Get the app for full experience
Bab 34
THE SECRET OF MY WORLD
Dia membaca sebaris perkataan yang ditulis oleh Luna sendiri. Kemudian, dia teringat mimpinya beberapa hari yang lalu. Itulah yang dibacanya sebaik membuka dairi Luna. Tidak mungkin ianya adalah kebetulan. Lagipun, selama ini dia langsung tidak tahu Luna mempunyai sebuah dairi dan dia juga tidak pernah melihat Luna menulis dairi. Malah, hari ini pertama kali dia melihat dairi Luna ini.
Tanpa mempedulikan persoalan yang timbul, Lucas segera membacanya.
Luna Lusia. Itu nama aku dan sekarang anda sedang membaca dairi aku…
Beberapa tahun dahulu, aku inginkan sebuah dunia yang dicipta oleh aku sendiri. Aku kuat berangan. Aku selalu berangan aku berada di sebuah dunia yang hanya aku sahaja boleh mengawalnya. Aku juga selalu berangan menjadi seorang puteri yang mana orang-orang di sekeliling aku takut dengan aku. Aku inginkan sebuah dunia seperti itu dan yang penting, aku ingin mengawal dunia itu.
Itu dahulu. Apabila sudah meningkat dewasa, aku tahu semua itu tidak akan menjadi kenyataan. Duduk di dunia ini, bergantung pada nasib dan nasib aku... malang dan malang. Kematian ibu bapa yang tercinta dalam satu kemalangan ngeri membuatkan aku semakin membenci dunia ini. Aku keseorangan. Aku kesepian dan juga kesunyian. Aku tahu, mereka (Auntie Mariam dan Uncle Alias) sangat baik dengan aku. Akan tetapi, aku masih lagi keseorangan.
Sebab itulah aku wujudkan dairi ini. Sebab aku tak boleh meluahkan kepada sesiapa. Aku tiada sesiapa yang sanggup mendengar luahan hati aku. Ini dairi kehidupan aku. Setiap detik yang aku lalui berada di sini.
Akan tetapi, aku masih berharap… aku dapat ‘masuk’ ke satu dunia yang aku idam-idamkan selama ini…
Luna Lusia
24 Januari; 2.00 pagi
Sehelai muka surat pengenalan telah habis dibacanya. Lucas sekadar tersenyum. Seperti dijangkaan, Luna masih lagi suka berangan-angan untuk pergi ke dunia yang diidam-idamkannya.
Melalui dairi ini, tahulah dia bahawa diari ini sudah wujud pada 24 Januari tetapi Luna langsung tidak menyatakan tahun diari ini wujud. Mungkin selepas ibu bapa Luna meninggal dunia tiga tahun yang lalu.
Kemudian, dia menyelak ke helaian seterusnya. Penuh satu muka surat dengan tulisan Luna yang kecil itu. Walaupun matanya sudah penat, akan tetapi dia cuba menahan diri daripada tidur. Dia membaca helaian itu dengan perlahan…
Nama aku Luna Lusia. Kenapa Luna Lusia? Entahlah. Tanyalah arwah papa dan mama. Mereka yang letak nama aku Luna Lusia. Aku pun pernah bertanya pada mereka tapi mereka hanya menjawab ‘Ianya adalah nama yang unik’. Mama memang suka dengan nama Luna Lusia sejak mama kecil lagi dan berhasrat suatu hari nanti dia ingin menamakan anaknya dengan nama itu.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Luna meluahkan perasaannya mengenai Lucas di dalam dairinya? Mengapakah Luna dan Lucas bertunang?