Get the app for full experience
Bab 97
Bukannya Luna tidak berani tampil untuk membantu polis tetapi apakah pihak polis akan percaya cakapnya nanti? Rissa dibunuh oleh Suria sebab kalah dalam permainan yang dianjukan Queen. – Queen pula adalah sebuah Dimensi di Dunia Antasia. Sebuah Dunia yang amat kejam dan berbahaya.
Mungkin selepas Luna menolong memberikan maklumat itu, dia akan dimasukkan ke dalam Hospital Tanjung Rambutan dan dituduh menghidapi sakit gila yang kritikal.
Tiada siapa pun yang akan percaya.
Jikalau pihak polis percaya pun, mereka tidak boleh berbuat apa-apa sebab mereka tidak boleh masuk ke dalam dunia Antasia untuk memberkas Suria atau lebih teruk lagi, pihak Admin sendiri akan bertindak membunuh sesiapa sahaja yang boleh mendedahkan Dunia Antasia kepada umum.
Jadi, lebih baik dia menyembunyikan diri dan biarlah pihak polis sendiri mencungkil rahsia ini dengan sendiri. Lagipun perjuangannya masih belum selesai. Dia bernekad untuk lakukan sesuatu sebelum lebih ramai lagi yang menjadi mangsa.
Sekarang, barulah Luna memahami kenapa Sky, Romeo dan Juliet mahu melenyapkan Dunia Antasia ini. Mungkin, mereka bertiga sudah melihat ahli-ahli Antasia sendiri menggunakan dunia itu untuk tujuan keseronokkan dengan menganggap nyawa itu adalah sesuatu yang murah dan tidak berharga langsung.
Mereka begitu taksub dengan ‘kuasa’ yang mereka miliki di dalam Dunia Antasia. Mereka sering beradu tenaga dalam pertandingan yang ganas itu. Mereka juga seringkali menganggap Dunia Antasia hanyalah pentas permainan namun, tidak ramai yang sedar bahawa satu kesilapan yang dilakukan oleh ahli Antasia tidak kira di dalam Antasia ataupun di luar Dunia Antasia, mereka tetap akan dihukum. Sebagai hukuman, mereka mempunyai dua pilihan. Pertama, minum air mineral yang sudah dicampur bahan yang berfungsi mencuci otak atau mati!
Jika memilih minum minuman, seseorang itu akan hilang memori sahaja dan jika pilih mati, dengan serta merta seseorang itu akan dibunuh dengan kejam. Itulah yang berlaku pada Rissa. Walaupun Rissa tidak memilih untuk mati tetapi dia sudah memilih untuk tidak meminum air itu dan tidak mahu ingatannya hilang begitu sahaja. Dengan itu, secara automatik, Rissa memilih jalan mati.
Tetapi, apa yang dia tidak faham, bagaimana pula dengan seseorang yang pilih untuk hilang ingatan? Adakah mereka akan hilang ingatan sampai bila-bila? Bagaimana pula kalau suatu hari nanti mereka akan ingat kembali dan melaporkannya kepada polis? Soalan itu masih lagi bermain-main di fikiran Luna dan Luna sendiri tidak dapat mencari jawapannya. Dia hanya perlu tunggu dan lihat sahaja.
Tarikh : 19 September 2008
Masa : 10.30 pagi
Lokasi : SMK Sri Merdeka
Luna yang sedang menikmati bihun sup panas itu asyik memerhati ke arah Darling yang turut menikmati makanan di kantin sekolah.