Get the app for full experience
Bab 28
Dia tidak pasti sampai bila dia perlu hidup begini. Menurut mamanya, doktor juga tidak tahu bagaimana hendak mengubati penyakitnya.
Dia tersedar daripada lena setelah terdengar azan maghrib yang berkumandang dari masjid yang tidak jauh dari rumahnya. Jam di tangannya dilihat. Hampir pukul 7.30 malam. Bilik loteng yang diterangi cahaya matahari tadi bertukar menjadi samar-samar kerana tiada lagi cahaya matahari yang menyinar di dalam bilik itu.
Tanpa membuang masa, Lucas segera menghampiri peti besi antik itu. Di atas peti besi itu tertulis perkataan yang sama pada anak kunci. PRINCESS. Kerana itulah dia pasti bahawa itu adalah kunci peti besi antik yang selama ini dianggap sebagai barangan antik yang tidak berguna menghuni lotengnya.
Lalu, dia membuka peti besi itu.
Klak! Bunyi kunci terlerai. Lucas tersenyuman sendirian. Sangkaannya betul. Itu adalah anak kunci untuk membuka peti besi itu. Namun, dia hairan dengan Luna yang meletakkan kunci di tempat yang begitu mudah dilihat dan dicapai orang.
Tempat yang bahaya adalah tempat yang paling selamat sekali. Itu kesimpulan yang logik. Itulah kata-kata yang pernah didengarinya. Mungkin Luna berpegang dengan kata itu. Lagipun, jikalau orang biasa yang masuk ke dalam bilik Luna, mungkin tidak akan menyedari kewujudan kunci ini walaupun ianya tergantung di tempat terbuka dan boleh dicapai.
Peti besi dibukanya setelah Lucas tidak sabar lagi ingin mengetahui apakah yang berada di dalamnya. Sebaik sahaja membuka peti besi itu, tiba-tiba sahaja dia berasa pening kepala setelah tersedut habuk yang terperangkap di dalam peti besi itu. Malah, habuk yang berterbangan itu sedikit membuatkannya sukar bernafas seketika.
Dikibas-kibas habuk yang berterbangan itu dengan tangannya. Anehnya. Habuk yang banyak keluar daripada peti besi itu tiba-tiba hilang dari mata kasarnya. Malah dia boleh melihat dan bernafas semula seperti biasa. Tanpa mempedulikan semua itu, Lucas menjenguk ke dalam peti besi itu dan mendapati terdapat sebuah buku di dalamnya.
Di atas buku itu terdapat sehelai kertas yang sudah dilipat empat. Dia mencapai buku itu dan mendapati buku itu adalah dairi yang pernah muncul dalam mimpinya sebelum ini. Serupa. Dia kemudiannya menyelak dengan sekali imbas. Memang sah. Itu tulisan Luna dan itu adalah dairi Luna!
“Lucas!” Tumpuannya beralih apabila terdengar jeritan daripada mamanya memanggilnya dan diikuti dengan panggilan daripada Mak Jah yang mungkin sedang mencarinya. Tanpa membuang masa, dia segera berlalu keluar daripada loteng tersebut dan turun ke bawah untuk ke biliknya. Sebelum itu, dia sempat menutup semula peti besi itu dan menguncinya. Kuncinya disimpan.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Lucas akan memberitahu Puan Mariam tentang dairi Luna yang dijumpainya?