Get the app for full experience
Bab 60
Auntie Mariam yang sedia menantinya di bawah menghadiahkan senyuman manis. Mungkin gembira apabila melihatnya turun dengan wajah yang ceria. Sempat Luna berbual-bual dengan Auntie Mariam seperti biasa sebelum Lucas menghidupkan enjin kereta di luar.
“Hati-hati tau, jangan balik lambat sangat.” pesan Auntie Mariam kepada mereka berdua dan terutamanya kepada Lucas sebelum kereta yang dipandu oleh Lucas itu bergerak laju keluar daripada perkarangan rumah yang didiaminya itu.
“Err… Lucas, kita nak pergi mana?” Soal Luna setelah lama mereka berdua mendiamkan diri. Dia yang sememangnya tidak selesa dengan keadaan sunyi, terpaksa mengalah dan bertanya kepada Lucas.
Lucas masih senyap. Langsung tidak menjawab soalannya apabila Luna bertanya berkali-kali. Malah apa yang membuat Luna takut adalah Lucas memandu dengan kelajuan yang merbahaya. Tidak seperti biasa. Dia tahu, dia bukan seorang yang bodoh. Itulah perangai Lucas yang sebenar apabila mereka berdua bersama. Dingin.
“Lajunya. Kau nak kejar apa ni?” Luna bertanya lagi dengan nada biasa.
Dia tidak tahu bagaimana hendak berkomunikasi dengan Lucas sebenarnya, walaupun dia sudah lama mengenali Lucas. Jikalau ada sesuatu yang membuatkan Lucas naik angin, memang payah untuk redakan angin kemarahannya itu. Bersiap sedialah untuk kena maki hamun. Itu adalah salah satu ‘penyakit’ Lucas yang paling dibencinya.
“Boleh tak kau diam?” Lucas menengking serentak dengan mengambil laluan ke sebelah kiri jalan sebelum memberhentikan kereta dengan mengejut di bahu jalan. Sebuah kereta yang berada di lorong kiri yang bergerak laju tadi membunyikan hon panjang apabila kereta yang dipandu Lucas tiba-tiba menghalang laluannya.
Luna terdiam. Aneh. Dia tidak cemas seperti selalu. Malah, jantungnya juga berdenyut secara normal walaupun sedikit sahaja tadi, dia mungkin akan dirempuh oleh kereta tadi. Dia juga tidak berpeluh apatah lagi berasa bulu romanya menegak tetapi sebaliknya memandang Lucas di sebelahnya. Dia sendiri tidak pasti keadaannya sekarang. Dia tidak marah ataupun geram dengan tindakan Lucas yang boleh membahayakannya dia dan nyawa orang lain.
“Kenapa ni?” Luna bertanya.
“Kenapa? Kau masih tanya kenapa?” Lucas bersuara tetapi dengan nada yang kasar. “Kau tahu tak, apa yang kau buat ni menyusahkan orang? Kau tahu tak yang orang lain juga ada banyak masalah nak difikir dan tak ada masa nak fikir masalah kau?”
“Tapi aku tak buat masalah,” jawab Luna teragak-agak. Jika boleh, dia ingin meredakan kemarahan Lucas.
“Tak buat masalah kau cakap? Kau tahu tak, kau kurung diri dalam bilik, tak makan dan tak minum tu kau kata tak buat masalah? Hey, dah banyak kalilah kau buat masalah macam ni. Bila ada masalah sikit pun nak kurung dalam bilik.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Lucas mengesyaki sesuatu melalui tingkah laku Luna yang sering terkurung dalam bilik sejak kebelakangan ini?