Bab 64
Luna terkejut dengan sapaan Sky itu. Dia tidak pasti bilakah Sky menghampirinya. Sempat dia menjeling pandang Sky sebelum Sky berlalu duduk di sebuah kerusi di belakangnya. Dia dapat melihat wajah Sky dengan jelas. Wajahnya seperti selalu. Dingin.
“Sejak bila pulak kau ambil berat tentang aku?” soal Luna kepada Sky.
Kedatangan Sky pada hari ini menegurnya supaya menghentikan apa yang sedang dilakukannya sekarang sangat mengejutkannya. Mana tidaknya, Sky selama ini langsung tidak pernah menegurnya malah memandang kewujudannya dengan sebelah mata. Sama seperti Lucas memandangnya. Kedua-duanya menganggap dirinya tidak wujud di depan mata mereka.
“Ini bukan ambil berat tapi satu amaran,” kata Sky di belakang Luna.
Suaranya sangat halus tetapi Luna dapat mendengarnya dengan jelas memandangkan Sky hanya duduk kurang lima meter daripadanya.
“Aku gembira dengar amaran daripada kau.” Luna kemudiannya membalas dengan senyuman. Walaupun dia tidak tidak suka dengan amaran Sky itu tetapi jauh dari sudut hatinya dia gembira. Ada juga orang yang perasan akan kewujudannya.
“Antasia merupakan dunia yang bahaya.” Sky mula berbicara seperti ingin mengungkap satu rahsia yang disimpannya daripada semua orang.
“Aku tahu dan sebab tulah korang bercadang nak musnahkannya.” Luna menjawab dengan penuh kekuatan. Bukannya senang untuk dia berbual dengan Sky dan kali ini Sky telah menyapanya, jadi lebih baik dia cuba mewujudkan satu komunikasi yang baik supaya dia dapat tahu apakah yang sedang difikir oleh Sky kini sehingga sanggup hendak memusnahkan Dunia Antasia.
Sky di belakangnya kembali senyap. Barangkali terkejut apabila dia mengetahui apa yang sedang dirancang oleh mereka.
“Lady Sofea beritahu. Dia dapat tahu kau satu sekolah dengan aku dan inginkan aku jadi pengintip mengawasi setiap pergerakan kau.” jawab Luna tanpa disoal. Dia tahu Sky pastinya tidak ingin membuka mulut tentang apa pun yang berkaitan dengan rancangan mereka.
“Seseorang pengintip tak akan beritahu bahawa dia adalah pengintip.” Sky bersuara seperti sedang mentertawakan Luna.
Luna sekadar mengukir senyuman. Dia tahu, dia tidak patut membocorkan rahsianya sendiri dengan menjadi pengintip bagi pihak Lady Sofea tetapi ada sebab dia berbuat demikian.
“Anggap saja aku pengintip yang bodoh,” jawab Luna.
“Jadi, apa kau beritahu Lady Sofea?” tanya Sky cuba menguji Luna dengan soalan seterusnya.
“Tak banyak. Setakat ini aku hanya beritahu apa yang kau selalu makan, buku apa yang kau baca hari ni dan perempuan mana yang cuba mengorat kau hari ni. Oh, tak lupa pula dengan bilangan surat cinta yang kau dapat.” Luna menjawab dengan jujur.
Kemudian, Luna mendengar Sky ketawa di belakangnya.
“Tak sangka kau lebih bijak daripada apa yang aku jangka tapi aku tetap nak beri amaran.
...bersambung
Bab akan datang:
Mengapa Sky seakan tidak menyukai Luna?
Share this novel