Bab 26
“Mama, betul kata mereka.”
“Mmm?”
“Semuanya bukan kebetulan. Saya masih hidup sebab Luna.”
“Apa maksud kamu?”
Lucas menerangkan segalanya kepada mamanya tentang mesej Luna yang menyelamatkannya.
“…tapi, apa yang saya tak faham adalah mesej terakhir daripadanya. Terima kasih dan selamat tinggal. Itu mesej terakhirnya.”
“Mama dah periksa telefon bimbit Luna dan kamu tapi….”
“Itu yang saya tak faham. Saya tak ada buang mesej tu. Selepas letupan tu, saya terus tak sedarkan diri dan tak sempat nak buat apa-apa. Sepatutnya mesej tu masih ada dalam inbox.”
“Kenapa kamu tak beritahu polis tadi?”
“Kalau saya beritahu, mereka mesti syak Luna yang bukan-bukan sebab mesej Luna tu seperti tahu apa yang akan berlaku. Lagipun, Luna hilang dalam kejadian tu dan saya takut….”
“Pihak polis akan syak Luna terlibat dalam kematian beratus-ratus orang tu?” teka Mariam yang seakan dapat meneka apa yang sedang difikir oleh anaknya sekarang.
Lucas mengangguk.
“Tapi Luna… Luna takkan buat perkara macam tu. Mama tak percaya dia terlibat dalam letupan tu lagipun Luna tu….”
“Hanyalah Luna,” pantas Lucas memotong kata mamanya. Dia tahu apa yang cuba disampaikan oleh mamanya. Luna hanyalah Luna. Seorang gadis remaja yang penakut dengan lipas, lemah dan langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seorang pengganas.
“Walaupun hubungan saya dan Luna tak baik tapi saya pun percaya Luna takkan buat perkara macam tu. Jangan risau, saya akan cari jawapannya sebelum pihak polis mengesyaki Luna.”
“Luna mesti gembira jikalau dia dengar apa yang kamu kata ni.”
Lucas sekadar tersenyum kelat.
Tarikh : 12 Mac 2010
Masa : 3:15 petang
Lokasi : Bilik Luna Lusia
Tunggang-langgang bilik Luna diselongkar oleh Lucas. Dia berharap Luna meninggalkan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai jejak supaya dia boleh merungkai segala rahsia yang menyelubunginya pada ketika itu. Pada ketika ini, perasannya kuat mengatakan bahawa Luna masih hidup lagi dan dia ingin mencari Luna bukan kerana ingin menebus kesalahannya tetapi kerana dia percaya pada Luna yang tidak akan terlibat dalam kegiatan yang ganas seperti itu.
Sekarang, dia hanya perlu mencari jawapannya. Siapa Luna? Apa yang Luna sudah buat selama ini? Itu antara soalan-soalan yang tiada jawapan yang pasti dan dia bernekad untuk menyelongkarnya.
Setelah menyelongkar separuh daripada barang-barang di dalam bilik Luna, tiada satu bahan atau barangan pun yang dapat merungkai segala persoalan itu. Bilik Luna lebih kurang seperti biliknya. Tidak banyak perkara yang dirahsiakan dengan kata lain, tiada rahsia yang perlu disembunyikan. Semua barang-barang yang berada di dalam bilik Luna digeledahnya tetapi semuanya barangan normal bagi seorang perempuan seperti Luna. Di meja mekap, penuh dengan krim-krim muka, mekap dan beberapa barangan lain seperti gelang, cincin dan rantai yang disimpan kemas di dalam laci.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Lucas akan menjumpai sesuatu di dalam bilik Luna?
Share this novel