Chapter 57

Fantasy Completed 9131

Bab 57

Sebaik sahaja dia mengangkat kepalanya yang sejak tadi berbantalkan lengan di atas meja, wajah bengis Puan Rubiah, guru Matematik kelasnya muncul secara mengejut di hadapan mejanya. Hampir sesak nafas Luna apabila melihat wajah bengis itu berdiri hanya kurang lima inci sahaja daripada tempat duduknya.

Pandangan Puan Rubiah seperti ada kuasa sakti yang menyebabkan Luna langsung tidak bergerak daripada duduknya. Dia tahu, dia tidak dapat lari lagi daripada penangan Puan Rubiah nanti. Entah bagaimana dia boleh tertidur di kelas. Malah apa yang membuatnya tidak puas hati lagi, dia tidur semasa kelas Puan Rubiah yang selama ini terkenal dengan sikap kejamnya menyeksa otak pelajar-pelajar kelasnya yang hampir dikatakan semua mengalami sindrom alergi pada nombor.

“Saya nak awak pergi ke tandas sekarang dan cuci muka tu!” Puan Rubiah berkata dengan suara tingginya.

Tanpa berlengah lagi, Luna segera berlari lintang pukang keluar daripada pintu belakangnya menuju ke tandas. Dia berlari sekuat-kuatnya seperti Puan Rubiah sedang mengejarnya dari belakang. Kemudian, barulah dia tersedar, bahawa dia berlari pada arah yang salah. Bukan arah menuju ke tandas perempuan.

Nak tak nak, Luna terpaksa berjalan berpatah balik dan melalui laluan yang betul untuk ke tandas perempuan yang terletak di hujung bangunan kelasnya tadi. Tiba-tiba, baru sahaja dia ingin melangkah masuk ke dalam tandas, dia terdengar suara orang sedang berbincang di tepi bangunan.

“… kita semakin hampir…,” kata suara itu kepada seseorang.

“Tapi, ada satu masalah,” balas pula satu lagi suara. Suaranya seperti pernah dia dengari tetapi Luna tidak pasti siapakah orangnya.

“Budak dari Queen tu?” tanya seorang lagi dengan menyebut nama Queen.

Dengar sahaja nama Queen disebut. Luna terus bergerak perlahan sambil membuka telinganya besar-besar supaya dapat mendengarnya dengan terang. Dia yakin, mereka adalah Sky, Romeo dan Juliet. Selain mereka tiada siapa lagi yang tahu tentang Queen. Dan mereka sekarang tengah bercakap seseorang daripada Queen. Hanya dia sahaja budak dari Queen di sekolahnya itu.

“Dia masih mentah lagi,” kedengaran suara Juliet bersuara.

“Dia mungkin masih mentah tapi dia bukan bodoh,” suara Sky berkata dengan tegas. “Dia akan jadi penghalang apa yang kita dah usahakan.”

“Hanya ada satu cara sahaja untuk tutup mulutnya,” Romeo pula menjawab dengan seribu pertanyaan. Entah apa yang sedang mereka bualkan sekarang, tetapi apa yang pasti mereka bertiga menganggap dia sebagai penghalang utama. Bunyinya seperti serius. Mungkin ada sesuatu yang sedang diusahakan oleh mereka bertiga.

“Maksud kau hapuskan dia?” teka Juliet.

Hapus? Terperanjat Luna mendengarnya. Dia tidak pasti sama ada mereka sedang bergurau atau tidak tetapi dia dapat membaca apakah yang sedang dibincangkan oleh mereka bertiga.

...bersambung

Bab akan datang:
Sky, Romeo dan Juliet merancang untuk menghapuskan siapa? Apakah yang dibincangkan sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience