Bab 55
Keempat, tidak dibenarkan membuat uji kaji atau kajian berkenaan dengan Dunia Anatasia untuk kepentingan peribadi ataupun disebarkan kepada orang awam di luar Dunia Antasia. Kelima, segala keputusan yang dibuat oleh Admin adalah muktamad.
Walaupun dia bukanlah seorang yang suka mengikut peraturan dan sering melanggar peraturan sekolah tetapi dia tidak pernah terfikir untuk melanggar peraturan Antasia. Ini kerana dia ingin berada lama di Antasia. Tidak tidak ingin disingkirkan daripada Antasia yang bagaikan rumah keduanya kini.
Tarikh : 6 April 2008
Masa : 8.00 malam
Lokasi : Pintu masuk Dunia Antasia
“Kenapa ni?” sapa Luna kepada Darling setelah mendapati ramai ahli Antasia berkumpul di laluan masuk utama ke Dunia Antasia iaitu melalui lif yang hanya boleh dilihat oleh ahli Antasia sahaja.
Semasa Luna melangkah masuk ke pusat beli-belah, dia dapat melihat banyak ahli Antasia berkeliaran di sekitar tempat itu. Selalunya dia jarang melihat mereka berjalan-jalan di sekitar pasar raya itu kerana tidak mahu menonjolkan diri dengan berkumpul beramai-ramai yang boleh membuatkan mereka mendedahkan aktiviti dan Dunia Antasia kepada orang luar.
Kebanyakan mereka seperti hidup di dua alam yang berbeza. Di dunia nyata mereka lebih suka berdiam diri tetapi di dalam sana, personaliti mereka jauh bertentangan.
“Pintu masuk ada masalah,” kata Darling sambil berbisik di telinga Luna.
“Kenapa boleh jadi macam ni?” soal Luna.
“Dengar kata ada orang sabotaj,” bisik Darling lagi.
“Sabotaj?” Luna tidak mengerti.
“Entahlah,” balas Darling lagi tidak dapat memberi jawapan yang tepat.
Kemudian handsetnya berbunyi menandakan ada satu mesej masuk. Begitu juga dengan telefon bimbit Darling berbunyi tidak lama kemudian. Mereka berdua menyemak mesej yang diterima.
Kepada semua ahli Antasia,
Semua perjumpaan dibatalkan – Admin Antasia.
Darling dan Luna saling berpandangan. Selepas membaca mesej yang dihantar oleh pihak Admin, masing-masing faham apa yang dimaksudkan. Pintu laluan utama tidak boleh digunakan buat sementara waktu ini dan mereka semua perlu beredar untuk mengelakkan timbulnya pelbagai reaksi orang awam yang melihat sekumpulan remaja berdiri di kaki lima seperti menunggu sesuatu.
Baru beberapa saat mereka menerima mesej, rata-rata yang berkumpul di situ mula mengangkat kaki beredar daripada situ. Darling turut meminta diri dengan memberi isyarat mata kepada Luna. Kini tinggal dia keseorangan di situ. Hari ini, pasti bosan apabila dia tidak dapat masuk ke dunia yang boleh membuatnya ‘hidup’.
Baru sahaja Luna ingin beredar pergi, dia terpandang kelibat Sky, Romeo dan Juliet yang berdiri di tingkat atas sekali merenung ke bawah dan apabila mereka menyedari Luna perasan akan kehadiran mereka, masing-masing mula mengorak langkah berlalu menghala ke arah yang berlainan.
...bersambung
Bab akan datang:
Siapa punya angkara yang menyebabkan pintu masuk bermasalah sehingga terpaksa dibatalkan sebarang perjumpaan?
Share this novel