Get the app for full experience
Bab 20
Selepas mendapati, tiada apa-apa yang boleh dibuat rujukan dalam misi mencari rakan-rakan Luna Lusia, dia kemudiannya beralih ke rak buku yang terletak bersebelahan dengan meja tulis.
Kebanyakan yang menghuni pada rak itu adalah buku-buku rujukan, komik dan beberapa buah novel cinta dan beberapa buah album.
Lucas akhirnya mengambil album gambar Luna sebaik sahaja terfikir kemungkinan Luna ada menyimpan gambar-gambar kawan-kawannya yang lain yang boleh dibuat sebagai klue seterusnya. Helaian demi helaian gambar diselak. Kebanyakannya adalah gambar Luna ketika kecil bersama-sama arwah kedua ibu bapa Luna yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Setelah habis satu album gambar diselak, dia meneruskan melihat album yang seterusnya. Album kali ini penuh dengan gambarnya ketika remaja tetapi anehnya, semua gambar itu ditangkap oleh Luna sendiri. Seperti gambar syok sendiri. Tiada langsung gambar-gambar Luna bersama kawan-kawan.
Kemudian, pandangannya tertumpu pada sekeping gambar pada akhir helaian album tersebut. Satu-satunya gambar Luna bersama orang lain. Kelihatan, Luna yang duduk di sebuah kerusi sambil dikelilingi oleh tiga orang yang asing baginya. Mereka terdiri daripada seorang perempuan dan dua orang lelaki.
“Lucas?” Pintu bilik Luna dibuka oleh Mariam.
“Huh, mama,” Lucas mengurut dadanya yang hampir gugur jantungnya apabila di sapa begitu.
“Kamu buat apa kat sini?” tanya Mariam sambil mendekati anak lelakinya itu.
“Tak ada apa cuma saja je nak cari apa-apa yang boleh membantu saya kenali Luna dengan lebih dekat lagi,” jawabnya. “Saya tahu mungkin dah terlambat tapi sekurang-kurangnya saya nak tahu dia hidup macam mana selama ni? Gembirakah?”
“Sebenarnya mama tak suka jawab soalan tu tapi mama perlu berterus terang. Beberapa hari sebelum Luna ditakdirkan pergi, dia lebih banyak mendiamkan diri. Mama nak tanya sama ada kamu berdua ada bergaduh ke tapi urusan kerja membuatkan mama alpa tentang masalah tu. Sepanjang hari, selepas pulang dari sekolah, dia banyak menyembunyikan diri dalam bilik. Malam pula, mama tak tahu sama ada dia ada makan atau tidak sebab mama selalu balik lewat. Sebab tulah mama suruh kamu ajak dia keluar hari tu dan tak sangka pula….”
“Saya ada bercakap kasar dengannya. Mungkin sebab tulah dia asyik bermuram.” Lucas merasai apa yang berlaku ke atas Luna selama ini adalah berpunca daripadanya. Oleh kerana dia sangat membenci kehadiran Luna, dia menyimbah segala kebenciannya itu kepada Luna tanpa berselindung lagi. Mungkin sebab itulah Luna mula tawar hati untuk meneruskan persahabatan dengannya. Mungkin sebab itu jugalah senyuman Luna hilang begitu saja.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Puan Mariam akan menyalahkan Lucas dan terus membiarkan Lucas berada dalam keadaan bersalah? Siapakah lelaki yang bersama Luna di dalam gambar tersebut?