Get the app for full experience
Bab 6
“Assalamualaikum puan,” suara garau itu menyapa telinga Mariam lantas membuatkan jantungnya berdegup kencang.
“Wa'alaikumsalam,” sambut Mariam dengan tenang walaupun dia pasti tentu ada perkara buruk yang menimpa anaknya atau Luna.
Suara garau itu sememangnya dapat diteka. Sudah tentu panggilan itu daripada pihak polis. Entah apa pula yang telah dilakukan oleh anak lelakinya itu. Memandu dalam keadaan mabuk? Hisy, sepanjang dia mengenali anaknya, Lucas tidak pernah pulang dalam keadaan mabuk meskipun sering keluar malam. Malah minum air bergas pun jarang sekali.
Kemalangan?
Itu sahaja yang difikirnya sekarang.
“Maaf kalau saya menganggu. Saya Inspektor Dahlan. Ini rumah Lucas Shah Putera?” suara garau itu bertanya dengan nada formal.
“Ya. Saya ibunya. Kenapa dengan anak saya?”
“Puan, anak puan sekarang berada di hospital...” Hanya itu yang didengarnya.
Butiran lain yang diberitahu oleh inspektor itu langsung tidak boleh dicernakan oleh otaknya lagi. Mujurlah suaminya ada di sebelahnya. Suaminya yang menyedari akan perubahannya itu terus mengambil gagang telefon daripada tangannya. Dunia Mariam seakan gelap tetapi dia pantas sedar. Dia tidak boleh rebah sekarang. Dia perlu ke hospital secepat mungkin.
******
“Sabarlah,” Sudah beberapa kali Tuan Alias mengulangi ayat itu. Sejak dari tadi, keadaan isterinya tidak menentu. Dia yang sedang memandu tidak senang dengan keadaan isterinya yang asyik berfikir yang bukan-bukan. “Mungkin cedera ringan saja. Awak janganlah risau.”
“Mestilah saya risau. Kalau dah kena hantar ke hospital tu mestilah teruk. Awak boleh drive laju sikit tak?” Nada suaranya hampir tinggi.
“Ini pun dah cukup laju. Kalau laju lagi, kita pula yang kemalangan. Tak dapat nak jumpa anak awak tu,” balas Tuan Alias.
Dia hanya menggeleng melihat reaksi isterinya. Lalu dia segera membuka radio. Mungkin itu dapat membantu meredakan perasaan isterinya yang sedang dilanda kerisauan.
“Ini berita baru yang kami terima. Hampir seribu pengunjung pusat membeli belah Antasia meninggal dunia secara mengejut.”
Sebaik sahaja mereka mendengar berita itu, segera Mariam meninggikan volume. “... orang awam yang berada tidak beberapa jauh dari situ berkata mereka melihat satu cahaya merah yang terang menyelubungi bangunan Antasia. Kejadian aneh itu berlaku selama kurang lima minit. Selepas kejadian aneh itu, kami difahamkan terdapat gangguan elektrik dan telekomunikasi di sekitar kawasan tersebut. Pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian telah mengesahkan hampir ke semua pengunjung pusat beli-belah itu telah meninggal dunia secara mengejut.”
“Lucas! Luna!”
…bersambung
Bab akan datang:
Bagaimanakah keadaan Lucas?