Chapter 15

Fantasy Completed 9131

Bab 15

Walaupun dia tidak suka dengan idea Luna itu tetapi selepas gambar Luna menjadi ‘penghuni’ biliknya, mamanya lebih mempercayainya. Malah, apa yang melucukannya lagi, mamanya mula menganggap dia sudah boleh menerima kehadiran Luna dalam rumah itu.

Tapi hari ini, gambar Luna tiada. Malah bukan sahaja di biliknya sahaja, frame gambar keluarga yang terdapat Luna yang digantung di ruang tamu rumahnya juga sudah ditukar kepada frame lukisan. Mungkinkah ini arahan mamanya yang tidak mahu dia rasa bersalah terhadap apa yang berlaku pada Luna sehinggakan membuang semua gambar-gambar Luna daripada rumah itu?

Semakin lama dia berfikir semakin berat kepalanya. Lucas berlalu duduk ke katilnya dan meletakkan kepalanya di atas bantal. Selang beberapa minit dia sudah belayar ke dunia lain. Terjaga apabila menyedari tubuhnya diselimut oleh mamanya sebelum hanyut sekali lagi…

******

Lucas melihat Luna Lusia sedang menulis sesuatu dalam sebuah buku. Tak! Bukan buku tapi dairi. Dia sekadar memerhati gadis itu menulis dengan tekun. Pasti ada rahsia besar yang sedang ditulisnya. Dia tersenyum seolah-olah mengejek. Itulah perempuan yang mempunyai hati yang sensitif. Apa sahaja yang berlaku, pasti ingin dicatat di dalam dairi.

Selalunya perempuan akan mencatat tentang perkara yang disuka dan dibenci dalam dairi. Dan mungkin berkenaan dengan kisah cinta. Teman lelaki. Ya. Mungkin Luna sudah mempunyai teman lelaki tapi siapakah yang ‘bertuah’ sangat jatuh cinta pada gadis itu? Mungkin dia patut mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu.

Seketika kemudian, kelibat Luna tidak kelihatan lagi. Dia memandang sekeliling. Entah ke mana gadis itu pergi. Dairi yang ditulis Luna tadi diletakkan di atas meja itu sahaja. Dia tersenyum. Luna Lusia memang seorang yang selalu lalai sehinggakan sanggup meninggalkan dairi yang penuh dengan rahsia itu di tempat yang boleh dicapai orang.

Lucas Shah Putera kini berhadapan dengan dairi itu. Dairi berkulit tebal berwarna coklat dan tertulis perkataan ‘The Secret of My World’ itu menjadi sasarannya. Dia memandang kiri dan kanan. Tiada sesiapa di sekelilingnya. Kelibat Luna juga tidak kelihatan dan memberinya ruang untuk membaca dairi itu.

Dairi yang berukuran 20 cm x 27.7 cm dan setebal lebih kurang 700 muka surat itu dicapai. Sempat dia tersenyum sambil menyelak kulit hadapan yang tebal itu. Namun, baru sahaja dia hendak memulakan bacaannya, tiba-tiba tubuhnya dihembus angin dingin. Dia dapat rasakan ada seseorang berdiri di belakangnya. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang.

Lucas terkejut sehinggakan jantungnya hampir tercabut. Seperti terserempak dengan hantu walaupun yang berdiri di belakangnya itu adalah Luna Lusia. Akan tetapi dia kaget. Dia seperti tidak boleh bersuara sebaik sahaja terpandang wajah Luna Lusia yang memandangnya dengan penuh kejam. Perlahan-lahan matanya memandang ke tangan kanan Luna dan mendapati Luna memegang satu senjata yang merupai pisau yang panjang dan dibahagian tepinya bercantum besi yang berkilat berbentuk bulan sabit.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah yang akan dilakukan oleh Luna kepada Lucas?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience