Get the app for full experience
Bab 51
“Emm… itu aku tak pernah nampak. Mungkin pelajar baru tapi aku akan siasat,” kata Hazirah sebelum mengorak langkah untuk membeli makanan.
Luna yang masih terkejut dengan kehadiran Sky di sekolah itu sekadar mengekori Hazirah. Dia tidak pasti dengan apa yang berlaku. Jikalau Sky seorang sahaja yang berpindah ke sekolahnya mungkin dia dapat terima tapi bagaimana pula dengan kewujudan Romeo dan Juliet yang dikatakan sudah lama berada di sekolahnya itu? Itu bukan satu kebetulan.
Dia kemudiannya memandang seorang demi seorang daripada mereka bertiga. Romeo, Juliet dan Sky. Tiga orang yang paling hebat di Antasia berada di sekolahnya – berpura-pura tidak mengenali antara satu sama lain.
Luna yakin. Pasti ada sesuatu yang tidak kena!
Dan apa yang paling ketara sekali, bagaimana dan sejak bila Romeo dan Juliet wujud di dalam sekolahnya itu? Luna pasti, mereka bertiga datang ke sini dengan sengaja. Tapi kenapa? Bukankah mereka bertiga berada di pihak yang berlainan?
“Hanya ada satu cara sahaja. Siasat apa yang mereka buat di sini.”
Sebentar kemudian, mereka bertiga kelihatan meninggalkan kantin sekolah. Tanpa berfikir panjang lagi, Luna segera mengekori mereka bertiga senyap-senyap di belakang. Sebaik sahaja melewati sebuah kelas, mereka bertiga hilang daripada pandangan matanya. Luna mencari kelibat mereka bertiga tetapi mereka bertiga memang tiada di sekitar itu.
Perasaan pelik semakin menyelubunginya fikirannya. Mustahil mereka bertiga hilang begitu sahaja. Sini adalah dunia nyata dan bukannya Antasia yang boleh buat apa sahaja yang mustahil dibuat. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Lady Sofea. Mereka bertiga bukan calang-calang orang.
Walaupun gagal menjejaki mereka bertiga, tetapi Luna mempunyai satu kesimpulan yang pasti. Mereka adalah Romeo, Juliet dan Sky yang merupakan ahli Antasia. Tapi, apa yang mereka bertiga buat di sini, dia kurang pasti. Malah, apa yang menjadi persoalan sekarang adalah kenapa mereka bersama?
Suatu hari nanti, dia pasti akan memperoleh jawapannya.
Sejak tadi Luna tidak putus-putus memandang Sky yang kelihatan sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah di dalam perpustakaan yang sunyi itu setelah tamat sesi pagi persekolahan. Dia tahu, jikalau dia asyik memandang Sky tanpa berpura-pura buat kerja sekolah, Sky pasti akan rasa tidak senang tetapi setelah hampir dua jam berlalu, Sky masih asyik membuat kerja sekolahnya tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.
Tidak lama kemudian, Sky bangun meninggalkan tempat duduknya dan berlalu menghampiri rak-rak buku sebelum tubuhnya hilang di sebalik rak buku tersebut. Luna yang tidak ingin melepaskan sesaat, bergerak senyap mengekori Sky. Luna yang berselindung di tepi rak buku yang berderet itu menjenguk mencari kelibat Sky tetapi tiada seorang manusia pun di situ.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Sky perasan bahawa Luna sering memerhati gerak-gerinya?