Get the app for full experience
Bab 11
“Mama tipu! Saya nampak Luna tadi. Suruh dia keluar sekarang!” tengking Lucas sehingga Mariam sendiri takut untuk melihatnya.
“Luna tak ada, sayang. Mama tak tipu,” Mariam memeluk Lucas dan cuba untuk menenangkan anaknya itu.
“Saya tak percaya!” Seperti dirasuk sesuatu, Lucas menolak mamanya sehingga mamanya terjatuh ke lantai. Dia seperti orang gila meluru keluar dari wadnya. Panggilan mamanya langsung tidak diendahnya.
“Lucas,” satu suara halus memanggilnya. Lucas pantas berpaling dan melihat Luna sedang melambai-lambai ke arahnya.
“Aku tahu kau masih hidup,” Lucas berlari anak menghampiri Luna tetapi sebaik sahaja dia tiba di tempat Luna berdiri tadi, Luna terus hilang daripada pandangan matanya. Seketika kemudian, dia melihat kelibat Luna melangkah masuk ke dalam lif. Sempat dia melihat Luna melambai-lambai tangan ke arahnya sebelum pintu lif tertutup rapat.
Dia segera menghampiri lif tersebut dan melihat nombor yang tertera di atas lif tersebut. Ia berhenti pada tingkat G. Dia terus menekan butang lif. Sebuah lif di sebelahnya terbuka. Sebaik sahaja melangkah ke dalam, butang G ditekannya dan pintu lif tertutup rapat.
Pergerakan lif itu dirasakan terlalu lambat sehinggakan dia ingin memecahkan pintu lif itu. Akhirnya dia tiba di Ground floor. Tanpa berlengah lagi, dia terus melangkah keluar dari lif. Matanya tidak perlu bekerja keras mencari kelibat Luna kerana Luna sudah menantinya di lobi yang sesak dengan orang ramai. Seperti tadi, Luna melambai-lambai ke arahnya.
Tetapi sekali lagi, Luna hilang tatkala dia menghampirinya. Dia tidak peduli dari mana Luna mempelajari silap mata itu. Apa yang dia inginkan sekarang adalah Luna! Luna kemudian dilihat melangkah keluar dari bangunan hospital itu. Tanpa membuang masa, Lucas segera mengejar Luna.
Namun, baru beberapa melangkah, tubuhnya tiba-tiba hilang imbangan lantas tersembam ke tanah. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku tetapi dia dapat rasakan seolah-olah kulitnya terbakar. Derap tapak kaki kedengaran berlari menuju ke arahnya dan pada waktu yang sama di turut terdengar suara tangisan mamanya yang memanggil namanya. Matanya semakin layu dan hanya menunggu masa untuk ditutup kembali. Dari situ, dia dapat melihat Luna berdiri tidak jauh daripadanya sambil mengukir senyuman.
Tidak lama selepas itu, kaki Luna melangkah pergi tanpa memijak bumi dan menghala ke arah kolam air pancut yang terletak di tengah-tengah perkarangan hospital. Dia yakin itu bukan silap mata. Dia benar-benar melihatnya sebelum kelibat Luna hilang di sebalik kolam air itu.
“Ingat janji kau!” suara itu bergema di telinga Lucas sebelum dunianya kembali gelap sekali lagi.
…bersambung
Bab akan datang:
Benarkah Luna sudah mati? Adakah Lucas hanya berimaginasi?