. Aku hanya mahu melindungi dairi ini daripada jatuh ke tangan orang lain. Jikalau anda rasa aku bergurau, terpulanglah. Dan jikalau anda percaya, sila simpan dairi ini ke tempat asal dan kunci semula dan anak kunci tersebut harus dibuang ke dalam laut. Dan jikalau anda mahu membacanya, itu adalah hak anda. Dairi ini sudah jatuh ke tangan anda dan anda ada hak sama ada hendak membacanya ataupun tidak.
Buat pembaca yang mahu membaca dairi aku,
Aku memang mengalu-alukan tapi anda sudah diberitahu mengenai risiko-risikonya. Nyawa anda akan berada dalam bahaya sebaik sahaja anda membuka dairi aku ini. Apa yang akan berlaku? Lihat sajalah nanti. Jikalau anda mahu hidup lama, sila lupakan niat anda. Aku sekali lagi menegaskan bahawa nyawa anda berada dalam bahaya sebaik sahaja membuka dairi ini. Aku berpaksa buat begini demi melindungi rahsia ini.
Buat pembaca yang tidak mahu membaca dairi ini,
Sila letakkan kembali dairi ini ke dalam Peti Besi Princess dan kuncinya kembali. Buang kunci ini ke laut. Biarlah misteri ini menjadi misteri. Aku tidak mahu melihat sesiapa terkorban demi dairi ini sebab ianya juga memusnahkan diri aku sendiri. Aku telah pilih jalan yang salah dan tiada cara lain untuk kembali melainkan melaluinya juga. Aku minta maaf.
Buat pembaca yang dihormati,
Keputusan berada di tangan anda dan anda berhak menentukannya tetapi inginku tegaskan sekali lagi, aku tidak akan bertanggungjawab jikalau apa-apa berlaku pada anda. Tidak kira siapa anda. Fikirkanlah.
Salam sayang dari,
LUNA LUSIA.
…bersambung
Bab akan datang:
Apakah keputusan Lucas setelah membaca surat Luna? Adakah dia mahu meneruskan membaca dairi Luna ataupun menyimpan kembali dairi tersebut di dalam peti besi PRINCESS?
Share this novel