Chapter 40

Fantasy Completed 9131

Bab 40

Walaupun terdapat banyak kedai pakaian, kasut dan barangan lain dijual dengan harga diskaun tetapi kini semuanya tidak dapat menarik minatnya.

“Selamat petang, dik,” sapa seorang wanita yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Lagak seperti hendak menjual barang kepadanya.

“Maaf, saya tak ada duit dan tak nak beli barang,” pantas Luna berkata. Sememangnya dia diajar begitu sejak kecil lagi apabila berjumpa dengan penjual yang tidak dikenali.

“Adik salah faham. Akak bukannya nak jual barang. Akak cuma perlukan masa lima minit untuk terangkan barang yang akak nak promote ni.”

“Tadi kata bukan nak jual barang,” balas Luna kembali.
Dia tahu sangat taktik orang berniaga sekarang. Manis mulut berkata-kata. Cakap sahaja lima minit tetapi bila dah bagi bercakap, 50 minit pun belum tentu habis.

“Memang akak tak jual barang. Beri akak lima minit untuk terangkan. Okey, sempena pembukaan Antasia ni, kami warga Antasia ingin mengucapkan selamat datang ke pusat beli-belah ini,” wanita itu sudah memulakan mukadimah tanpa memberikan sedikit urang pun kepada Luna untuk bersuara.

Memang bijak, detik hati Luna.

“Sempena hari pembukaan ni, kami ada menawarkan kad Antasia,” wanita itu menunjukkan sekeping kad keemasan kepadanya. Di atas kad itu hanya tertulis perkataan ANTASIA. Tiada perkataan lain.

“Kad diskaun?” tanya Luna.

“Lebih hebat daripada kad diskaun. Okey, biar akak terangkan fungsi kad ni. Kami warga Antasia diberi sejumlah kad seperti ini untuk diedarkan secara percuma kepada remaja terpilih dan adik merupakan salah seorang pengunjung yang bertuah kerana dipilih untuk memiliki kad ini,” terang wanita itu lagi.

“Tapi apa fungsinya?”

“Fungsinya? Selain diskaun beli-belah yang hebat, adik juga dapat mencuba produk terbaru kami secara percuma. Buat masa ni kami telah mencipta satu produk yang hebat dan tak terjangkau oleh akal. Oleh itu, kami sedang mencari remaja-remaja yang berbakat untuk merealisasikan produk kami.”

“Produk apa?”

“Kami tak boleh beritahu sebab hanya ahli yang akan mengetahui produk ini. Adik tak perlu bayang untuk memiliki kad ni. Adik hanya perlu turunkan cap jari di borang ni dan secara automatik adik dah boleh jadi ahli.”

“Hah?” Luna kurang faham dengan apa yang diberitahu oleh wanita itu.

“Keputusan berada di tangan adik sekarang. Akak bukannya orang jahat yang nak guna taktik kotor supaya adik membeli produk kami. Jangan risau. Ini janji akak. Lepas adik jadi ahli, dunia adik pasti berubah. Percayalah.”

“Dunia pasti berubah?” Luna mengulangi ayat itu beberapa kali dan tanpa disedari, dia telahpun menurunkan cap jari pada borang itu.

…bersambung

Bab akan datang:
Apa yang dimaksudkan ‘dunia pasti berubah’ oleh wanita itu? Mungkinkah keajaiban berlaku dalam hidup Luna?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience